Monday, August 31, 2015

Benarkah kita perlu merdeka?

Benarkah kita perlu merdeka?


Biasanya apabila tiba hari kemerdekaan ramai ilmuan dan tokoh agama biasanya akan menulis erti kemerdekaan dari sudut Islam. Antara pokok yang sering diketengahkan ialah betapa Islam telah mengeluarkan manusia dari penghambaan sesama manusia kepada keadilan Islam. Digambarkan betapa wanita-wanita telah di bela dan diangkat hak mereka. Amalan perhambaan dihapuskan dan semua manusia telah diangkat darjat mereka menjadi sama rata, tak kira miskin atau kaya. Amalan riba di hapuskan dan si penindas tidak lagi memungut kekayaan dengan memeras harta si miskin. Kita tidak nafikan bahawa inilah antara sumbangan yang telah Islam bina terhadap tamadun manusia sejak diutusnya Rasul s.a.w.

Inilah yang sering berlaku apabila perjuangan dan tema hak asasi manusia semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat masa kini. Ramai di antara Islamis yang cuba menyesuaikan antara nilai-nilai kemanusiaan tadi dengan ajaran Islam. Maka berlumba-lumba lah para islamis moderat mencari titik persamaan antara ajaran Islam dengan nilai-nilai kemanusiaan yang kini giat diperjuangkan. Kebebasan bersuara, kesamarataan darjat dan warna kulit, hak-hak wanita, politik yang bebas perkauman atau pendek kata semua isu-isu keadilan sosial diangkat sebagai tema dalam mengenengahkan Islam yang disifatkan sebagai 'rahmatan lil alamin'. Seolah-olah tujuan Islam diutus ialah memerdekakan umat manusia seadanya. Kehadiran Islam seakan membawa 'harapan baru' bagi mereka yang mungkin tercari-cari erti kemerdekaan yang sejati. Barangkali orang yang mendengarnya buat pertama kali mungkin berminat dengan Islam sebab tujuan Islam seakan memerdekakan manusia dari sikap-sikap kejam manusia.


'Dijajah Tuhan'

Namun saya terfikir apa agaknya reaksi orang ini apabila diberitahu bahawa setelah memeluk Islam kita diwajibkan menegakkan syariat yang menjadi kewajipan seorang muslim. Bagaimana agaknya reaksinya apabila diberitahu bahawa umat Islam wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam? Pemerintah muslim dalam sesetengah keadaan tertentu perlu menjaga kemaslahatan umatnya dalam hal solat seperti penguatkuasaan undang-undang solat jumaat sepertimana di Kelantan. Mereka boleh didenda sekiranya tidak hadir solat jumaat lebih dari 3 kali. Itu belum disentuh hukuman yang boleh kenakan oleh pemerintah kepada peninggal solat secara sengaja.

Umat Islam juga diwajibkan berpuasa menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Penguatkuasa agama boleh mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang makan secara terbuka. Barangkali dia akan berfikir bahawa negara yang paling kejam dan paling korup di dunia pun takkan menghalangnya rakyat untuk makan dan minum secara terbuka.

Bagaimana agaknya reaksinya takkala dia membayangkan kebebasan yang bakal dinikmati oleh isteri dan anak gadisnya apabila dijanjikan bahawa 'hak wanita' akan terangkat dan terbelanya dengan Islam namun apa yang dia dapati adalah wanita muslimah diwajibkan berhijab dan menutup aurat?

Wanita muslimah tidak boleh menampakkan perhiasan kepada lelaki ajnabi kecuali kepada lelaki yang menjadi mahram mereka. Penglibatan wanita dalam bidang hiburan dan sukan juga terbatas kerana batas-batas syariat yang menjadi penghalang. Lebih 'menyedihkan' ialah hak pusaka bagi anak gadis adalah 1/3 harta peninggalan berbanding anak lelaki.

Batas pergaulan antara lelaki dan wanita perlu dijaga dalam sesebuah masyarakat. Maka sebarang aktiviti yang bercampur baur perlu ditegah dan dijalankan mengikut lunas-lunas syariat. Pemerintah perlu menjaga peraturan ini seperti mana pelaksanaan undang-undang kerusi 'couple seat' di pawagam bagi pasangan yang belum berkahwin.

