Sunday, April 17, 2011

Tujuh Wanita Berjaya Anggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Tujuh calon wanita berjaya menganggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas mengetepikan lawan masing-masing dalam pilihan raya negeri ke-10 yang berakhir Sabtu.

Terdapat 16 calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya itu yang mewakili pelbagai parti selain bertanding atas tiket Bebas.

Empat penyandang daripada Barisan Nasional (BN) - Datin Fatimah Abdullah (Dalat), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Semariang), Simoi Peri (Lingga) dan Rosey Yunus (Bekenu) - berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

Fatimah, 54, memenangi kerusi DUN Dalat dengan majoriti 4,990 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Fatimah, yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), merupakan satu-satunya menteri wanita dalam Kabinet negeri sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Penyandang DUN Semariang, Sharifah Hasidah, 42, mengekalkan kerusi DUN Semariang dengan majoriti 5,431 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang Zulrusdi Mohamad Hol daripada PKR.

Simoi, 47, mempertahankan kerusi DUN Lingga, dengan majoriti 2,506 undi dalam pertandingan tiga penjuru manakala Rosey, 55, daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memenangi kerusi DUN Bekenu dengan majoriti 3,714 undi dalam pertandingan empat penjuru.

DAP membariskan empat wanita -- Violet Yong bagi DUN Pending dan Ting Tze Fui (Meradong) serta dua muka baru Alice Lau Kiong Yieng di Bawang Assan dan Christina Chiew (Batu Kawah).

Yong, 34, mengalahkan pakar kardiologi Prof Dr Sim Kui Hian daripada BN bagi kerusi DUN Pending dengan majoriti 7,595 undi manakala Ting, 30, pula menewaskan Ling Kie King daripada SUPP dalam pertandingan satu lawan satu.

Muka baru daripada DAP, Christina Chiew Wang See, 27, yang berkelulusan Sarjana dalam biokimia melakukan kejutan besar apabila beliau mengalahkan Tan Joo Phoi, yang sebelum ini merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Chiew, calon termuda DAP dalam pilihan raya itu, memenangi kerusi DUN Batu Kawah dengan majoriti 543 undi.

Lau, 29, seorang ahli farmasi, pula gagal merampas kembali kerusi DUN Bawang Assan, apabila kalah kepada tokoh veteran daripada SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh dengan majoriti 1,808 undi.

Lau, anak perempuan pemimpin Cina terkemuka dan Presiden Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, Lau Cheng Kiong, adalah calon wanita kedua yang dipertaruhkan oleh parti itu untuk bertanding buat julung kali dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, pemilik kedai runcit di Mukah, Suriati Abdullah, 50, yang bertanding di DUN Balingian, gagal mengalahkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud selain kehilangan wang pertaruhan apabila beliau hanya meraih 871 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Selain Suriati, dua lagi calon wanita daripada PKR iaitu ahli perniagaan Zolhaidah Suboh, 38, kalah dalam pertandingan tiga penjuru bagi DUN Lambir manakala Ibi Uding, 49, tewas dalam pertandingan enam penjuru bagi kawasan DUN Balai Ringin.

Sementara itu, dua calon wanita yang diketengahkan oleh PAS iaitu Nani Sahari kalah kepada Tan Sri Adenan Satem daripada BN bagi DUN Tanjung Datu dan Noraini Hamzah pula diketepikan oleh Datuk Sri Mohammad Ali Mahmud bagi DUN Muara Tuang.

Calon wanita tunggal daripada Parti Cinta Malaysia Datin Dayang Juliana Awang Tambi, 44, hilang wang pertaruhannya dalam pertandingan empat penjuru bagi DUN Bekenu.

