Thursday, November 8, 2012

Denda AES hak kerajaan, mengapa berkongsi

  
KUALA LUMPUR: Kempen Anti Saman Ekor (Kase) bercadang membuat semakan kehakiman terhadap sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dilaksanakan kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, semakan kehakiman itu akan dibuat dalam tempoh terdekat, dengan peguam Kase dan peguam Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pusat sedang membuat persiapan berhubung perkara itu.
Tambah beliau, pihaknya sudah berbincang, khususnya dari segi persoalan mengenai perkongsian jumlah kompaun dan denda yang dikenakan.
Sebelum ini, tegas Mahfuz kabinet bersetuju melalui model kewangan tentang  perkongsian kutipan denda antara kerajaan dengan dua syarikat itu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd.
"Bagi kami semua itu (kutipan kompaun) mesti dimasukkan dalam akaun yang disatukan. Kalau kerajaan nak berikan kepada mereka, perlu atas sebab perkhidmatan yang diberikan, bukan perkongsian denda yang dikenakan," kata beliau pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Tambah Mahfuz, saman tersebut merupakan hak kerajaan dan tidak sepatutnya berlaku perkongsian antara pihak kerajaan dan swasta.
Justeru, beliau mendesak kerajaan harus mendedahkan perjanjian antara kerajaan dan syarikat terbabit kepada umum.
Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang disifatkan sebagai 'flip flop' berhubung isu AES ini.
Tegas beliau, sebelum ini pihaknya mendapati kecelaruan maklumat antara saman yang dikeluarkan dengan maklumat di laman wen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, kecelaruan itu berhubung kilometer 6.6 Jalan Kajang Puchong (SKVE) yang sebelum ini menetapkan had laju 90 km sejam.
"Bagaimanapun satu saman yang dikeluarkan, telah menulis had laju di kawasan terbabit ialah 80km sejam. Orang kena saman (OKS) itu memandu dengan kelajuan 91km sejam.  Hari ini Kementerian Pengangkutan bersama agensinya yang lain telah memperbetulkan maklumat itu di dalam akhbar harian melalui iklan bahawa kawasan itu adalah 80km sejam," tegas beliau.
Sehubungan itu, tegas Mahfuz perkara seperti ini sudah cukup membuktikan kerajaan membuat banyak kesilapan di dalam pelaksanaan AES," katanya.

No comments:

Post a Comment