Apakah reaksinya apabila diberitahu bahawa seseorang yang murtad boleh dikenakan hukuman bunuh? Dimana yang dikatakan hak dan kebebasan beragama yang dijanjikan?

Apa agaknya yang dia fikir jika manusia tidak dibenarkan membuat atau menggubal undang-undang negara mengikut selera akal manusia atau adat masyarakat setempat? Bolehkah dia menerima bahawa semua undang-undang dan peraturan yang mengatur hidup manusia mestilah merujuk Al-Quran dan As-sunnah?

Lebih malang apa agaknya jika dia tahu bahawa matlamat terakhir dari cita-cita politik Islam ialah menegakkan pemerintahan di bawah satu naungan khilafah? Bukankah ini akhirnya menjadikan kebebasan, kedaulatan dan kenikmatan yang dikecapi selama ini oleh negara-negara di dunia sekarang akan hilang? Bagaimana pula jika dia merasakan bahawa hak khilafah terletak di tangan orang arab? tidakkah dia berfikir ini merupakan satu bentuk penjajahan bangsa arab ke atas bangsa lain?


Terperangkap

Sebenarnya inilah yang akan berlaku apabila kita cuba membawa Islam mengikut takrif dan tema hak asasi manusia dan erti kemerdekaan dari kacamata barat. Kita tidak dapat menutup hakikat bahawa Islam dalam erti kata yang sebenar adalah sebuah 'perhambaan'. Yakni perhambaan antara manusia dengan TuhanNya. Kita secara fitrah tidak dilahirkan secara merdeka, kerana dengan kelahiran manusia, Allah s.w.t mengutus Rasul untuk menyampaikan syariatNya yang dimana ia merupakan manisfestasi perhambaan manusia kepada penciptaNya. Perjanjian antara manusia dengan Tuhan ini telah termerterai sedari seawal penciptaan ruh itu lagi.

Firman Allah s.w.t,

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): bukankah Aku tuhanmu ? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami mejadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid ini) ini" (al - A'raf 7:172).

Hakikatnya kita perlu akui bahawa Islam adalah sebuah medium untuk manusia mempersembahkan ketaatan dan ketundukan kepada penciptaNya. Islam bersifat ta'budi dan kita tidak perlu malu untuk mengakui hakikat ini. Kita tidak perlu malu untuk mengaku bahawa Tuhan memang 'menjajah' kita kerana itu memang tujuan kita diciptakan! Ya, memang Islam membebaskan manusia dari penjajahan sesama manusia namun Islam memaksakan perhambaan manusia kepada TuhanNya. Manusia memang tetap dijajah kerana kita tidak ada hak untuk menentukan kehidupan kita sendiri.

Firman Allah s.w.t,

"Maka apakah kamu mengira bahwa sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” (QS Al-Mukminun 23 : 115)

Jika makna kemerdekaan hendak ditakrifkan maka manusia sepatutnya ada hak untuk menentukan hala tuju kehidupannya sendiri tanpa ada sebarang halangan dan kongkongan. Nilai-nilai kebaikan adalah mengikut selera manusia mengikut perubahan semasa. Jika dahulu hubungan sesama jenis dianggap asing dan ganjil namun 'hak kemerdekaan' manusia membolehkan nilai itu diterima dan di iktiraf. Wanita dan lelaki perlu mendapat hak yang sama rata sama ada dalam soal kerjaya, hak pembahagian pusaka dan sebagainya.

Allah s.w.t telah berfirman,

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari seorang diri.” (QS. An-Nisa`: 1)

"... bahkan apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah; semua tunduk kepadaNya." (Al-Baqarah: 116)

"Hanya kepada Allah-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan sukarela ataupun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari." (Ar-Ra'd: 15)

Kita perlu mengakui hakikat bahawa kita tidak perlu merdeka didalam kehidupan dunia yang fana ini. Tidak ada kemerdekaan dalam Islam kerana Islam itu sendiri sebuah ketaatan, kepatuhan dan ketundukan yang bersifat mutlak. Kemerdekaan kalau pun dalam erti kata sebenar ialah takkala balasan syurga yang dijanjikan oleh Allah s.w.t sepertimana dalam firmanNya,

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar." (At-Taubah 9:71-72).

