Saturday, November 16, 2013

Ceroboh: Apakah tindakan Kerajaan Malaysia?

Pemimpin PAS Johor menunjukkan kenyataan akhbar mengenai pencerobohan itu.

PAS Johor bimbang pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah.

Sehubungan itu, PAS Johor mendesak supaya Kerajaan Johor dan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas sama ada diplomatik dan ketenteraan supaya kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan tidak semudahnya dicabar dan diceroboh oleh anasir luar.

“Cukuplah peristiwa pencerobohan ruang angkasa Johor ini, insiden pecerobohan di Lahad Datu dan tragis hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura menjadi sempadan noktah yang menuntut ketegasan daripada kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” ujar Timbalan Pesuruhjayanya, Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan.

Kenyataan PAS Johor seperti di bawah.

Baru-baru ini berlaku lagi pencerobohan ruang angkasa Johor oleh RSAF khususnya di Gelang Patah.

Pencerobohan ruang angkasa Johor telah berlaku ribuan kali tetapi masih tidak ada tindakan tegas daripada Kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Isu pencerobohan ini adalah melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara. Rakyat tidak boleh menerima insiden pencerobohan ini walau apapun alasanya sama ada latihan atau tidak sengaja kerana ianya menunjukkan bertapa rapuhnya pertahanan ruang angkasa negera kita.

Di bawah adalah rintitan sejarah pencerobohan ruang udara negeri Johor oleh RSAF:

1) Menurut bekas Menteri Pertahan Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar, pada bulan April hingga Mei 1996 sahaja 6 insiden pencerobohan jet-jet pejuang Singapura di ruang angkasa Johor. - Utusan Malaysia, Julai 1996; Pencerobohan Jet Asing oleh Zaid Zain  (Wartawan Utusan)

2) Insiden kemalangan pesawat tentera Singapura di Malaysia turut di lapurkan, antaranya pada 2 Februari 1992 sebuah pesawat latihan RSAF jenis Marchetti 211 jatuh di perairan Selat Johor berhampiran Tanjung Adang, begitu juga pada 2 September 1991 sebuah pesawat pejuang RSAF jenis Northrop F5 E terhempas di tapak projek padang golf di Pasir Gudang, - Utusan Malaysia, Julai 1996.

3) Antara penyumbang utama dalam permodenan angkatan tentera Singapura ialah Israel, menurut lapuran Jane’s Defense Weekly 5 July 2000, pihak Singapura, Israel dan Amarika Syarikat bersetuju membina Satelit perisikan bernilai $USD 1 billion untuk kegunaan Singapura.

4) Sidang Parlimen 2011, jawapan bertulis Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat. Pesawat perang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menceroboh ruang angkasa Malaysia sebanyak 2,508 kali sejak tahun 2008.

5) Pada tahun 2008 sahaja belaku sebanyak 985 kali, 2009 iaitu paling banyak, 1,286 kali, 2010 sebanyak 218 kali dan 2011 dari Jan-Mei sebanyak 19 kali.

Apakah tindakan Kerajaan Malaysia

• Persoalan 1: Apa tindakan Kerjaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusunya TUDM? Setakat ini kerajaan hanya menyatakan bahawa Malaysia menangani pencerobohan ini melalui 'bantahan-bantahan diplomatik'. PAS Johor berpendapat bantahan diplomatik tidak mencukupi walaupun Malaysia telah  melakukannya sejak 2008, ia jelas tidak menyekat atau menghalang RSAF daripada terus mencerobohi ruang angkasa Malaysia.

• Persoalan 2: Apakah kemampuan pertahanan udara kita begitu lemah sehingga sebuah negara asing boleh dan terus mencerobohi ruang udara kita tanpa tindakan tegas? PAS Johor ingin tahu sama ada ATM terutama TUDM mempunyai keupayaan atau kelengkapan canggih untuk memintas dan menagkis serangan udara dari pihak luar khususnya Singapura?

Malaysia tidak boleh selama-lamanya 'beralah' tetapi mesti memperlihatkan ketegasan dan kesungguhan dalam menangani sesuatu isu ini terutama yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

PAS Johor bimbang pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah.

PAS Johor mendesak supaya Kerajaan Johor dan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas samada diplomatik dan ketenteraan supaya kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan tidak semudahnya dicabar dan diceroboh oleh anasir luar.

Cukuplah peristiwa pencerobohan ruang angkasa Johor ini, insiden pecerobohan di Lahad Datu dan tragis hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura menjadi sempadan noktah yang menuntut ketegasan daripada kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Undi saya dapat, tak sebanyak anak ayam - Sohaimi

Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau lalu mendakwa keputusan pilihan raya itu menggambarkan betapa sukar memenangi hati rakyat walaupun pelbagai pemberian oleh BN sepanjang berkempen.

Beliau yang tampil berkongsi pengalaman berkempen pada pilihan raya itu bersama Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) semalam berkata, pengundi sebenarnya tidak mudah terpengaruh dengan pemberian itu kerana mereka sudah mempunyai calon pilihan sendiri.

“Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan.

"Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu.

“Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak,” katanya dipetik TMI.

Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu.

Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja.

“Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu.

“Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN," katanya.

PAS Melaka anjur konvensyen kedua 17 Nov

PAS Negeri Melaka akan mengadakan konvensyen kali kedua pada 17 November ini bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Asri Sheikh Abdul Aziz berkata konvensyen itu adalah kesinambungan dari konvensyen kali pertama yang diadakan pada tahun lepas.

"Kita akan anjurkan konvensyen ini tiap-tiap tahun sebagai platform untuk PAS negeri menilai dan memuhasabah serta merangka strategi perjuangan pada masa hadapan.

"Konvensyen ini memberi ruang kepada pimpinan PAS negeri dan ahli-ahli menyatakan pandangan dan cadangan kepada PAS bagi memastikan kesinambungan perjuangan kita di Melaka," ujar Asri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa konvensyen di sini, malam tadi.

Asri berkata antara perkara penting akan dibincangkan pada konvensyen itu ialah tarbiah, pemerkasaan dan pengurusan parti.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan majlis penutup oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. 

Presiden juga akan menyempurnakan majlis perasmian Kompleks PAS Bukit Katil yang baru siap bagi menggantikan bangunan lama yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan baru.

Seluruh kepimpinan PAS pelbagai peringkat dari cawangan hingga negeri dijemput hadir untuk memeriahkan program tersebut.

Rosni mahu Muslimat PAS jadi pencorak masyarakat

Calon Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Dr Rosni Adam (gambar) berazam untuk menjadikan DMPP sebuah organisasi yang bergerak dan mampu mencorak masyarakat.

