Friday, December 17, 2010

Azmin: Saya tak dedahkan kandungan surat Apco

Ahli parlimen Gombak Azmin Ali berkata penggantungan beliau serta tiga lagi ahli Dewan Rakyat termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu tindakan yang tidak berasaskan prosedur.

Azmin berkata perkara itu dilihat melalui alasan yang dikemukakan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Nazri Aziz dalam usul untuk menggantung beliau selama enam bulan daripada sidang parlimen.
NONEAlasan tersebut adalah berhubung pendedahan kandungan sepucuk surat oleh firma perhubungan awam Apco Worldwide yang didakwa dilakukan oleh Azmin.

Azmin didakwa berbuat demikian melalui pemberitahuan bersuratnya bertarikh 6 Disember kepada speaker Dewan bagi mengemukakan satu usul untuk membincangkan satu perjalanan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Mesyuarat 3 Disember itu telah memutuskan untuk menghalang Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh daripada menghadiri prosiding mesyuarat tersebut bagi mempertahankan dirinya berhubung satu siasatan oleh jawatankuasa berkenaan.

Azmin bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah mendedahkan kandungan surat daripada Apco Worldwide yang dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut.

Malah, beliau juga tidak menimbulkan kandungan surat berkenaan dalam perbahasannya di dalam Dewan, kata Azmin lagi dalam satu kenyataan hari ini.

NONE"Sehubungan dengan itu, alasan yang diberi oleh Datuk Seri Nazri yang mencadangkan untuk menggantung saya daripada Dewan tidak boleh diguna pakai kerana saya tidak pernah sesekali menyiarkan kandungan surat Apco tersebut kepada sesiapapun ataupun sewaktu berbahas di dalam Dewan.

"Justeru, saya dan rakan-rakan di dalam PKR dan Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tindakan Dewan Rakyat ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam Dewan," katanya lagi.

Kandungan surat daripada Apco Worldwide itu menjadi perhatian dalam persidangan parlimen susulan daripada tindakan Anwar membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan One Israel.

Tindakan itu menyebabkan Anwar diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen yang memutuskan untuk menggantung ahli parlimen Permatang Pauh itu daripada persidangan selama enam bulan.

Selain Azmin dan Anwar, turut digantung ialah ahli parlimen DAP Bukit Gelugor Karpal Singh dan ahli parlimen PKR Subang R Sivarasa rentetan daripada insiden yang sama.

No comments:

Post a Comment