Thursday, July 22, 2010

Jangan ikut rentak Media

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meminta ahli-ahli parti itu agar tidak mengikut rentak media arus perdana berhubung isu kerjasama antara UMNO dan Pas sejak dua minggu lalu.

Dalam satu kenyataan medianya semalam, beliau berkata, isu-isu yang dipaparkan itu boleh merapuhkan kesatuan dalam parti itu sendiri.

“Kebelakangan ini mereka rancak memainkan isu berkenaan sehingga mengelirukan sebahagian daripada ahli Pas dan masyarakat Malaysia khususnya.

“Saya nasihatkan semua ahli dan pimpinan Pas supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana,” katanya.

:Sebuah akhbar perdana semalam menyiarkan di muka depannya laporan yang memetik ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan sebagai berkata, UMNO dan Pas perlu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.

Kenyataan Nasruddin itu dipetik melalui laman blognya di bawah tajuk ‘Pelan Damai Untuk UMNO dan Pas’.

Nasharuddin berkata, Pas yang masih berpegang dengan muktamar-muktamar yang sedia ada akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja untuk pilihan raya umum yang ke-13 dalam membina sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Kita percaya media-media ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman Pas sendiri,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada kesemua ahlinya agar lebih berusaha untuk memperkukuhkan parti terutama sekali di peringkat cawangan dan kawasan di samping menambah bilangan ahli baru.

Sementara itu, Nasrudin berkata, Pas tidak pernah menghantar mana-mana pemimpin tidak kira pemimpin peringkat rendah atau peringkat tertinggi bagi mengadakan perbincangan berkenaan isu perpaduan dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya ada, terpulang kepada pemimpin berkenaan untuk tampil menjawab segala persoalan berhubung pertemuan yang diadakan itu.

“Kemungkinan perjumpaan yang diadakan adalah secara peribadi dan bukannya di atas arahan parti.

“Isu siapa berjumpa siapa bukan isu penting. Pertemuan itu mungkin hanya pertemuan biasa untuk bertanyakan pendapat,” katanya.

Menurutnya, jika pertemuan di antara pemimpin Pas dengan Mufti Perak membincangkan isu perpaduan, beliau (pemimpin Pas) tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana segala keputusan ditentukan oleh parti.

Nasrudin berkata, Pas adalah parti yang bertunjangkan Islam dan UMNO hanya perlu menerima Islam serta menjadikan perundangan Islam sebagai asas perpaduan negara.

KAMI mahu Akta Mesin Cetak dipinda, kuasa eksklusif menteri KDN dicabut


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dalam pertemuan hari ini mendesak kerajaan Umno Barisan Nasional meminda beberapa peruntukan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memberikan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri menentukan kelulusan penerbitan sesebuah akhbar.

Pengerusinya, Ahmad Lutfi Othman memberitahu, cabaran besar adalah menangani masalah permit dua lagi lidah rasmi Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan dan Roket. Katanya, satu pertemuan akan diatur dengan pihak KDN dan Suhakam bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini isu besar yang perlu diselesaikan segera. Kerajaan Umno BN semasa membuat pertimbangan pada masa itu tidak pernah memikirkan nasib kakitangan yang bekerja di akhbar berkenaan. Keputusan itu juga memberikan kesan kepada syarikat percetakan selain editor akhbar yang sering dipanggil dan diberi amaran olah KDN," ujarnya.

Sebelum ini, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menegaskan sudah sampai masanya rakyat bangun menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang diguna pakai di negara ini dihapuskan kerana ia jelas mengongkong kebebasan bersuara.

Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam pula berkata, pertemuan kedua itu berjaya mencapai beberapa keputusan bagi memulihkan kebebasan akhbar dalam negara yang diiktiraf sebagai demokrasi ini.

"Pertemuan kali ini mencapai beberapa keputusan yang mampu memberikan jalan keluar kepada KAMI khususnya dalam usaha untuk kita memastikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini boleh untuk dipinda dan dimansuhkan untuk beberapa bahagian tertentu bagi membolehkan rakyat menikmati erti demokrasi yang sebenar dalam negara kita.

"Apa yang kita tidak mahu dan yang paling dominan dalam akta ini ialah penguasaan kuasa menteri secara eksklusif yang digunakan dan menjadi alat kepada pemerintah dalam mereka memastikan kekuasaan berada di serambi kuasa secara salah. Penyalahgunaan kuasa di kalangan menteri amat mudah dilakukan dalam akta ini yang mudah dimanipulasi bagi menyekat rakyat," katanya selepas selesai pertemuan berkenaan di pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang, dekat sini.

Dalam Bahagian V Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan kaedah-kaedah, perkara 13A menyatakan bahawa apa-apa keputusan menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan pun.

