Sunday, June 23, 2013

PRC UK seru rakyat luar negara desak reformasi SPR


Peserta bergambar kenangan bersama Dr Redzuan.

MANCHESTER: PAS Representative Council (PRC) United Kingdom dan Ireland menyeru rakyat Malaysia yang prihatin di luar negara bersama-sama dengan gabungan Pakatan Rakyat dan NGO di tanah air untuk terus mendesak pembaharuan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini disebabkan kegagalan suruhanjaya itu dalam mengendalikan pilihanraya yang adil dan bersih selama ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusinya, Jupri Bade ketika ditemui setelah selesai penganjuran Bicara ‘Pasca PRU13 – What’s Next’ bersama Pengarah UMCEDEL, Universiti Malaya Prof Datuk Dr Redzuan Mohamad Othman di Abraham Moss High School, Manchester.

“Jika kita lihat kepada hasil kajian yang dilakukan oleh UMCEDEL, selagi mana sistem pilihanraya dan persempadanan yang telus dan adil tidak terlaksana, selagi itulah Barisan Nasional akan terus memerintah negara,” katanya.

Bayangkan, ujar beliau BN hanya perlu sekitar 35 peratus daripada undi popular untuk mendapat majoriti mudah di Parlimen berdasarkan sistem pilihanraya yang ada sekarang.

“Ini amat mendukacitakan dan dengan jelas tidak menghormati semangat demokrasi dan pilihan majoriti rakyat,” tambahnya.

Beliau yang juga koordinator majlis berkenaan, yang dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Malaysia Cheetham Hill Manchester (MCCH) itu turut mendesak agar Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletak jawatan di atas kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil, termasuklah skandal dakwat tidak kekal.

“Beliau mesti bertanggungjawab di atas kegagalan ini dan meletak jawatan dengan serta merta.  Alasan-alasan yang beliau berikan bagi menutup kegagalan SPR selama ini kini terbukti hanya satu sandiwara yang tidak boleh disembunyikan lagi.

“Malaysia memerlukan SPR yang bebas,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa PRC, sebagai wakil PAS di UK dan Ireland,  akan terus bekerjasama dengan semua pihak sama ada parti-parti politik, NGO, Pertubuhan Kebajikan mahupun persatuan masyarakat  untuk menganjurkan program-program yang boleh memberi manfaat kepada seluruh warga Malaysia di sini.

“Pendedahan kepada politik yang matang dan adil dalam konteks yang menyeluruh serta hak mendapatkan maklumat dari sumber  asal yang sahih merupakan antara perkara pokok yang diperlukan oleh rakyat di luar negara, bagi melahirkan warganegara dan pemilih yang akan membuat pilihan berdasarkan fakta dan bukan sentimen semata-mata, yang selama ini dinafikan,” ujar beliau.

Kes Husam: Juham kecam tindakan niat jahat PDRM


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar proses penahanan  Naid Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam di bawah Akta Hasutan yang dilihat dilakukan secara mala fide (niat jahat) oleh PDRM.

Ekoran penahahan tersebut, sekitar jam 3.45 petang, pihak Juham telah bergegas dan mengambil tindakan segera menghantar pasukan peguam ke IPD Ampang bagi mewakili/membantu Husam dalam proses siasatan oleh PDRM.

Malangnya, kata Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pihak peguam tidak sama sekali dibenarkan berjumpa Husam dan ini seterusnya menafikan hak beliau untuk berjumpa peguamnya.

Lebih teruk, katanya pada jam 6.00 petang, pihak peguam dimaklumkan bahawa Husam telah dibawa ke IPD Kota Baharu bagi tujuan siasatan lanjut tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada peguam yang menantinya di luar IPD Ampang.

“Mengapakah Husam tidak ditahan di Kota Baharu, jika PDRM mendakwa bahawa laporan polis terhadap beliau di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan telah dibuat di  Kota Bharu?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, Juham melihat penahanan itu mempunyai kaitan dengan penglibatan Husam dalam perhimpunan 505 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Juham menegaskan bahawa tindakan PDRM dalam perkara ini adalah berniat jahat (mala fide) dimana telah menafikan hak Husam berjumpa peguamnya.

“Tindakan ini diselar oleh pihak Juham dan ini menjustifikasikan pelanggaran pihak PDRM kepada peruntukkan undang-undang di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” tegasnya.