Beliau berkata, berbekalkan kekuatan dalaman dan kelebihan ilmu yang dimiliki pimpinan dan ahli, DMPP mampu menjadi organisasi yang mendepani isu-isu masyarakat khususnya isu wanita.

"Kita mahu DMPP menjadi organisasi yang bergerak berbekalkan kekuatan tarbiyah dan pengalaman ilmu untuk merasai denyut nadi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan dan tahap pendidikan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, DMPP perlu menjadi organisasi yang seimbang dari sudut siasah dan dakwah, bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam.

"Di samping lengkap dengan ilmu berkaitan politik dan siasah, muslimat juga perlu mengutamakan tugas dakwah dan tarbiyah serta meneruskan kepimpinan ulama.

"Macam saya, saya profesional tapi saya tetap mahukan kepimpinan ulama," katanya.

Menyentuh mengenai keberadaan DMPP bersama Wanita Pakatan Rakyat, beliau berkata DMPP mesti meneruskan kerjasama dengan Wanita PKR dan DAP namun harus lebih ke hadapan.

"DMPP mesti diberi ruang dan peluang untuk terus menyumbang idea dan tenaga bersama Wanita Pakatan Rakyat dan biarlah kita menjai organisasi yang sentiasa di hadapan," katanya.

Selain itu, beliau juga berpandangan, pertandingan dalam DMPP membuktikan demokrasi dalam PAS dan sekaligus menunjukkan DMPP mempunyai ramai calon yang layak.

"Pertandingan ini menyuburkan demokrasi dalam PAS secara tak langsung menunjukkan muslimat mempunyai ramai calon yang boleh dipilih sebagai pemimpin," katanya.

Seorang lagi calon yang bertanding pada pemilihan muktamar kali ini ialah Mumtaz Md Nawi.

Muktamar DMPP akan berlangsung pada 21 November ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam.

Salahudin mahu bawa PAS lebih inovatif dan dinamik

Berhasrat untuk terus memposisikan kedudukan PAS di pentas politik tanah air dan bersaing dalam menentukan masa depan politik negara, Salahuddin Ayub berikrar akan meneruskan apa yang sudah dilakukannya jika terpilih sekali lagi dalam muktamar kali ini sebagai naib presiden.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Salahuddin berkata peranan beliau membina 'jambatan' bagi menghubungkan PAS dengan dunia luar itu perlu diperkukuhkan dan dianjakkan lagi bagi memastikan PAS sebagai sebuah parti progresif, inovatif dan dinamik.

"Bagi saya, PAS sebagai parti yang berdasarkan Islam ini mesti perlu progresif, inovatif dan dinamik bagi memposisikan diri sebagai sebuah parti yang dapat bersaing dalam suasana politik masa depan negara," tegas beliau.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berpendapat PAS perlu muncul untuk jadi parti terkuat, yang merupakan satu lonjakan baru yang perlu didokong bersama yang turut akan dibina kelak.

Pada pemilihan PAS kali ini, jawatan Naib Presiden PAS menyaksikan pertandingan lima penjuru bagi memilih tiga daripadanya untuk penggal 2013-2015.

Selain Salahuddin, dua penyandang lain iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa turut mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut bertanding untuk jawatan tersebut.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Nov, bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

S'gor teruskan bantuan Skim Tunas - Dr Halimah

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk meneruskan Skim bantuan tadika Selangor (Tunas) bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah menghantar anak ke tadika.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali berharap semua pihak pengurusan Tadika perlu segera mendaftarkan pelajar yang pendapatan keluarga mereka di bawah RM3,000 sebulan.

Ini kerana katanya, mulai Januari tahun depan bantuan Tunas sebanyak RM50 akan dibayar terus kepada Tadika yang berdaftar dengan Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

"Mulai Januari tahun depan kita akan bayar terus kepada tadika. Kita tidak mahu menyusahkan tadika. Kita hendak bantu penduduk yang kurang berkemampuan untuk hantar anak ke tadika," katanya.

Berucap ketika menyampaikan replika cek RM1,515,595 kepada Pengerusi MPTS,  Prof Madya Dr Supyan Hussin katanya, tiada alasan bagi ibu bapa yang kurang kemampuan untuk menghantar anak mereka ke tadika.

Pada tahun 2013 seramai 3,071 orang pelajar layak menerima bantuan Tunas dan tahun 2014 kerajaan telah meningkatkan keluarga yang layak menerima Tunas mereka yang berpendapatan RM3,000 kebawah.

Skim Tunas kata beliau merupakan bantuan pendidikan kepada seluruh tadika yang berdaftar di bawah Tadika Pemuafakatan Selangor dan terbuka sama ada tadika di negeri Selangor dan Pusat.

Bagaimanapun katanya, Tadika Perpaduan dan Kemas dihalang untuk mendapat bantuan daripada Skim Tunas.

Di samping itu beliau turut menekankan tentang pemberian Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang merupakan perancangan panjang kerajaan Pakatan Rakyat terhadap pendidikan anak-anak Selangor.

Katanya, lahir sahaja bayi sudah ada duit dalam Tawas sebanyak RM100 dan duit tersebut boleh diambil ketika mereka berusia 18 tahun, maknanya mereka sudah ada simpanan sebanyak RM1,800.

Beliau berkata, Tunas, Tawas serta hadiah kepada pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA sebanyak RM1,000 merupakan program merakyatkan ilmu dikalangan rakyat negeri Selangor.

Pasti, Unit Amal aset berharga PAS

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru semua ahli PAS di setiap peringkat supaya menghargai dan menjaga pasukan Unit Amal dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebaik mungkin kerana ia merupakan aset penting kepada PAS.

Menurutnya, sejarah membuktikan masyarakat mula 'celik mata' terhadap PAS selepas mengenali pengorbanan pasukan Unit Amal dan menyukai sistem pendidikan dan pendekatan yang diguna pakai di Pasti.

Justeru itu, kejayaan PAS hari ini ada kaitan dengan keaktifan Unit Amal dan Pasti kerana ada setengah pihak mengenali keduanya dahulu sebelum berjinak dengan PAS.

"Jagailah pasukan Unit Amal dan Pasti dengan baik, jangan hampakan rakyat yang telah menaruh harapan terhadapnya. Unit Amal dan PASTI merupakan aset PAS yang berharga," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan 25 tahun Pasti Nurul Iman, Kampung Guar Kepayang, Tasek Gelugor baru-baru ini.

Unit Amal dan Pasti katanya, bukan sahaja terkenal di kalangan orang Islam ataupun penyokong PAS, malah kini sudah menjadi buah mulut masyarakat termasuk bukan Islam kerana sumbangan besar kedua-duanya.

"Ini bererti nama PAS sudah melekat di hati rakyat maka situasi sebegini harus dijagai sebaik mungkin agar tidak berlaku masalah yang akhirnya menjejaskan nama PAS itu sendiri," katanya.

Perisik CIA: NGO mahu lapor polis seluruh negara

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat laporan polis serentak di seluruh negara esok, berhubung dakwaan terdapatnya dua agen perisik CIA bekerja di pejabat Peguam Negara ketika ini.

Dakwaan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam akuan bersumpah bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim.

"Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Mat Zain Ibrahim (Bekas Pegawai Kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui pejabat AG. 

"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan, pihak polis harus bertindak segera manakala Tun Mahathir harus tampil memberi penjelasan," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Beliau berkata, laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak. 

"SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini," katanya.

Beliau juga menegaskan, jika pihak polis masih tidak mahu membuat siasatan, SAMM menyeru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul di depan IPD Dang Wangi pada 24 November ini untuk memberi tekanan yang jauh lebih serius.

"SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku adalah termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa. 

"Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ia diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat.

"SAMM dalam kenyataan sebelum ini telah mendesak supaya segala aktiviti yang melibatkan pihak Pejabat Peguam Negara (AG) dibekukan segera dan Tan Sri Gani Patail harus diberkas untuk disoal-siasat," katanya.

Keputusan UPSR bukan penamat segala-gala

NGO Pendidik ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada calon UPSR yang menerima keputusan peperiksaan UPSR semalam. Kepada ibu bapa dan warga pendidik ,juga diucapkan jutaan terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan dengan penuh kegigihan dan ketabahan selama ini. Sudah pasti jasa dan pengorbanan ini akan ‘membekas di hati’ dan dikenang oleh anak–anak yang melalui detik pertama menempuh ujian selama 6 tahun berada di alam sekolah rendah.


Walau apa pun keputusan UPSR yang diterima, syabas dan tahniah diucapkan atas kegigihan menuntut ilmu pengetahuan tanpa jemu di samping ingin memenuhi cita-cita beroleh kejayaan yang cemerlang.Pastinya,ibu bapa,guru dan warga pendidik akan gembira sekiranya keputusan 5A yang diterima. Jika sasaran untuk memperolehi keputusan tidak menepati sasaran, terimalah ia dengan hati terbuka dan redha atas qada’ qadar yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT.

Sesungguhnya, keputusan UPSR adalah akronim untuk klausa ‘Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah ‘ yang merupakan permulaan dan bukanlah penamat bagi segala- galanya dalam meraih bagi kejayaan dalam kehidupan. Apa yang penting ,jangan mudah berputus asa dan kecewa jika tidak berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR. Juga jangan berasa terlalu gembira jika matlamat untuk memperolehi keputusan 5A telah tercapai kerana ia hanya permulaan bagi sebuah laluan dalam meniti sebuah kejayaan yang masih panjang dan jauh di hadapan. Bukanlah ia bermakna ,kecemerlangan akan terus dicapai jika akhirnya pelajar leka dengan kejayaaan yang diterima.Ini adalah kerana peperiksaan SPM ,STPM dan laluan ke IPT menanti usaha yang gigih dan berterusan untuk menggapai sebuah kejayaan.

Kebimbangan saya adalah hilangnya keyakinan pelajar dalam hidup jika apa yang diimpikan tidak tercapai. Contohnya, tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR hinggakan mengambil keputusan nekad untuk menamatkan riwayat dengan membunuh diri. Ini pernah terjadi kepada segelintir pelajar akibat rasa kecewa dengan keputusan yang diterima hingga mengambil keputusan nekad seperti itu. Lebih-lebih lagi, mereka beranggapan hidup di dunia dunia seolah olah tiada erti kerana gagal memenuhi impian keluarga dan pihak sekolah. Sedangkan masih banyak lagi langkah kejayaan yang akan dilalui jika kita sabar dan bangkit untuk menggapai cita-cita dan kejayaan menuju ke gerbang jaya. Semoga tiada kes seperti ini berlaku pada tahun ini dan pada masa akan datang.

Akhir kata, “Selamat Maju Jaya”. Teruskan perjuangan untuk menuntut ilmu ke gerbang jaya!

Mutiara kata : Kejayaan tidak pernah berakhir.Kegagalan tidak pernah termusnah. Yang penting adalah sebuah KEYAKINAN !Teruskan usaha sepanjang masa..

*Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)

Hala tuju PAS Selangor depani politik negara

PAS Selangor akan memberi tumpuan mengenai hala tuju PAS sebagai parti politik Islam yang kukuh dan berperanan penting dalam mendepani politik arus perdana dalam ijtimak yang akan diadakan, Ahad ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS, Dr Abdul Rani Othman, perkara itu perlu ditekankan kepada semua ahli dan pimpinan PAS yang akan menyertai ijtimak itu nanti.

Katanya, ini kerana senario dalam PAS sekarang berlaku tuduhan atau melabel individu atau kumpulan tertentu dengan niat untuk menjatuhkan reputasi pimpinan.

Beliau berkata, sikap melabel pimpinan dengan kelompok tertentu itu sebenarnya hasutan daripada pihak luar tetapi tanpa disedari ahli PAS sendiri yang membawa masuk ke dalam parti.

"Dalam ijtimak nanti kita hendak bagi tahu pimpinan cawangan, kawasan dan negeri supaya jangan bergaduh antara kita kerana ia akan merugikan parti," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, menjelang pemilihan pada Muktamar Tahunan PAS kempen memang boleh dilakukan tetapi biar secara sihat dan jangan ada sikap memburuk-burukkan calon lain.

"Kita tidak boleh halang kempen di facebook walaupun sudah beberapa kali ditegur oleh pimpinan. Ada yang kempen menyerang secara terang-terangan dan ada juga secara lembut tetapi mempunyai agenda tersembunyi," tegasnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijadualkan mentup ijtimak sehari dii Dewan Sivik Petaling Jaya itu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Manakala forum melibatkan ahli panel Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub; Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad dan Ustaz Ahmad Awang.

UMcedel dedah rahsia PAS menang di Sg Limau


Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) telah mendedahkan rahsia kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Limau.

Pendedahan itu dibuat semasa Seminar Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Limau di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Semasa membentangkan kajiannya, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata kejayaan PAS pada PRK Dun Sungai Limau berkait rapat dengan pemilihan calon yang kena dengan cita rasa penduduk setempat.

“Pemilihan calon memainkan peranan yang penting bagi kawasan ini. Calon mestilah memiliki ciri-ciri seperti berkelulusan agama, rapat dengan penduduk setempat dan anak tempatan.

Berdasarkan rekod pilihan raya sejak merdeka, kesemua calon yang menang memiliki ciri-ciri tersebut. Tidak kiralah mereka daripada PAS mahupun Umno.” ujar Dr Shaharuddin.

Seseorang calon juga mestilah merakyatkan dirinya dan boleh melayan penduduk kampung walau di mana sahaja, selain mengekalkan imej kampung iaitu berkopiah dan berkain pelikat.

Dr Shaharuddin turut menceritakan pengalamannya mengikut Adun Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, di dalam bonet kereta Ustaz Azizan sentiasa ada pisang, ubi dan lain-lain keperluan asas yang dijadikan 'buah tangan' ketika berkunjung ke rumah-rumah penduduk yang dilawatinya.

"Oleh itu, jika mana-mana parti mahu menang di kawasan ini mereka mestilah mempunyai pakej tersebut," jelas beliau.

Dr Shaharuddin turut mendedahkan bahawa BN masih tidak berupaya mengubah budaya mewahnya walaupun berkempen di kawasan kampung.

Menurut beliau calon Umno iaitu Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan juga Mukhriz telah mengikut rentak penduduk Sungai Limau apabila turut berkopiah dan berkain pelikat ketika berkempen, namun langkah itu tidak dituruti pemimpin yang datang dari luar.

Sebelum itu, semasa membentangkan keseluruhan dapatan keputusan di Sungai Limau, Pengarah UMcedel Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman menyebut tentang peri pentingnya pemilihan calon yang tepat khususnya di kawasan kedua-dua pihak sama kuat – seperti yang berlaku dalam PRK Kuala Terengganu, Permatang Pasir dan Galas.

Dalam seminar ini tetamu jemputan iaitu Dr Ahmad Sohaimi Lazim, calon Umno di Sungai Limau turut berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh berkempen.

Tarik profesional muda kukuh Pemuda PAS - Zamri

 Menarik serta menggembleng lebih ramai tenaga muda profesional daripada pelbagai latar belakang bersama menjiwai perjuangan murni PAS menjadi salah satu agenda utama Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (gambar) sekiranya dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia dalam Muktamar PAS nanti.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) berkata, buah fikiran dan tenaga mereka ini amat diperlukan dalam Dewan Pemuda PAS berdasarkan kepada kepakaran dan kebolehan masing-masing.

"Selalu kita dengar mereka yang profesional ini cenderung kepada PKR dan DAP, dan kali ini kita akan pecahkan dan cuba tarik lebih ramai golongan muda berprofesional untuk memperkuatkan lagi Pemuda PAS," tambahnya.

Namun katanya, perkara paling penting adalah memasyarakatkan Pemuda PAS dengan isu-isu dan permasalahan yang  membelenggu rakyat.

Katanya,  Pemuda PAS perlu sentiasa cakna dan ke depan untuk membela rakyat dan merasai denyut nadi rakyat di pelbagai peringkat dan golongan.

"Tidak harus ada sikap eksklusif tetapi  perlu sentiasa bersikap responsif dengan persekitaran semasa," katanya kepada Harakahdaily.

Zamri juga bercita-cita mahu menjadikan Pemuda PAS sentiasa relevan dengan persekitaran anak muda yakni mereka harus bersikap terbuka dan meraikan kepelbagaian sikap dan perbezaan pendapat dengan hujah dan pendekatan yang matang serta bersifat kontemporari.

"Pengundi berusia 21 hingga 30 tahun inilah yang perlu ditarik oleh kita untuk bersama-sama PAS dan Pakatan Rakyat. Sedangkan kita tawarkan banyak termasuk isu PTPTN dan harga kereta tetapi undi mereka kepada PAS hanya sedikit.

"Inilah yang perlu kita kaji mendalam. Pemuda PAS kena bekerjasama dan cakna bukannya membuat program 'ad-hoc' semata-mata," tegasnya.

Zamri juga mengakui bahawa jati diri anak muda harus diperkukuhkan dengan tarbiyyah dan menanam rasa cintakan negara serta semangat  patriotisme yang tinggi kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara ini kelak.

"Tidak boleh hanya tarik golongan profesional semata-mata tetapi kesemua ini perlu diadun jalin. Pengukuhan jati diri dengan ajaran Islam dan tarbiyyah mendalam adalah senjata yang paling utuh untuk sebuah perjuangan Islam," katanya.

Justeru katanya, agenda-agenda tersebut perlu dilaksanakan oleh Pemuda PAS dan percaya ianya akan menjadi pilihan pertama khususnya untuk anak-anak muda Melayu.
Pada pemilihan PAS kali ini, Zamri buat pertama kalinya bertanding di peringkat tinggi Pemuda PAS Malaysia bagi jawatan Naib Ketua.

Dalam pemilihan kali ini, selain Zamri, Ir. Mohd Khairul Nizam Khairuddin turut bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda.

Negara dibebani hutang, jadilah pemimpin berhemah

Berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus tadbir kewangan negara bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah.

Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bernama Saad r.a. ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad r.a, Rasulullah SAW bersabada:

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Artinya: Apakah pembaziran ini? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Lihatlah bagaimana Khalifah  Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri sangat mengagumkan dan seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Islam pada setiap zaman. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara dilakukan secara berhati-hati dan berjimat-cermat atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Tempoh pemerintahannya sangat pendek, hanya 2 tahun setengah sahaja. Namun revolusi yang dibawa memberi impak yang begitu besar kepada rakyat dan negara. Segala perubahan tersebut berlaku dalam masa tidak sampai 3 tahun, Bukan 54 tahun. Saya percaya, selaku salah seorang rakyat biasa yang prihatin, pasti inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Tidak perlulah seideal Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai integriti yang meyakinkan.

Walau bagaimanapun, senario yang bertentangan berlaku, tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan dalam negara dan luar negara.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran.

Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi?

Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil tak guna perbelanjaan tinggi.

PAS mencadangkan untuk tahun 2014 Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lebih banyak guna pesawat komersil walaupun ke luar negara, untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

Ada pemimpin besar negara maju (Malaysia negara membangun) tak guna pesawat pun. Pesawat eksekutif biarlah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja. Tapi baru-baru ini pun Timbalan Perdana Menteri ulang alik ke Sungai Limau guna pesawat eksekutif. Ini tak betul sebab ini kempen parti bukan program kerajaan dan kalau program kerajaan pun kerajaan perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan guna pesawat komersil kerana pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik.

