Saturday, July 19, 2014

PAS Kedah anjur solat jenazah ghaib MH17

ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah akan mengadakan majlis solat jenazah ghaib khas untuk jenazah muslim yang terkorban dalam tragedi pesawat MAS MH17.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata (Gambar), makluman kepada semua Yang DiPertua PAS Kawasan seluruh Kedah telah dilakukan untuk dipanjangkan kepada seluruh ahli PAS di negeri ini.

Ujarnya, semua ahli diminta bersiap sedia pada bila-bila masa untuk hadir ke majlis tersebut yang akan diadakan di Kompleks PAS Kedah sebaik sahaja pengurusan jenazah mangsa hingga boleh disembahyangkan di Ukraine diselesaikan.

"Kami akan sentiasa memantau urusan ini dari dekat melalui media dan sumber- yang berada di sana," ujarnya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, sebentar tadi.

PAS Kedah katanya, turut merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu dan diharap mereka terus bersabar serta menyerahkan kepada pihak berkuasa menguruskan kes tersebut diperingkat antarabangsa.

PAS Kedah juga maklumnya, turut menyambut baik seruan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak supaya bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang dan telah mengarahkan semua markaz PAS seluruh Kedah menaikkan bendera separuh tiang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar mengetuai arahan mengibarkan bendera Malaysia separuh tiang di Kompleks PAS Kedah seusai Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sebentar tadi.

Turut sama Timbalan Pesuruhjaya II, Dato' Dr Ismail Salleh; Setiausaha, Ustaz Musoddak Ahmad dan juga Sanusi. –

No comments:

Post a Comment