Beliau menambah, tiindakan PDRM dilihat sebagai tindakan yang ‘bacul’ dan bersifat menyusahkan Husam dan pihak peguam.

Katanya, jika dilihat kepada tangkapan PDRM terhadap Datuk Tamrin dan Tian Chua sebelum ini di bawah Akta Hasutan, pihak Juham dibenarkan  berjumpa anak guam sejurus tangkapan dilakukan.

“Mengapa dalam kes Husam ini, tindakan sebaliknya dilakukan PDRM dan ini memperlihatkan PDRM sebagai tidak professioanl dan membelakangi undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya pihak Juham menuntut pihak Ketua Polis Negara memberikan penjelasan yang konkrit berhubung tindakan anak buahnya yang dilihat sangat menjelekkan dan mencemarkan nama baik PDRM yang sedia diragui dan dipertikaikan.

“Pihak Juham tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan Semakan Kehakiman (Judicial Review) berhubung perkara ini,” tegasnya lagi.

Kawalan ketat, keluarga tidak dibenar jumpa Husam


Isteri dan keluarga terdekat beserta orang ramai menunggu ketibaan Husam di IPD Pengkalan Chepa, malam tadi.

KOTA BHARU: Kawalan ketat di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, tempat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ditahan.

Orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan IPD kecuali wartawan dan peguam.

Ramai anggota polis berkawal termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Hanya dua peguam sahaja dibenarkan masuk ke kawasan IPD iaitu Abdul Rashid Yah bersama seorang peguam.

Selain itu kelihatan isteri Husam, Datin Rohana Ab Rahman kelihatan memasuki IPD.

Difaham Husam sampai dari Kuala Lumpur jam 1.30 am pagi tadi. Isteri beliau yang berada di IPD sehingga jam 10.50 pagi ini tidak dibenarkan bertemu, termasuk anggota keluarga terdekat.

Difahamkan juga sepatutnya pagi ini Husam dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapat perintah tahanan reman namun majistret pula dibawa ke IPD.

Pagi tadi ramai datang ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan namun pulang hampa.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan apa yang berlaku terhadap Husam cukup luar biasa kerana keluarganya tadi tidak dibenarkan menemuinya.

Jerebu: Palanivel lebih pentingkan panda, kata Guan Eng

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel lebih mementingkan keselamatan panda berbanding rakyat negara ini yang sedang berdepan ancaman kesihatan ekoran jerebu.

Menurut Guang Eng, Palanivel selaku menteri bertnggungjawab sewajarnya memberi keutamaan kepada masalah pencemaran jerebu yang semakin serius.

"Palanivel lebih pentingkan panda-panda dari Cina berbanding jerebu.

"(Padahal) lebih penting dari panda adalah manusia, iaitu rakyat Malaysia," kata Guan Eng pada sidang media selepas majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Guang Eng dipercayai mengulas tindakan palanivel semalam menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perlindungan dua ekor beruang panda gergasi dari Cina di Zoo Negara.

Difahamkan kedua-dua beruang panda itu akan tiba di Zoo Negara pada Disember ini.

Sedangkan menurut Guang Eng, dalam keadaan meruncing seperti ini, Palanivel seharusnya perlu fokus kepada bagaimana mencari penyelesaian untuk menjaga keselamatan rakyat.

"Kita mengharapkan tindakan lebih cepat, dan kita di pihak Pakatan Rakyat sedia untuk memberi kerjasama.

"Pada masa sekarang sekurang-kurangnya kerajaan sudah boleh mengedarkan topeng muka percuma kepada rakyat," katanya.

Tindakan kecemasan

Sementara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sama menggesa kabinet Datuk Seri Najib Razak segera bersidang bagi membincangkan pelan kecemasan bagi mengelakkan masalah jerebu semakin teruk.

"Kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia juga perlu mengadakan persidangan segera mengatasi masalah ini.

"Malayisa tidak boleh berdiam diri, meskipun yang terlibat (membuat pembakaran terbuka) adalah syarikat-syarikat kroni," kata Anwar.

Kerajaan Indonesia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak lapan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia sedang disiasat kerana melakukan pembakaran di Riau dan Jambi, yang mengakibatkan jerebu sehingga memberi ancaman kepada negara jiran Malaysia dan Singapura.