Oleh itu, Malaysia sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan defisit negara bahkan mampu membayar hutang negara yang semakin menggunung tinggi hampir RM600 bilion, jika kewangan negara diurus secara berhemah dan berjimat cermat tanpa membazir.

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.

Mansuh SPPBS: Guru kini sudah berani bersuara

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) mengajak semua pihak menyokong kempen memansuhkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Beliau berkata, para guru kini sudah berani tampil menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung sistem tersebut.

Menurutnya, kesedaran guru kini terserlah apabila mereka tampil melalui media sosial dan massa menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelaksanaan PBS yang sangat membebankan mereka.

“Keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK – NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan PBS seharusnya disokong segera oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, para guru memerlukan sokongan dengan melancarkan kempen pemansuhan itu agar kerajaan mengambil serius berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, Abu Bakar menyeru semua pihak yang prihatin terhadap isu pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen tersebut.

“Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyeru termasuk KPPK, ibu bapa dan orang ramai yang prihatin terhadap pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen pemansuhan PBS yang nyata didapati membebankan guru di negara ini,” katanya.

Pada 9 November lalu, Presiden KPPK,  Hashim Adnan menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan PBS yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Beliau berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Roboh: Adun Sungai Rapat, Pasir Pinji tinjau setinggan


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Radzi Zainon bersama dengan Adun Pasir Pinji, Lee Chuan How turun padang meninjau kehidupan penduduk perkampungan setingan di Sri Keramat, Sri Murni dan Tok Cendang.

Lawatan bersama tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan tersebut seramai kira-kira 300 orang.

Penduduk sekeliling kampung-kampung setinggan tersebut telah menerima surat arahan untuk mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh sebulan untuk membuka ruang kepada pemaju menjalankan perobohan.

Ia difahamkan bahawa tapak ketiga-tiga kampung telah diluluskan kepada sebuah syarkat untuk tujuan pembangunan taman perumahan.

Kawasan tiga kampung berkembar yang berkeluasan 84 ekar itu sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh.

Oleh itu, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi.

Sebagai penyelesaian dan rancangan penempatan semula, para penghuni telah diberi tawaran satu lot tanah gantian bergeran.

Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah, mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium.

Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan, iaitu hanya berkeluasan 45 kali 70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50 kali 80 kaki.

Ada pula yang berkemampuan untuk membayar premium tanah, melalui pinjaman peribadi, tetapi tidak dilayan oleh bank dan institusi kewangan untuk mengambil pinjaman pembinaan rumah, sedangkan usia mereka sudah lanjut atau pendapatan rendah.

Ada yang menghuni di situ telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat mentadbir Kerajaan Negeri Perak, nasib mereka diambil peduli.

Pada ketika itu, Datuk Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung berkenaan dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

Namun kerajaan PR tidak bertahan lama.

Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin ‘terpaksa’ melupakan angan-angan dan cita-cita untuk mendapat sekeping tanah bergeran di situ walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan itu sejak sekian lama.

Masalah pokok yang timbul adalah kekurangan maklumat atau komunikasi di antara pihak pentadbir, pemaju dan penduduk.

Ramai yang terperangkap dalam suasana ketidakpastian yang sepatutnya tanggungjawab kerajaan dan juga pentadbir untuk memastikan bantuan dan maklumat wajar disampaikan kepada kesemua yang terbabit.

Jelasnya, tanggungjawab itu tidak ditunaikan.

Tiada siapa yang mampu membela mereka. Mereka bagaikan telah jatuh ditimpa tangga. Hanya kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan prihatin akan nasib mereka mampu membela penduduk-penduduk terbabit.

Adakah kerajaan BN mampu, kita tunggu dan lihatlah kesudahannya.

Bagi Radzi dan Lee Chuan How, oleh kerana sistem peruntukan wang amalan kerajaan BN yang tidak adil dan berdasarkan parti, maksudnya Adun pembangkang tidak disalurkan peruntukan, pengurusan dan bantuan mereka hanya mampu membawa kisah duka penduduk ketiga-tiga kampung Melayu itu.

“Kami, Wakil Rakyat Pakatan Rakyat, akan turun padang melawat ketiga-tiga kampung itu semula minggu depan untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut supaya hakikat sebenar penduduk dapat dibawa ke Dewan Undangan Negeri pada persidangan 25 November nanti,” ujar mereka.

UPSR: Pemuda PAS Sarawak ucap tahniah

Pemuda PAS Sarawak dengan rasa berbesar hati mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar Sarawak yang telah memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Kami juga ingin memberi penghargaan yang tinggi kepada SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, Kuching kerana tersenarai sebagai sekolah terbaik d Sarawak berasaskan kepada Gred Pencapaian Sekolah (GPS),” ujar Ketuanya, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan laporan pencapaian berasaskan GPS yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, 4 daripada 5 sekolah terbaik dI Sarawak adalah daripada sekolah rendah agama di bawah Majlis Islam Sarawak.

Menurutnya, pada tahun 2013 peruntukan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan untuk bantuan kepada sekolah-sekolah agama hanya RM100 juta untuk semua sekolah agama di seluruh Malaysia, tiada peruntukan khusus yang lebih meyakinkan bagi sekolah-sekolah agama di Sarawak.

“Kami turut mengharapkan agar ada peruntukan khusus yang lebih banyak untuk sekolah-sekolah agama di Sarawak daripada keseluruhan jumlah peruntukan yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2014 berjumlah RM54.6 billion untuk sektor pendidikan,” katanya lagi.

Oleh sebab yang demikian, ujarnya PAS dalam manifesto PRU13 yang lepas, dalam dokumen 12 Tawaran PAS Sarawak telah memperuntukan RM170 juta khusus untuk pembangunan sistem pendidikan rendah dan menengah berteraskan Islam yang komprehensif di seluruh negeri di samping memperkenalkan sistem pendidikan tahfiz sains di negeri itu.

Ini, ujar beliau adalah amat penting kerana telah lama sistem sekolah berteraskan Islam telah lama dipinggirkan.

“Jumlah ini bukanlah suatu jumlah yang mustahil untuk disalurkan oleh kerajaan negeri memandangkan jumlah reserve Sarawak yang cukup besar iaitu RM22 billion,” ujarnya.

Pemuda PAS, katanya turut ingin mencadangakan agar kerajaan negeri menambah lebih banyak biasiswa bukan hanya melalui Yayasan Sarawak tetapi melalui agensi-agensi kerjaan negeri yang lain dalam usaha menambah bilangan pelajar yang dibiayai untuk melanjutkan ke sekolah-sekolah berasrama penuh dan kolej-kolej premier.

Beliau berkata, Pemuda PAS Sarawak turut melihat keperluan mendesak untuk Sarawak memiliki lebih banyak sekolah berasrama penuh sains dan Maktab Rendah Sains Mara.

Ini, ujarnya kerana dengan hanya 2 buah sekolah menangah sains dan sebuah Maktab Rendah Sains Mara tidak mencukupi bagi menampung pelajar-pelajar cemerlang yang boleh digilap potensi mereka khususnya dari luar bandar.

“Dalam masa yang sama, kami merasakan perlu ada usaha yang lebih serius oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha meluaskan capaian kepada sistem prasekolah dan tadika ke kawasan tumpuan penduduk dan pedalaman,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, kajian dari The Institute for Fiscal Studies menunjukkan dengan pertambahan prasekolah dan pendidikan akan mengurangkan masalah keciciran murid di sekolah rendah.

Tambahnya, ini juga akan menyediakan suatu asas yang baik untuk kecemerlangan anak-anak Sarawak di masa akan datang.

Wacana kedudukan pendidikan Islam dalam PPP malam ini

Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik Malaysia)akan menganjurkan Wacana & Sumbang Saran Kedudukan Pendidikan Islam Dalam Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada malam ini, 16 November 2013.

Program dengan kerjasama Majlis kebajikan Pendidikan Malaysia (Makpen) itu akan diadakan di Dewan Seminar Horizon Garden Seksyen 8, Bandar Baru Bangi ini dan dijangka bermula seawal jam 8.30 malam.

Antara tetamu dan jemputan yang bakal hadir untuk berkongsi pandangan adalah Datuk Abu Bakar Chik (Mustasyar NGO Pendidik), Datuk Adnan Ibrahim (Mantan Pengarah Pendidikan Negeri Perak), Hj. Abas Awang (Mantan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan) dan juga golongan akademik dari universiti tanah air.

“Majlis Wacana & Sumbang Saran Kedudukan Pendidikan Islam Dalam Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dianjurkan untuk berdiskusi dan berkolaborasi tentang kedudukan ‘Pendidikan Islam’ dalam arus perdana pendidikan Negara” Kata Presiden Pendidik Normala Sudirman.

Katanya, selain dari menjadi wadah dan wahana untuk saling bertukar-tukar pandangan tentang masa depan pendidikan anak bangsa, warga pendidik dapat mengeratkan silaturrahim dan menyimpul ukhuwwah sesama teman seperguruan di Malaysia dalam dunia pendidikan masa kini.

“Kedudukan dan status masa depan ‘Pendidikan Islam’ semakin terhakis tanpa disedari kerana kurangnya keprihatinan Kementerian Pelajaran Malaysia ketika pengumuman Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia baru-baru ini.

"Seolah-olah tiada usaha secara serius oleh kerajaan dalam mengarusperdanakan pendidikan Islam di Malaysia dalam persada pendidikan Negara," ujarnya lagi.

Program kali ini dijangka menarik perhatian ramai warga pendidik dan golongan professional pendidikan untuk berkongsi diskusi ilmu yang boleh dimanfaatkan bagi terus mengalas tugas suci dan amanah dalam mendidik anak bangsa.

Normala dalam pada itu mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Tn Hj. Md. Zai Bin Mustaffa, Ketua Eksekutif Makpen yang sudi menjadi penganjur bersama.

Bagi sesiapa yang masih berminat untuk mengikuti program ini sila hubungi talian 019 726 8937 (Cikgu Mala) seberapa segera kerana penyertaan adalah terhad.

Muktamar PAS ke-59 disiar secara langsung

Perjalanan Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 pada 22 hingga 24 November ini akan disiarkan secara langsung melalui webtv PAS (http://webtv.pas.org.my) dan juga radio internet hijau.fm terutamanya pada hari perasmian.


Jabatan IT PAS Pusat (JITP)  juga telah memembangunkan laman web khusus untuk muktamar PAS ke-59  pada kali ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, JITP ditugas mengendalikan urusan yang berkaitan dengan akses internet dan lain-lain perkara berkaitan dengan IT  bagi memastikan kelicinan muktamar.

Pengarah JITP Suhaimi Embong, berkata, web muktamar-59 ini boleh diakses di alamat http://muktamar59.pas.org.my meliputi aturcara, jawatankuasa, berita-berita berkaitan dengan muktamar, koleksi video dan album muktamar terdahulu serta lain-lain perkara berkaitan dengan muktamar yang akan dikemaskinikan dari masa ke semasa.

“Web muktamar ke59  ini diadakan bagi tujuan untuk memudahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta rakyat Malaysia mendapat maklumat berkaitan dengan muktamar PAS melalui sumber-sumber rasmi parti secara langsung” katanya yang juga Ketua jawatankuasa IT Panitia Muktamar.

E-Voting: Apakah ada plot tumbangkan Pro-M?


Pendahuluan


Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kaedah Undi Elektronik atau E-Voting. Untuk mengundi, mahasiswa perlu mengakses akaun pengundian dengan menggunakan kata laluan khas.  Kata laluan tersebut akan diberikan oleh petugas Pilihanraya setelah mahasiswa mendaftar diri pada senarai daftar pemilih.

Setiap mahasiswa perlu memilih 2 orang bagi kerusi umum dan 2 orang bagi fakulti masing-masing. PRK UMSKAL menetapkan sebanyak 6 kerusi dipertandingkan  iaitu 2 bagi kerusi umum, 2 bagi Sekolah Peniagaan Dan Kewangan Antarabangsa (SPKAL) dan 2 bagi Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL).

Pro Mahasiswa, pilihan mahasiswa UMSKAL
Untuk rekod, calon Pro Mahasiswa UMSKAL (Pro-M UMSKAL) telah berjaya mendapat undi tertinggi sejak Pilihanraya kampus 2006 sehingga 2012. Daripada 6 kerusi yang dipertandingkan, Pro-M UMSKAL  juga berjaya menguasai paling kurang tiga kerusi dan menguasai jawatan Naib Presiden selama selama 5 tahun berturut-turut. Naib Presiden merupakan posisi tertinggi dalam Majlis Perwakilan Pelajar bagi UMS Cawangan Labuan. Namun pencapaian Pro-M UMSKAL mula merosot pada Pilihanraya Kampus 2009. Oleh itu pada tahun berkenaan, Pro-M UMSKAL telah memulakan bantahan terhadap sistem E-Voting kerana telah menghidu seperti ada sesuatu yang tidak kena pada sistem berkenaan. Namun bantahan ketika itu tidak terlalu garang memandangkan E-Voting merupakan satu sistem baru yang belum dikaji secara menyeluruh. Pada tahun 2010, Pro-M UMSKAL telah menghantar memorandum kepada pihak Timbalan Naib canselor UMS bagi membantah E-Voting, walaupun pada ketika itu Pro-M UMSKAL masih menguasai Majlis Perwakilan Pelajar.

Namun pada Pilihanraya Kampus 2013, Pro-M UMSKAL  bukan sahaja gagal mempertahankan calon dengan undian tertinggi, malah kesemua calon Pro-M UMSKAL tewas. Kekalahan ini amat mengejutkan kerana culaan awal yang dibuat oleh pihak Pro-M UMSKAL terhadap 1000 sampel mendapati 47 % mahasiswa cenderung untuk memilih Pro-M, 26 % cenderung memilih calon Pro Pentadbiran Universiti dan 27 % mahasiswa tidak pasti. 

E-Voting, masalah sama berulang setiap tahun 

Setiap tahun, E-Voting sering menimbulkan masalah sekaligus mengganggu kelancaran Pilihanraya kampus. Pro-Mahasiswa merasa sangat hairan bagaimana pihak Universiti boleh membiarkan masalah ini berterusan sedangkan Pilihanraya Kampus merupakan proses penting sebagai pendidikan demokrasi mahasiswa.

Bahkan sekiranya dilihat dari skop yang lebih luas, Pilihanraya Kampus merupakan hak mahasiswa seperti juga Pilihanraya Umum yang menjadi hak asasi setiap rakyat Malaysia. Sangat memalukan apabila almameter tertinggi Negara gagal mengendalikan Pilihanraya Kampus secara cekap justeru merencatkan pendidikan demokrasi kepada mahasiswa.

Antara masalah yang direkodkan semasa Pilihanraya Kampus UMSKAL 2013 adalah seperti  terdapat sebilangan pelajar tidak dapat mengakses masuk ke akaun pengundian kerana kata laluan  yang  diberikan oleh petugas pilihanraya ditolak oleh sistem. Hal ini menyebabkan pelajar tersebut gagal untuk  mengundi dan kehadiran pelajar tersebut dikira sebagai undi rosak.

Terdapat juga kejadian pelajar berjaya mengakses akaun pengundian, namun tidak dapat mengundi kerana skrin paparan komputer menjadi kaku dan mereka  tidak dapat menekan apa-apa butang untuk mengundi. Setelah beberapa saat, sistem tersebut secara automatik akan terdaftar keluar (Log Out) menyebabkan mahasiswa gagal mengundi.

10 minit sebelum pengundian berkahir, proses pengundian tiba-tiba terhenti dan mengakibatkan pengundi terpaksa beratur panjang menunggu giliran di luar dewan. Semua komputer pada ketika itu tidak dapat digunakan kerana sistem tergendala (Server Down). Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana perisian yang terdapat di dalam CPU tersebut hanyalah perisian E-Voting dan tidak dicampur dengan perisian lain.

Masalah yang paling mencurigakan ialah terdapat kesilapan pada jumlah undian yang disiarkan dalam keputusan rasmi Pilihanraya. Sistem E-Voting mewajibkan setiap mahasiswa untuk mengundi dua orang wakil daripada fakulti masing-masing dan dua orang wakil daripada kerusi umum. Oleh itu, jumlah keseluruhan bagi undi fakulti seharus sama dengan jumlah keseluruhan bagi kerusi umum. Namun setelah keputusan dikeluarkan, terdapat lebihan undi pada jumlah keseluruhan undi fakulti berbanding jumlah keseluruhan undi umum. Undi fakulti mencatat jumlah keseluruhan sebanyak 3,038 sedangkan jumlah kerusi umum mencatatkan 3036 undi. Hal ini menunjukkan seolah-olah terdapat seorang mahasiswa yang hanya mengundi bagi kerusi fakulti tetapi tidak mengundi untuk kerusi umum. Walhal dalam sistem E-Voting perkara itu tidak boleh berlaku kerana sudah ditetapkan oleh sistem.

Surat bantahan tidak berjawab 

Pro M UMSKAL telah menyerahkan satu surat bantahan dan memohon penjelasan daripada pihak Pengarah Kampus UMSKAL mengenai segala masalah yang berlaku. Surat bertarikh 2 November itu telah diterima oleh Setiausaha Pengarah Kampus kerana Pengarah dilaporkan tidak berada di kampus pada ketika itu.

Namun sehingga ke hari ini, Pro-M UMSKAL masih tidak menerima sebarang perkembangan positif mengenai surat tersebut.

Rentas Laut Cina Selatan, serah memo kepada Menteri Pendidikan 2 

Kecewa dengan sikap ambil lewa pihak pentadbiran UMSKAL, maka Pro-M UMSKAL meluaskan horizon perlawan E-Voting ke semenanjung. Memorandum Bantah Keputusan Pilihanraya Kampus telah diserahkan kepada Menteri Penidikan 2, Dato Seri Idris Jusoh pada 13 November lalu di Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya. Memorandum tersebut telah diterima oleh En. Baharuddin bin Mohd Shairi, Ketua Komunikasi Korporat  Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mohon sokongan ahli parlimen untuk lawan E-Voting


Tidak banyak respons yang diterima daripada pihak KPM selain daripada janji memorandum tersebut akan diserahkan kepada Menteri. Pada 14 November, Pro-M UMSKAL telah datang ke Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan. Dalam memorandum tersebut, Pro-M UMSKAL telah mencadangkan agar YB Rafizi Ramli mengusulkan penubuhan suatu Jawatankuasa Khas Parlimen bagi menyemak proses Pilihanraya Kampus seterusnya mengeluarkan syor yang perlu dilaksanakan bagi memperkemas sistem Pilihanraya Kampus. Memorandum tersebut juga memohon sokongan YB Rafizi Ramli untuk mendesak Menteri Pendidikan 2 menyelesaikan segala masalah yang diutarakan dalam Memorandum yang telah diserahkan kepada KPM.