Calon wanita tunggal bagi DUN Batu Lintang, Soo Lina, 52, juga hilang wang pertaruhan selepas setakat meraih 290 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

-- BERNAMA

Masyarakat Cina Hanya Ada Dua Wakil Dalam Kerajaan Negeri Sarawak

SIBU, 17 April (Bernama) -- Prestasi teruk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 semalam telah mencetuskan keadaan di mana masyarakat Cina hanya mempunyai dua wakil dalam kerajaan negeri.

Diandaikan kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan kuota Cina, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Datuk Wong Soon Koh kemungkinan akan mengambil alih jawatan timbalan ketua daripada presiden parti Tan Sri Dr George Chan, yang tewas di kerusi Piasau.

Wong, merupakan menteri dalam Kabinet negeri yang lepas, memenangi kerusi Bawang Assam, adalah lebih senior antara dua pemimpin SUPP yang berjaya itu.

Seorang lagi pemimpin itu ialah Datuk Lee Kim Shim, yang berjaya memenangi kerusi Senadin, kemungkinan akan dilantik menteri penuh.

SUPP mempunyai dua menteri dan empat menteri muda dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Jika kuota itu dikekalkan, empat lagi calon SUPP yang menang dalam pilihan raya negeri akan dilantik menteri muda.

Tetapi keempat-empat mereka ialah Bumiputera: Ranum Mina di Opar, Dr Jerip Susil di Bengoh, Dr Johnical Rayong di Engkilili dan Datuk Francis Harden Hollis di Simanggang.

Bagaimana pula dengan perubahan dalam parti? Topik ini telah banyak dibincangkan oleh pemimpin SUPP termasuk Dr Chan, yang bukannya presiden SUPP yang pertama ditewaskan oleh DAP.

Ketuanya sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr Wong Soon Kai, ditumpaskan oleh Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng di Bukit Assek pada 1996.

Dr Chan rapat dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berikutan anak lelaki Taib berkahwin dengan anak perempuannya.

Ini telah menjadikannya sasaran pembangkang, khususnya DAP, untuk mengeksplotasi sentimen antiTaib di kawasan bandar majoriti Cina.

Penganalisis politik Prof James Chin dari Monash University berkata faktor kritikal dalam keputusan pengundi Cina ialah Taib, yang mereka anggap sudah terlalu lama menerajui negeri.

Seorang lagi penganalisis Ong Kian Ming dari Universiti UCSI berkata SUPP telah gagal menangkis serangan terhadap kepimpinan Taib.

Beliau berkata SUPP juga gagal memberikan respons terhadap "perubahan dalam landskap politik kawasan bandar."

Dr Chan sendiri tidak memberikan sebarang petunjuk yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Sekiranya beliau memutuskan untuk terus menerajui parti, beliau mungkin akan memberikan alasan yang beliau mahu memantau perubahan dalam parti.

Bahaya yang menanti SUPP ialah masyarakat Cina akan melihat situasi itu sebagai "cerita lapuk".

-- BERNAMA

Nik Aziz Akur Pembangkang Tewas, Gembira Undi Meningkat

KOTA BAHARU, 17 April (Bernama) -- Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur pembangkang telah gagal menawan Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 semalam.

Walaupun gagal menumbangkan Barisan Nasional, beliau gembira dengan peratusan undi yang meningkat terhadap pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ia membuktikan rakyat Sarawak semakin menerima kehadiran pembangkang di negeri itu terutama undi yang diterima DAP.

"Penduduk bandar jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan memihak kepada DAP tetapi bagi PAS kita gembira sokongan semakin meningkat walaupun tewas kesemua kerusi," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, Ahad.

Pada pilihan raya negeri itu semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata undi kaum Cina yang meningkat terhadap DAP itu berkemungkinan kerana mereka telah terpengaruh bahawa pembangkang akan membentuk kerajaan baru di negeri itu.

"Mungkin mereka telah tersilap percaturan kerana percaya dakyah DAP dan apa pun kemenangan BN di Sarawak membuktikan mereka tetap mahukan kemajuan dan perpaduan yang dibawa BN," katanya kepada pemberita di sini.

-- BERNAMA