Dalam perkebangan lain, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 pagi ini.

SPR peranannya suruhanjaya bukan "suruhan Umno"


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan seluruh pimpinan Pakatan Rakyat terus bersuara memperjuangkan agar peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kembali kepada landasan asal.

Berucap pada majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang hari ini, Mohamad berkata, peranan SPR yang ada hari ini sudah menyimpang jauh dan dilihat seperti berkerja hanya untuk memenangkan Umno BN.

Bukti paling jelas katanya, boleh dilihat dengan pelbagai kepincangan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sehingga menyaksikan sejumlah 60 petisyen dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan juga BN.

Ianya tidak termasuk lagi kepincangan-kepincangan lain seperti penggunaan dakwat yang diyakinkan sebagai kekal, tetapi boleh tanggal sejurus selepas pengundian.

"Yang penting peranan SPR perlu dikembalikan. Peranan SPR adalah menjadi sebuah suruhanjaya, bukan "suruhan Umno"," katanya.

Turut menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis itu adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang  dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesej himpunan sampai

Sementara itu, pada sidang media selepas itu Anwar berkata kehadiran rakyat ke Himpunan Aman Black 505 semalam cukup memberangsangkan biarpun berdepan pelbagai ugutan disamping masalah jerebu.

Pihak penganjur himpunan itu semalam mengumumkan kehadiran adalah melebihi 55,000 orang.

Menurut Anwar, soal kehadiran yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak mencapai sasaran bukanlah perkara besar, sebaliknya apa yang lebih penting adalah mesej yang telah disampaikan.

"Sambutan baik, penganjur umum (himpunan) berjaya.


"Yang penting mesej itu jelas. Kecurangan pilihan raya dihebahkan. Orang yang merompak, menipu, tidak boleh dilupakan begitu sahaja," katanya.

Tidak pernah tahu ada waran tangkap - isteri




Menteri Besar Kelantan berdoa di pekarangan IPD Kota Bharu. (Foto facebook)

KOTA BHARU: Selepas pulang dari Jordan pada malam 19 Jun lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya.


Isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman berkata, suaminya tidak pernah memberitahu ada waran tangkap terhadapnya dikeluarkan polis yang dikatakan bertarikh 20 Jun lalu.

“Cuma pada pagi Jumaat ketika beliau hendak bertolak ke Kuala Lumpur, Abang Sam ada cakap kepada Pakcik Man kali ini perjalanannya agak sukar.

“Pakcik Man kenalan keluarga kami memberitahu kepada saya, perjalanannya kali ini agak sukar tanpa pula ada waran tangkap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menemui suaminya di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu di Pengkalan Chepa, hari ini.

Sebelum itu beliau ditemani adiknya menemui Husam kira-kira 10 minit di luar bilik lokap IPD. Turut berada pada pertemuan itu dua anggota polis.

Pada Khamis lalu akhbar Umno menyiarkan kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Mohd Nor Deris mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Husam ekoran ucapannya, peserta 'Black 505' syahid sekiranya terkorban ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Husam ditahan ketika berada di Pandan sebelum menghadiri perhimpunan Black 505 di Padang Merbok. Selepas itu beliau dibawa ke IPD Ampang sebelum dibawa pulang dengan kenderaan ke Kota Bharu.

Rohana berkata, semalam jam 2 petang Husam menelefon hendak ke Padang Merbok bagi menghadiri perhimpunan Blackout.

“Kira-kira sejam kemudian ketika saya telefon beliau kata mahu ke Balai Polis Ampang pula,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kesal kerana dihalang menemui suaminya malam tadi ketika kenderaan membawa Husam sampai di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

“Semalam saya tidak boleh masuk langsung. Pada awalnya pihak polis berjanji boleh berjumpa dengan suami, namun selepas Abang Sam tiba tidak pula diberi.

“Hanya peguam dibenarkan masuk malam tadi. Saya hendak bawa anak pun tidak boleh. Polis kata mereka tidak mahu ganggu proses siasatan,” tambahnya.

Beliau juga berkata, suaminya memberitahu tahanan reman ke atas berakhir esok. Beliau tidak dapat tidur lena malam tadi.

Husam juga memakai baju warna oreng, sama tahanan lain dalam lokap.

