Thursday, November 8, 2012

Demonstrator profesional diupah ganggu P Pinang


(Siapakah mereka ini kerana apabila diajak berbincang tidak mahu)

PULAU PINANG: Kerajaan negeri Pulau Pinang mendakwa,  ada kumpulan yang dibiayai untuk membuat demonstrasi secara profesional terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat negeri itu.

Menurut kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Farida-Hani hari ini, ia terbukti apabila pendemonstrasi ini tidak berminat langsung untuk berbincang mengenai apa yang mereka bantah.

Kenyataan ini dipercayai mengulas insiden yang berlaku semasa sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini apabila sekumpulan manusia membuat demonstrasi menyokong pelaksanaan AES di negeri ini.

Ini ekoran keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanakan pemasangan 56 kamera AES di Pulau Pinang.

Pada hari Khamis yang lepas iaitu pada 1 November 2012, hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri telah menerima satu memorandum daripada sekumpulan penyokong Automated Enforcement System (AES).

Mereka telah menghantar petisyen agar Kerajaan Negeri melaksanakan sistem AES di Pulau Pinang bagi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang.

Mereka membantah keputusan kerajaan negeri dan Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana tidak benarkan 56 buah kamera 1Malaysia AES dipasang di Pulau Pinang.

Ekoran itu, Ketua Menteri telah meminta penjelasan penuh diberikan oleh Kementerian Pengangkutan tentang sistem komisen untuk setiap saman trafik yang dikeluarkan yang akan menguntungkan syarikat swasta tertentu kerana ia lebih bersifat suatu alat cari wang daripada penguatkuasaan.

Namun, Kementerian Pengangkutan telah menangguhkan suatu mesyuarat yang diaturkan pada 31 Oktober lepas.

Susulan daripada penerimaan petisyen dan memorandum tersebut, Ketua Menteri telah mengarahkan agar satu perjumpaan dibuat di antara penyokong AES ini dengan pihak kerajaan negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 5 November 2012 jam 10.00 pagi bagi membincangkan perkara ini ataupun pada apa-apa tarikh yang sesuai bagi mereka.

Memandangkan memorandum tersebut tidak bernama dan juga tidak beralamat, bantuan daripada Pejabat Professor Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II telah dipohon bagi mengaturkan perjumpaan tersebut.

"Walau bagaimanapun, pihak kami telah menerima khabar mengatakan bahawa kumpulan ini tidak berminat untuk berjumpa," kata Farida- Hani dalam kenyataannya.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa mereka ini tidak serius dan hanya mahu mencetuskan kekacauan di Bangunan Kerajaan, katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak Kerajaan Negeri berpendapat bahawa kumpulan ini bukan sahaja tidak bersungguh di dalam perkara ini malah difahamkan bahawa kebanyakan penyokong yang hadir pada hari Khamis yang lepas telah ditipu oleh pihak penganjur bahawa mereka akan diberikan wang tunai sebanyak RM50 berserta hamper sekiranya mereka hadir untuk memberi sokongan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pihak penganjur harus dicela kerana telah menipu dan menimbulkan kacau ganggu di Bangunan Kerajaan, kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment