Monday, February 15, 2010

Rakyat pelbagai kaum kunjungi rumah Guan Eng

Rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di laluan pejalan kaki Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum, berlangsung penuh harmoni dan warna warni.Tetamu terhormat Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas dan isterinya tiba sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, Dr Mansor Othman dan P. Ramasamy yang sedari awal berdiri sambil melayan tetamu yang tidak putus-putus menghulurkan tangan tanda semangat pada Tahun Harimau yang membawa maksud ketangkasan, licik, waja dan berketerampilan.
Selain Yang Dipertua negeri, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husain dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Guan Eng yang ditemani isterinya tidak putus-putus bersalaman dengan orang ramai tidak kira Cina, India mahupun Melayu manakala isterinya pula sibuk membahagikan buah limau tanda selamat kepada hadirin di pintu masuk ke medan majlis yang bermula jam 10.00 pagi sehingga 1.00 petang.
Walaupun beliau banyak tugasan selain sebagai Ketua Menteri juga sebagai Setiausaha Agung DAP, namun untuk kepentingan rakyat, beliau sanggup ketepi semua kesibukan semata-mata untuk bertemu rakyat.
Dua hari sebelum Tahun Baru Cina, beliau terlibat dengan pidato 'Tolak Fitnah' yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibung, Bayan Baru dan semalam di Kampung Pelet, Penanti bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Dari raut wajahnya sebagai pemimpin yang prihatin dan penyayang, maka tidak hairanlah di rumah terbuka itu, beliau tidak lupa kepada kanak-kanak serta golongan OKU dan warga emas bangsa cina yang mendiami rumah kebajikan.
Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina kali kedua setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri ini diserikan persembahan penari di bawah pengendalian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mempamerkan tarian tiga bangsa serta tarian singa sebagai lambang perayaan.


--
Posted By zul mamak png to N37 Batu Maung at 2/14/2010 11:30:00 PM

No comments:

Post a Comment