Sebab itulah tepat sekali ungkapan Rubai'e bin Amir di hadapan Panglima Parsi yang bernama Rustum, bahawa “Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agamaNya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan (menerimanya), kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah.”

Jika benar Islam memerdekakan manusia tidak perlulah Nabi s.a.w dan para sahabat mengangkat pedang menghantar pasukan berkuda memperluaskan wilayah Islam ke serata dunia!


Fitrah manusia adalah hamba!

Kalau kita perhatikan, kata 'fitrah' ini berkaitan dengan soal ciptaan Allah, seperti kata 'fitratallahi', dalam Al Qur’an, sering diterjemahkan sebagai 'ciptaan Allah'. Kata Fatir (nama sebuah surat Al Qur’an) diertikan sebagai pencipta, iaitu Allah. Kata 'fathiri samawati wal ardhi' sering diterjemahkan sebagai The Originator, berasal dari kata the origin, “yang awal”, sehingga maknanya adalah 'yang mengawali, atau dari segala yang asal'.

Dalam ayat lain Al Qur’an menceritakan bahwa manusia, segera setelah diciptakan, membuat sebuah perjanjian atau ikatan asal (primordial compenant) dengan Tuhan yang isinya adalah bahwa manusia mengakui kewujudan Tuhan yang satu, iaitu Allah SWT.  Dengan kata lain, bahwa kecenderungan asli atau dasar manusia adalah menyembah Tuhan yang Satu.

Pada dasarnya manusia diciptakan dan dilahirkan di dunia secara naluri mempercayai dan meyakini adanya Tuhan. Naluri manusia itu pada dasarnya selalu cinta kepada kesucian dan cenderung kepada kebenaran. Keberadaan naluri manusia adalah suci dan benar dalam erti sejak zaman azali. Islam pada awal mulanya diturunkan untuk meluruskan kepercayaan manusia supaya mempercayai Tuhan Yang Maha Esa, dengan jalan mentauhidkan kepercayaan terhadap Allah SWT.

Oleh sebab itu orang-orang di zaman primitif menyusun beberapa adat istiadat, pantang larang dan peraturan hidup yang mereka yakini sebagai perintah Tuhan. Sekalipun mereka tidak di ajar oleh sesiapa, naluri untuk 'bertuan' kepada sesuatu kuasa ghaib menuntut mereka untuk menjalani kehidupan dengan peraturan-peraturan yang bersifat kehambaan. Segala musibah buruk atau keberuntungan yang diperoleh dalam hidup di yakini datangnya dari restu atau murka Tuhan. Lalu mereka mempersembahkan beberapa korban sebagai ritual tanda terima kasih mereka kepada pemilik dan penguasa ke atas kehidupan mereka.

Dari keterangan di atas, maka yang menjadi sasaran tujuan hidup manusia sesungguhnya adalah menemukan kembali nilai-nilai ketauhidan yang kadang menjauh atau terlepas dari diri mereka. Maka dengan datangnya idul fitri selepas menjalankan puasa sebulan penuh, dimana dalam puasa itu seseorang digembleng agar tumbuh nilai-nilai kemanusiaan yang asli, dengan mengeluarkan zakat, diri seorang muslim dibersihkan dari sifat-sifat kebinatangan dan sifat-sifat syaitan yang mungkin bersarang di hati nya, dengan banyaknya berbuat kebajikan dengan sesama maka tumbuh pula rasa solidariti antara sesama manusia. Dengan begitu maka nilai yang terkandung dalam perayaan hari Iedul fitri adalah pertama, bahwa manusia dibersihkan dari segala dosa dan noda yang melekat dalam dirinya, kedua menemukan kembali nilai-nilai ketauhidan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, sehingga dia akan merasa lebih dekat denganNya. Itulah kemenangan manusia yang hakiki, kemenangan kita semua sebagai umat Islam.

Disini letak persamaan dan persesuaian antara ajaran Islam dengan fitrah manusia, dimulai dari lahirnya iaitu ingin meyakinkan kepercayaan dirinya kepada Tuhan Pencipta Alam Semesta. Islam diturunkan berfungsi untuk mengatur manusia supaya menjadi manusia yang bertanggung jawab dan mahu melakukan kewajibannya sebagai makhluk Tuhan dan sekaligus sebagai makhluk sosial.