Bagi maksud seksyen ini "keputusan" termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh menteri di bawah akta ini.

KAMI juga, katanya akan turut membincangkan perkara ini dari sudut undang-undang dan juga mengenal pasti beberapa bahagian dalam akta ini yang jelas bercanggah dengan pengasingan kuasa dan demokrasi yang akan menyekat kebebasan rakyat.

Tambahnya, satu lagi pertemuan akan diadakan dengan wakil-wakil media yang lain serta pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari dan pensyarah Pusat Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah bagi membincangkan perkara tersebut.

Menurutnya lagi, satu memorandum berhubung tuntutan itu akan disampaikan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam masa yang terdekat.

Pada masa yang sama, KAMI juga akan meggerakkan untuk menyampaikan maklumat dari masa ke semasa sehingga sampai ke matlamat akhir untuk melancarkan satu gerakan rakyat iaitu Gerakan Rakyat Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Geram) agar akta berkenaan berjaya dimansuhkan.

Sementara itu, aktivis Aiman Athirah Al- Jundi berkata, perjuangan kami akan bersifat objektif dan diplomasi dengan mengikut segala prosedur undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan situasi menang-menang di antara kerajaan dan media alternatif.

"KAMI akan bersifat objektif dan diplomatik dengan menggunakan lunas-lunas undang-undang dan prosedur demokrasi yang ada. KAMI sanggup berhadapan dengan kerajaan misalnya dan pihak penguasa untuk mencari jalan penyelesaian untuk win-win situation. Kesilapan yang berlaku kita perbetulkan, bukan nafikan terus," katanya. - Hazayani Zakaria

BERAHIM KATAK CADANG PARTI BARU 'PERKOSA'

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan agar satu perlembagaan digubal untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mengambil kira objektif Pas dan UMNO. Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu merupakan pelan kedua yang boleh digunakan sekiranya rancangan menemukan UMNO dan Pas secara rasmi tanpa syarat sama ada dalam bentuk meja bulat atau muzakarah tidak berhasil.
''Dengan wujudnya parti baru, maka Pas dan UMNO boleh dibubarkan dan ahlinya bersatu dalam satu parti baru. Parti baru itu nanti mungkin sesuai dinamakan "PERKOSA".
Siapa Si Katak ini yang dok sibuk nak menyatukan Pas dan UMNO. Diri sendiri pun asyik melompat sana sini.

SOALAN-SOALAN LISAN DATO SRI NIZAR

YAB DATO’ SERI IR. MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN
ADUN PASIR PANJANG


SOALAN-SOALAN LISAN

1. Soalan kepada EXCO Pembangunan Ekonomi Dan Industri.“Apakah manfaat jangka panjang yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri dengan langkah menjual pegangan saham dlam anak-anak syarikat Kerajaan Negeri kepad syarikat-syarikat korperat bukan bumiputra seperti Kilang Simen Perak Hanjung kepada YTL Berhad dan Ladang Perbadanan Fina kepada KLK Berhad”?

2. Apakah masalah utama yang menyebabkan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri tidak menunjukkan kemajuan dalam menjana pendapatan Negeri khusus Perbadanan Kemajuan Negeri Perak? Sedangkan pihak Kerajaan Negeri menyediakan seperti tanah untuk dimajukan.

3. Apakah kewajaran dan rasionalnya pihak Kerajaan Negeri untuk menyerahkan pengurusan 2 buah sekolah agama terkenal iaitu Sek.Men.Izzudin Shah dan Sek.Men.Raja Perempuan Taayah kepada Kerajaan Pusat sedangkan pada masa yang sama bajet tahun 2010 untuk Kementerian Pendidikan telah dikurangkan…..


SOALAN-SOALAN BERTULIS

1. Melalui berita akhbar bahawa Kerajaan Negeri telah memperoleh sejumlah RM11.6 billion nilai pelaburan asing sepanjang tahun 2009. Nyatakan secara terperinci jumlah mengikut syarikat dan bidang pelaburan serta tahap perkembangannya setakat Februari 2010.

2. Apakah langkah Kerajaan dalam memastikan kawasan perindustrian Kemunting kembali aktif dan berpotensi tinggi dalam menjana ekonomi Negeri? Hari ini banyak kilang yang telah ditutup.

3. Sejauh manakah perkembangan pelaksanaan projek di Wilayah Utara Perak di bawah rancangan NCER?

4. Berapakah nilai kos promosi sepanjang 2009 hingga Februari 2010 untuk meyakinkan rakyat dan pelabur kepada YAB Menteri Besar yang disahkan oleh mahkamah?

5. Sehingga kini bagaimanakah tahap kemajuan projek air bawah tanah di daerah Batang Padang yang diusahakan oleh pihak Sime Darby Berhad?