“Beliau juga tidak dibenarkan menjamah makanan yang saya bawa jadi terpaksa dibawa balik. Abang Sam demam sejak balik dari sempadan Syria malam 19 Jun lalu.

“Dan tambahan pula keadaan jerebu di Kuala Lumpur sekarang,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa terharu di atas sokongan padu semua pihak kepada suaminya sepanjang berada dalam tahanan polis.

Jerebu: Pemuda PAS diarah solat minta hujan.


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan mengarahkan semua Pemuda PAS negeri dan kawasan yang mengalami Indeks Pencemaran Udara akibat jerebu yang semakin buruk mengadakan solat minta hujan (istisqa’).

“Semoga jerebu dapat dikawal dengan baik dan tidak menimbulkan musibah yang merosakkan kesihatan awam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dalam satu kenyataan petang ini memaklumkan semua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur ditutup esok berikutan kualiti udara yang semakin buruk akibat jerebu.

Katanya, situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar.

Husam direman 2 hari, polis halang MB lawat




KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa direman selama dua hari selepas ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Kuala Lumpur petang semalam.

Majistret Nik Ambri Mohamad membuat keputusan itu pada permohonan reman dikemukakan polis di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari.

“Namun kami pasukan peguam membantah dengan alasan Husam ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, di mana akta itu mensyarat sama ada perkataan yang diucap termasuk dalam kategori menghasut atau tidak.

“Lagi pun polis sudah mendapat rakaman ucapan dan boleh buat keputusan sama ada menghasut atau tidak. Kalau menghasut polis boleh buat pertuduhan di mahkamah dan jika tidak hendaklah bebaskan segera,” katanya kepada pemberita di luar IPD.

Hisham bersama empat lagi peguam mengendalikan kes tersebut bagi pihak Husam yang juga Adun Salor.

Menurutnya tidak timbul keperluan polis menahan lebih lama Husam dan tidak memerlukan kehadirannya lebih lama di lokap IPD.

Malah keterangan saksi-saksi lain yang diperlukan boleh dilakukan tanpa perlu Husam berada di lokap.

“Tidak perlu menahan lebih lama. Mahkamah arah bebas esok sebelum jam 12 malam,” ujarnya.

Menurutnya juga permohonan reman dibuat polis kepada mahkamah negeri Kelantan bagi mengadakan mahkamah tertutup di IPD.

Sedangkan kata Hisham, Naib Presiden PAS itu bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut.

“Sepatutnya didengarkan di mahkamah majistret. Kalau polis hendak sambung reman mereka kena buat permohonan lagi kepada mahkamah.
“Jadi siasatan perlu diselesaikan hari ini dan esok. Malam ini Husam akan bermalam di lokap,” katanya.Hisham yang juga Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan turut melahirkan rasa kesal terhadap polis Kelantan kerana tidak membenarkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob datang melawat Husam yang tiba sekitar jam 12.10 tengah hari.

Menurutnya, polis perlu sedar Husam merupakan Naib Presiden PAS dan seorang Yang Berhormat mewakili rakyat Kelantan dan bukannya rakyat biasa.

“Sepatutnya polis benarkan MB datang menziarahi Husam di lokap IPD. Kami peguam meluah rasa kesal kerna polis enggan membenarkan MB atau mana-mana Exco menziarahi Husam di lokap, tanpa sebarang alasan.

“Kami amat kesali. Sepatutnya tidak dilakukan polis. Ini menggambarkan mereka tidak menghormati kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

“Saya berharap polis segera mengubah keputusan itu dan membenarkan MB hadir menziarahi Husam. Negeri ini ada ketua dan sepatutnya MB dibenarkan menziarahi mana-mana Adun yang ditahan,” ujarnya.

Kata beliau polis bersikap tidak profesional dan memberi imej yang buruk dalam sebuah negara demokrasi.