- Menurut ibn al-Qayyim dan ibn al-Katsir, oleh kerana 'fathir' ertinya menciptakan, maka fitrah ertinya keadaan yang dihasilkan dari penciptaannya itu.

- Menurut hadist yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas, fitrah adalah awal mula penciptaan manusia. Sebab lafadz fitrah tidak pernah dikemukakan oleh al-Qur’an dalam konteksnya selain dengan manusia.

 - Dalam kamus Al Munjid iaitu kamus bahasa arab terluas, kata fitrah diertikan atau di definisikan sebagai sunnah, kejadian, tabiat.

Secara bahasa, fitrah ertinya 'al khilqah' iaitu keadaan asal ketika seorang manusia diciptakan oleh Allah (lihat Lisaanul Arab 5/56, Al Qamus Al Muhith 1/881). Dan ketahuilah, yang dimaksud dengan agama yang fitrah ialah Islam. Setiap manusia lahir dalam keadaan berislam, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam:

“Setiap manusia yang lahir, mereka lahir dalam keadaan fitrah. Orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani” (HR. Bukhari-Muslim)

Allah Ta’ala berfirman:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (QS. Ar Ruum: 30)

Seoang ulama pakar tafsir, Imam Ibnu Katsir, menjelaskan ayat ini: “Maksudnya adalah tegakkan wajahmu dan teruslah berpegang pada apa yang disyariatkan Allah kepadamu, yaitu berupa agama Nabi Ibrahim yang hanif, yang merupakan pedoman hidup bagimu. Yang Allah telah sempurnakan agama ini dengan puncak kesempurnaan. Dengan itu bererti engkau masih berada pada fitrahmu yang salimah (lurus dan benar). Sebagaimana ketika Allah ciptakan para makhluk dalam keadaan itu. Iaitu Allah menciptakan para makhluk dalam keaadan mengenal-Nya, mentauhidkan-Nya dan mengakui tidak ada yang berhak disembah selain Allah” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/313)

Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata: “Islam adalah agama yang fitrah yang pasti akan diterima oleh semua orang yang memiliki fitrah yang salimah (sejahtera)”. Ertinya orang yang memiliki jiwa yang bersih sebagaimana ketika ia diciptakan pasti akan menerima ajaran-ajaran Islam dengan lapang dada.

Hal ini menunjukkan bahawa manusia secara fitrahnya dilahirkan sebagai hamba kepada Tuhan dan hakikat ini menafikan sama sekali tanggapan falsafah barat bahawa manusia secara fitrahnya dilahirkan secara bebas dan merdeka (born to be free), tanpa terikat dengan sebarang bentuk yang menghalang naluri dan kehendaknya (baca:nafsu).


Bila munculnya sambutan kemerdekaan?

Sejarah sambutan kemerdekaan yang tertua setakat ini di ketahui ialah Hari Sambutan Kemerdekaan negara Amerika Syarikat yang di kenali sebagai 'The Fourth of July'. Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat adalah dokumen penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Ia ditulis pada 1776 dan memberitahu bahawa Amerika Syarikat bukan lagi koloni Great Britain.

Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (Independence Day atau Fourth of July) adalah hari cuti am persekutuan pada tanggal 4 Julai di Amerika Syarikat untuk memperingati Deklarasi Kemerdekaan oleh Kongres Kontinental Kedua pada 4 Julai 1776. Deklarasi tersebut merupakan proklamasi kemerdekaan Tiga Belas Koloni dari Kerajaan Britain. Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat secara amnya dirayakan dengan pesta bunga api, perarakan kebangsaan, karnival, piknik, konsert hiburan, pertandingan besbol, pidato politik, serta berbagai kegiatan dan upacara rasmi yang berkaitan dengan sejarah, pemerintahan, dan tradisi Amerika Syarikat.

Ketika sambutan kali pertama diadakan, pada pagi dan petang hari 4 Julai 1777, tigabelas tembakan meriam dibunyikan di Bristol, Rhode Island. Perayaan di Philadephia menandai peringatan Hari Kemerdekaan AS yang pertama. Di Kongres Kontinental diadakan makan malam rasmi, disulami dengan 13 kali tembakan meriam, pidato, doa, musik, perarakan kehormat, pemeriksaan pasukan dan pesta bunga api. Kapal-kapal dihiasi dengan bendera merah, putih, dan biru.

