Friday, October 29, 2010

Dua berita yang tak sedap didengar sempena Pilihan Raya Kecil N.45 Galas...



Dua berita yang tak sedap di dengar oleh UMNO dan sekutunya..berita yang bakal memenangkan PAS dalam PRK Galas kali ini (insyaAllah)...

Berita 1

PAS Semakin Diterima Masyarakat Cina

GUA MUSANG: PAS meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa lebih daripada 80 peratus pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan memberi sokongan kepada calonnya, Dr Zulkefli Mohamed dalam pilihan raya kecil, 4 November ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, sokongan itu kian ketara apabila masyarakat Cina dilihat semakin menerima pendekatan yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang lebih 'lembut' terhadap kelompok berkenaan.

Jelas beliau, sebelum ini masyarakat Cina lebih yakin dengan kaedah yang digunakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz berbanding Abdul Hadi kerana terlalu agresif.

"Sebelum ini orang Cina hanya terima konsep kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, Abdul Hadi tak berapa diterima.

"Tapi sekarang ini satu perkara mengejutkan ialah orang Cina sudah terima Abdul Hadi, mungkin kerana sudah lihat beliau tak agresif seperti dulu, pendekataannya kini diterima... dulu pendekatan lain," katanya ketika ditemui di markas PAS di sini, Khamis.



Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku itu, perubahan dasar dan pendekatan yang digunakan Abdul Hadi pada masa ini berjaya meraih sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PAS.

"Nampaknya Abdul Hadi terpaksa akur bahawa kaedah dahulu tak berkesan, jelas sekali Tok Guru Nik Aziz lebih mendahului daripada pimpinan lain dari segi pendekatan terhadap kaum-kaum lain," katanya.

Selain itu jelas beliau, penerimaan pengundi bukan Cina secara keseluruhan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat juga telah mempengaruhi sokongan terhadap PAS.

"Sokongan makin bertambah, kalau dulu 80 peratus (sokongan), sekarang dah meningkat sebab penerimaan orang Cina terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat cukup memberansangkan, kita juga tak ada masalah dengan pengundi Cina," katanya.

DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27). - mStar Online

*Versi Harakahdaily pula boleh baca pada tajuk, "Jentera Pakatan tawan hati masyarakat Tionghua"...

Berita 2

1,800 Anak Rantau Kelantan Bakal Pulang Mengundi Di Galas

PETALING JAYA: Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) menjangkakan kira-kira 10 peratus daripada 18,000 ahlinya akan pulang mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini.

Setiausaha Agung Perakan, Azman Awang berkata pihak pengurusan persatuan telah pun memaklumkan kepada ahli-ahlinya supaya pulang bagi melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari mengundi nanti.


(Sekadar gambar hiasan..Satu program Perakan bersama YAB MB Kelantan..)

"Kita jangka 1,800 ahli kita akan balik mengundi di Galas. Kita juga sudah memaklumkan kepada mereka melalui pengumuman di laman web dan surat rasmi daripada persatuan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya peratusan pengundi luar di Kelantan akan balik mengundi pada pilihan raya kecil Galas pada 4 November ini.

Azman berkata, jumlah tersebut merangkumi ahli persatuan yang berada di seluruh negara.

"Jika hari mengundi jatuh pada hari bercuti kita pasti jumlah mereka dijangka akan balik mengundi pasti meningkat tapi kita maklum dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Khamis depan," katanya.

Menurutnya, pengundi di luar Kelantan boleh menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya kecil di Galas kerana mereka tidak terpengaruh dengan sentimen dan isu tempatan yang digunakan oleh parti yang bertanding.

"Sekiranya keputusan pilihan raya kali ini terikat, pengundi luar boleh jadi penentu kerana jumlah mereka agak besar," katanya.

Ditanya parti mana yang mempunyai peluang cerah untuk menang dalam pilihan raya kecil di Galas, Azman berkata: "Peluang sama rata kerana saya lihat tidak ada isu yang kuat digunakan pada kempen pilihan raya kali ini."

"Namun PAS masih berpeluang cerah untuk mempertahankan kerusi ini kerana Galas salah satu kubu kuat PAS," katanya.

Pada pilihan raya kecil kali ini PAS meletakkan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mereka sementara Barisan Nasional memilih Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan ekoran kematian peyandangnya, Che Hashim Sulaima akibat barah usus pada 27 September lalu.Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim, 48, mendapat 4,399 undi menewaskan Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) daripada Barisan Nasional dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh.Kerusi itu mempunyai 11,553 pengundi berdaftar terdiri daripada 11,426 pengundi biasa dan 127 pengundi pos.

Daripada jumlah itu kaum Melayu merupakan majority pengundi 7,125 orang, Cina (2,317), India (185), Orang Asli (1,889) dan Bumiputera Siam (10). - n9kini.com
Artikel berkaitan:
- [Kemaskini] HEBAT: Gambar sekitar Hari Penamaan Calon N.45 Galas..(video inside)

No comments:

Post a Comment