Selain daripada YB Rafizi Ramli, memorandum tersebut juga telah diserahkan kepada beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu YB Zairil Khir Johari, YB Ong Kian Ming, dan YB Steven Sim. Kesemua YB yang ditemui berjanji akan cuba sedaya mampu untuk mengetengahkan memorandum tersebut melalui dewan legislatif.

Bertemu Suhakam, mohon siasat kecelaruan E-Voting 

Pada jam 2 petang, 14 november, Pro-M UMSKAL telah bertemu dengan Tuan James Nayagam, Pesuruhjaya SUHAKAM di Maju Junction Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut, Pro-M UMSKAL telah menyerahkan sebuah memorandum yang antara lain menuntut pihak SUHAKAM menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap Pilihanraya Kampus UMSKAL 2013. Pro-M UMSKAL juga memohon pihak SUHAKAM membuat penarafan terhadap Pilihanraya Kampus UMSKAL samada sistem yang digunakan menepati standard universal.

Tuan James Nayagam nyata amat terkejut apabila mengetahui Pilihanraya Kampus dikendalikan sendiri oleh pihak Universiti tanpa ada pemantauan daripada badan berkecuali. Pro-M UMSKAL juga menjelaskan amat sukar untuk pihak mahasiswa mengemukakan bukti kukuh mengenai maslah E-Voting memandangkan mahasiswa tidak dibenarkan membuat rakaman di dalam bilik pengundian.

Oleh sebab itu, Pro-M UMSKAL mencadangkan agar SUHAKAM mengadakan sebuah inkuiri terbuka bagi menyiasat segala kepincangan yang berlaku akibat E-Voting. Hanya dengan cara ini semua bukti yang disimpan oleh pihak universiti dapat diketengahkan.

Tuan James Nayagam berjanji akan mengemukakan surat kepada pihak UMSKAL bagi menuntut penjelasan mengenai segala permasalahan yang diutarakan oleh pihak Pro-M UMSKAL. Beliau juga mengatakan sudah tiba masanya semua universiti di Malaysia memiliki Code of Conduct Pilihanraya Kampus yang seragam.

Sistem korup terus dibiarkan, ada plot jatuhkan Pro M UMSKAL 

Selain bergiat aktif dalam mempromosikan idealisme mahasiswa yang progresif dalam kampus, Pro-M UMSKAL juga aktif menjalankan aktiviti pemberdayaan demokrasi dalam kalangan masyarakat Labuan. Pada 23 Mac 2013, 5 orang aktivis Pro-M UMSKAL ditahan Polis ketika mengadakan Sudut Pidato dan edaran risalah di Bandar Labuan. Sudut Pidato itu diadakan bersempena dengan pelancaran Gerakan Mahasiswa Pru 13 peringkat W.P Labuan. Pro-M UMSKAL juga sering bertindak sebagai badan semak dan imbang terhadap pihak Universiti dalam banyak isu yang melibatkan kepentingan mahasiswa.

Jika pihak Kerajaan Barisan Nasional dan pihak Pentadbiran UMSKAL  tidak berusaha untuk mereformasi sistem Pilihanraya Kampus, maka Pro-M UMSKAL percaya ada kongkalikung tersembunyi yang cuba mematikan pengaruh Pro-Mahasisawa di UMSKAL dan juga di Labuan secara umumnya. Pro-M UMSKAL yakin ada pihak yang berasa tidak selesa dengan kemaraan Pro-Mahasiswa di UMSKAL yang dilihat mampu memecah doktrin pembodohan yang sudah sekian lama membelengu mahasiswa.

Pro-M UMSKAL tekad lawan E-Voting sampai mansuh 
Pro-M UMSKAL bertekad untuk terus melawan E-Voting sehingga sistem ini dimansuhkan. Selain masalah yang diutarakan, sistem ini juga terdedah kepada jenayah atas talian yang menyebabkan hak mahasiswa boleh dirompak oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Amat menyedihkan jika pihak Universiti sanggup mempermainkan pilihan mahasiswa hanya kerana ingin menjaga status quo dan mematikan pengaruh Pro-M UMSKAL yang dilihat sebagai kumpulan anti-establishment.

Pro-M UMSKAL sedar pihak Pentadbiran Universiti akan menjawab dengan mengatakan segala yang dilemparkan oleh Pro-M UMSKAL adalah tuduhan dan persepsi semata-mata. Oleh itu Pro-M UMSKAL mencabar pihak UMSKAL untuk melantik suatu badan bebas seperti Suhakam dan Mafrel bagi menyiasat segala yang dikatakan sebagai tuduhan tersebut.

Pro-M UMSKAL sedia memohon maaf kepada pihak universiti sekiranya keputusan siasatan menunjukkan sistem E-Voting sememangnya cekap dan bebas daripada risiko disalah guna.    


Tulisan di atas adalah kandungan memorandum yang telah diserahkan kepada Ahli Parlimen.

Umno salah guna RM40 juta selamatkan Utusan

Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden Umno,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, semalam berkata memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas rancangan Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘two call rights issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

PPSMI: Sampai bila Mahathir mahu berhenti merungut?

Bagi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), program baru sudah pun diperkenalkan dan tidak mungkin ia akan dikembalikan.

Tetapi Mahathir seolah-olah sengaja membangkitkan isu PPSMI ini untuk mengetahui sejauh mana rakyat menyokong dan bersamanya, tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, walaupun ada segelintir yang menyokong agar PPSMI ini dikembalikan, majoriti rakyat, termasuk pejuang bahasa nampaknya telah menyatakan pendirian menyokong tindakan kerajaan memansuhkannya.

Mahathir jelas disokong dingin dalam isu PPSMI ini.

Begitu juga rungutannya mengenai Wawasan 2020, turut disambut dingin. Sehingga ini tidak ada mana-mana pihak yang bersuara menyokong atau membantah rungutannya itu.

Bagi Shahbudin, sebenarnya tidak ada penyisihan mengenai Wawasan 2020 ini, ia masih lagi menjadi maltamat kerajaan, cumanya ia kelihatan agak tenggelam kerana Najib memperkenalkan pelbagai dasar dan perkara baru dalam pentadbirannya.

Mungkin ini yang menyebabkanya terasa hati dan bersungut seolah-olah Wawasan 2020 diketepikan.

Tetapi jika Mukhriz menang Naib Presiden Umno, semuanya akan nampak elok di mata bekas Perdana Menteri itu, kata ramai orang-orang lama dalam Umno.

“Sementara Mahathir dijangka akan terus bersuara dan merungut lagi dan lagi, sampai bilakah sebenarnya beliau akan berbuat demikian?” tulisnya lagi.

Baca di sini