Sehingga hari ini, Perisytiharan Kemerdekaan disambut setiap 4 Julai dengan parti oleh rakyat Amerika Syarikat. Mereka mengingati hari Thomas Jefferson menulis Perisytiharan dan hari Amerika Syarikat menjadi sebuah negara bebas.

Perisytiharan ini juga penting kerana ia menyatakan idea yang mudah bahawa rakyat mempunyai hak-hak untuk hidup, kebebasan dan untuk bergembira serta kerajaan harus mendengar pendapat rakyat. Perkara-perkara inilah yang menjadikan Amerika Syarikat sebuah negara kebebasan.

Pengisytiharaan kemerdekaan Amerika Syarikat jelas memperlihatkan bahawa yang mereka raikan ialah hak rakyat Amerika untuk hidup sebagai negeri yang bebas dan merdeka - dalam erti kata mereka ada hak untuk menentukan halatuju hidup dan wawasan masa depan mereka tanpa kongkongan sesiapa. Ia juga adalah manifestasi penolakan mereka pada cukai yang telah dikenakan kepada mereka dan akta-akta Britain yang mengongkong hak koloni rakyat mereka.

Hari ini kita dapat melihat Amerika Syarikat dengan wajahnya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Wajah 'The American Dream' yang meletakkan hak asasi manusia mengikut acuan nafsu. Negara yang menghalakan senjatanya kepada mangsa yang idak bersalah dan berdosa. Negara yang ekonominya tertegak di atas sistem kapitalis.

Apabila menjelang era kemunculan 'nation state' pada kurun awal ke-19, negara-negara yang mencapai kemerdekaan dari penjajah turut bangga untuk membina identiti kebangsaan mereka. Mereka mencipta warna bendera, lagu kebangsaan dan turut tidak ketinggalan untuk merayakan hari kemerdekaan negara mereka. Ini termasuklah negara-negara di eropah dan arab yang baru saja melepaskan diri dari cengkaman khilafah Uthmaniyah Turki.

Kini sambutan kemerdekaan ini di ikuti oleh sekian banyak negara-negara moden dari negara dunia ketiga. Kita meraikannya dengan pelbagai acara sambutan dan keraian. Apa yang kita dapati kemerdekaan yang kita sambut kini adalah semata-mata kerana meraikan terbentuknya kedaulatan negara kita, meraikan simbolik warna bendera kita, meraikan hak dan kebebasan rakyat untuk bergerak dan memberi pendapat, meraikan identiti kebangsaan kita, dan bagi memperingati para pejuang yang membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Inilah semangat kebangsaan yang ditanam dalam diri manusia masa kini. Bahawa kemerdekaan negara dari penjajah merupakan kemuncak kepada kemuliaan dan kedaulatan sesebuah negara. Bahawa kemerdekaan mengajar manusia erti kebebasan, dan hak manusia dalam menentukan hala tuju hidupnya.


Makna kemerdekaan dan penjajahan

Kita mungkin boleh menafsirkan kemerdekaan yang kita kecapi kini hanya dari sudut kemerdekaan dari cengkaman penjajah atau kuasa asing. Negara kita kini ada hak dan kedaulatan untuk menentukan hala tuju sendiri tanpa campurtangan kuasa asing. Atau boleh juga kita tafsirkan bahawa rakyat negara kita sendiri yang menguruskan harta kekayaan hasil bumi negara kita untuk di agih-agihkan kepada rakyat negara kita sendiri. Kemerdekaan yang kita kecapi ialah apabila penjajah tidak lagi merompak harta kekayaan negara kita. Kita mempunyai hak sepenuhnya dalam politik untuk memilih pemimpin yang kita ingini dan bukan pemimpin yang ditentukan oleh penjajah.

Namun apabila kita cuba untuk menggambarkan bahawa Islam memerdekakan manusia dengan ajarannya, kita tidak dapat menyembunyikan hakikat di sana bahawa ada 1001 lagi ajaran agama yang bersifat 'menjajah'.