Selepas dua tahun Akta Darurat dimansuhkan, perdebatan muncul kembali

Dua tahun selepas pemansuhan Akta Darurat (EO) penggubal undang-undang masih lagi belum pasti sama ada ianya langkah tepat dalam usaha untuk memerangi jenayah.
Pemansuhan dianggap sebagai baik atau buruk, bergantung kepada siapa anda bertanya.
Seorang peguam jenayah mengatakan sebagai seorang profesional, beliau bersetuju undang-undang pencegahan itu tidak diperlukan kerana menentang penahanan tanpa bicara.
Akan tetapi, sebagai seorang rakyat biasa, beliau bersimpati dengan polis yang telah mengatakan secara terbuka mereka bergantung kepada Akta Darurat apabila gagal untuk mendapatkan cukup bukti bagi mendakwa penjenayah tegar dan ketua sindiket.
Ini adalah pendirian seimbang diambil oleh peguam M. Athimulan apabila diminta memberikan komen terhadap laporan The Malaysian Insider di mana beberapa pegawai polis kanan menyalahkan peningkatan jenayah ganas disebabkan pemansuhan Akta Darurat pada tahun 2011.
Penasihat Yayasan Pencegahan Jenayah Selangor Tan Sri Ramon Navaratnam pada Julai tahun lepas mengatakan pemansuhan Akta Darurat menyebabkan seramai 2,000 bekas tahanan di Selangor bergerak bebas.
“Sebagai seorang rakyat saya akan kata EO mungkin diperlukan, akan tetapi perlu ada semak dan imbang untuk memastikan tiada penyalahgunaan oleh polis,” katanya.
Seorang lagi peguam terkemuka Amer Hamzah Arshad bagaimanapun merasakan EO digunakan oleh polis sebagai alasan mudah untuk “melepaskan diri.”
“Bagaimana mereka boleh kaitkan pemansuhan EO dengan peningkatan dalam kadar jenayah?
“Bagaimanapun, mereka tidak boleh membuat keputusan tanpa kajian terperici sebelum bercakap tentang ini?” soal beliau.
Beliau mengatakan polis seharusnya menyelesaikan kes jenayah dengan menyiasat kes dan menahan suspek hanya apabila mereka mempunyai bukti.
Amer mengatakan di bawah EO, polis akan menahan suspek di bawah EO.
“Dua tahun selepas itu mereka dibebaskan. Lepas tu apa? Soal beliau.

Beliau menambah walaupun ia memberikan persepsi baik polis membuat kerja mereka, akan tetapi tidak menyatakan punca sebenar isu itu.
Menurut Amer, seorang hakim Mahkamah Tinggi pernah mengatakan pasukan polis Malaysia bertaraf dunia jadi, EO tidak diperlukan.
Ahli kriminologi Dr P. Sundramoorthy bagaimanapun, percaya undang-undang pencegahan masih lagi diperlukan di Malaysia untuk menghapuskan kongsi gelap dan aktiviti samseng.
“Undang-undang pencegahan bukan untuk membuat kerja polis lebih mudah akan tetapi untuk mengawal kongsi gelap dan sindiket jenayah,” katanya.
Beliau bersetuju dengan polis yang mendakwa peningkatan jenayah baru-baru ini disebabkan oleh pemansuhan undang-undang itu.
“Sudah pasti, mereka yang ditahan telah kembali kepada cara lama mereka dengan jaringan lebih baik dalam dunia jenayah,” katanya.
Prof Madya kriminologi di Universiti Sains Malaysia itu mengatakan akibat daripada desakan kumpulan hak asasi manusia untuk memansuhkan undang-undang pencegahan, pasukan kriminologinya menghantar satu laporan dengan cadangan kepada kerajaan.
“Kita menasihatkan kerajaan untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad akan tetapi menyemak semula EO.
“Kita seharusnya mempunyai undang-undang sama dengan EO akan tetapi perlu ada semak dan imbang supaya tiada penyalahgunaan,” tambah beliau.
Beliau menegaskan jenayah berkaitan dengan kongsi gelap dan kumpulan samseng tidak dapat dihapuskan dengan undang-undang biasa kerana kebanyakkan daripada kes-kes, saksi takut untuk ke hadapan memberikan keterangan.
“Ia adalah sukar dan EO berjaya tahun kebelakangan ini dengan sedikit kesilapan,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengatakan pasukan polis tidak wajar memberikan alasan pemansuhan Akta Darurat pada 2011 sebagai alasan peningkatan jenayah di dalam negara.
"Jika polis telah mendapat 'maklumat dan kenyataan daripada saksi serta disahkan mereka', jadi mengapakah mereka tidak dapat  mendakwa penjenayah di mahkamah dan heret mereka ke penjara," soal Pua.