Friday, January 21, 2011

ADUN mahu pertahan kerusi P Klang

Badrul Hisham Abdullah berkata beliau akan menggunakan saluran undang-undang bagi mempertahankan kedudukannya sebagai DUN Pelabuhan Klang.

Badrul Hisham berkata demikian bagi mengulas tindakan Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytihar kerusi DUN itu sebagai kosong ekoran kegagalan beliau menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham berkata beliau akan memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau masih lagi wakil rakyat Pelabuhan Klang yang sah.

Beliau ditemui selepas perjumpaan dengan wakil-wakil rakyat dari BN yang dipengerusikan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno/BN negeri Datuk Seri Noh Omar di Shah Alam hari ini.
Katanya permohonan itu akan difailkan secepat mungkin.

Beliau seterusnya mengesahkan akan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Isnin ini, dan menurutnya beliau belum menerima surat rasmi mengenai pengosongan kerusinya daripada pihak Dewan Undangan Negeri.

Semalam Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.
Perisytiharan itu dibuat berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

Badrul memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang atas tiket PKR pada pilihanraya Umum 2008 dengan majoriti 4,407 undi.
Beliau menewaskan calon BN serta calon bebas, sebelum meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN bebas mesra BN pada 2009.
Seterusnya beliau menyertai Umno pada Mei tahun lepas.

- Bernama

No comments:

Post a Comment