Monday, November 9, 2015

Deepavali penggerak perubahan politik negara


PAS merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada penganut Hindu seluruh negara. Perayaan Deepavali dikaitkan dengan perayaan cahaya bagi menerangi kehidupan.
Cahaya menerangi kegelapan adalah simbolik bagi pelbagai medan yang ada. Manusia perlu keluar dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya hidayat. Dari kegelapan kehidupan dunia yang sempit kepada keluasan alam akhirat. Dari kegelapan kemiskinan dan penindasan kepada cahaya kehidupan dan keadilan.
PAS sebagai sebuah parti yang telah mengangkat Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini dipimpin Sdr Bala Subramaniam sebagai Pengerusi DHPP telah berjaya mengangkat pelbagai isu orang bukan Islam untuk diberi perhatian khusus.

Antaranya, PAS memberi perhatian khusus membela nasib kaum India di estet dan ladang yang terbiar tanpa pembelaan yang sepatutnya. Pelbagai program kebajikan telah dan akan dilaksanakan untuk mengurangkan isu jurang ekonomi antara kaum yang tidak seimbang. Semua ini sentiasa rapat di hati DHPP agar nasib rakyat tertindas terus mendapat pembelaan dan perhatian.

Tanpa perubahan politik, nasib golongan marhaen tertindas akan terus terabai. Setiap kita mempunyai tanggungjawab besar menggerakkan perubahan setelah melihat gagalnya parti bersifat perkauman membela nasib rakyat. Malah parti perkauman sebenarnya memperalatkan rakyat dengan dasar pecah dan perintah. Perpaduan kaum menjadi regang dan saling tidak percaya antara kaum juga bertambah.

Oleh itu, satu kebangkitan kesedaran di kalangan masyarakat agar bersama arus perubahan politik kini amat diperlukan. Ini antara matlamat perjuangan PAS bagi melakukan perubahan besar bagi membela nasib rakyat.

Sempena perayaan Deepavali ini, PAS mengharapkan agar seluruh masyarakat India khususnya, dapat menjadikan cahaya yang menjadi simbolik Depavali sebagai penyuluh kepada perubahan yang mampu mengubah masa depan politik negara kita.

Selamat menyambut perayaan Deepavali.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS 

Sumber : Laman Rasmi PAS Pusat


No comments:

Post a Comment