Kita sebenarnya amat teruja dengan perkataan 'merdeka' dan amat negatif dengan perkataan 'dijajah' kerana neraca ukuran yang kita gunakan ialah akal dan selera manusia. Padahal tidak ada yang jelek dan negatif dengan perkataan 'dijajah' dan tidak semuanya nilai-nilai positif boleh dikaitkan dengan 'merdeka', sehingga kita cuba menjauhkan Islam dari perkataan 'menjajah' dan cuba seboleh mungkin mengaitkan Islam dengan perkataan 'merdeka'.

Tidak dinafikan antara fitrah yang ada pada manusia ialah naluri untuk berkehendak kepada kebebasan. Namun ramai yang keliru antara fitrah dan nafsu. Apabila nafsu ditakrifkan sebagai fitrah, maka binasalah umat manusia. Sedangkan Islam telah memberi makna kepada fitrah dan nafsu serta membezakan antara keduanya berdasarkan neraca Al-Quran dan sunnah.

Boleh jadi dalam keadaan tertentu kebebasan yang di ingini manusia itu adalah dari jenis fitrah yang murni atau boleh jadi ia adalah tiupan nafsu yang tidak mengenal batasan. Barangkali keterikatan atau kongkongan itu bersifat kejam dan zalim dan boleh jadi keterikatan dan kongkongan itu bersifat menyelamatkan manusia dari sebarang bala bencana dan malapetaka.

Lihatlah betapa Al-Quran menggambarkan kemuliaan mereka yang 'dijajah'(1),

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), Dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang.Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam Kitab-Kitab yang dahulu, (iaitu) Kitab-Kitab Ibrahim dan Musa.”(QS. Al -A’laa: 14-19)

"Rasul telah beriman kepada Al Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami ta`at". (Mereka berdo`a): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali".(QS Al-Baqarah ayat 285)

"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa". (QS Al-Baqarah ayat 177)

"Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian [421] terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu [422], Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu". (QS. Al Ma’idaah: 48)

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya. Dia menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan Kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil, sebelum (al-Quran), menjadi petunjuk bagi manusia, dan dia menurunkan al-Furqaan (pemisah antara hak dan batil). Sesungguhnya orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah akan memperoleh siksa yang berat; dan Allah Maha Perkasa lagi mempunyai balasan (siksa).” (QS. Ali Imran: 2-4)

Lihat pula bagaimana Al-Quran menggambarkan betapa buruk dan jeleknya mereka yang 'merdeka' (2),

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka, siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka, mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” [Al-Jaatsiyah: 23] [9]

“Dan siapakah yang lebih sesat dari pada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikit pun. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim” [Al-Qashash: 50].

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabannya.” [Al-Israa’: 36]

“Sudahkah engkau (wahai Muhammad) melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadikan pemelihara atasnya ? Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan lebih sesat jalannya.” (QS. Al-Furqaan : 43-44).

Namun malangnya ramai di antara kita yang terikut-ikut dengan tema kemerdekaan yang di laungkan oleh dunia moden hari ini. Sedangkan Rasul s.a.w ketika di utus tidak pernah membawa tema kemerdekaan dalam risalah perjuangannya.

Sebab itulah ketika peristiwa Fathul Makkah, apa yang berlaku ialah penduduk Makkah telah dimerdekakan dari pemerintahan jahiliyah, dan digantikan dengan ketuanan atau kedaulatan Islam. Ia adalah simbolik kepada tertegaknya hak Allah ta'ala dalam pemerintahan manusia.

Apa yang di bawa oleh Rasul ialah membebaskan manusia dari perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah s.w.t. Tidak timbul isu penjajahan atau kemerdekaan kerana manusia selamanya memang di jajah, cuma yang layak menjajah manusia ialah penciptanya yakni Allah azza wa jalla!!

Realitinya kita perlu tampilkan Islam dengan 'wajah'nya yang sebenar, yakni sebuah agama yang mengkehendaki manusia bersedia untuk di jajah oleh TuhanNya!


Oleh : Serambi Musolla


Nota kaki :
(1) Perkataan 'dijajah' pada maksud penulis ialah dijajah dengan perintah Allah s.w.t dan RasulNya.
(2) Perkataan 'merdeka' pada maksud penulis ialah kebebasan atau hak mutlak manusia dalam menentukan hala tuju hidup tanpa bimbingan wahyu.

*Penafian : Ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pandangan pihak Musolla Bendang Siam amnya.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete