Saturday, October 16, 2010

KEADILAN Raikan Demokrasi Tulen Di Hari Penamaan Calon

IMG_3170KUALA LUMPUR 16 Okt - Hari Penamaan Calon Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang berlangsung di ibu pejabat parti hari ini dilihat benar-benar mencerminkan proses menyuburkan amalan demokrasi di dalam KEADILAN.

Hari Penamaan Calon anjuran KEADILAN yang mirip kepada proses sebenar yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan julung-julung kali diadakan oleh sebuah parti politik di negara ini sungguhpun baru berusia satu dekad.

Acara hari ini bertujuan pengesahan pencalonan bagi anggota parti yang layak bertanding merebut jawatan di peringkat MPP daripada Presiden sehinggalah kerusi anggota Majlis Pimpinan Pusat disamping jawatan-jawatan dalam sayap Angkatan Muda dan Wanita.

Dari segi kelayakan, jawatan Presiden menyaksikan seramai tiga calon yang layak iaitu penyandang, Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail, Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun dijangka Dr Wan Azizah akan mengekalkan jawatan tersebut tanpa bertanding.

Pertandingan hangat dilihat akan berlegar sekitar kerusi Timbalan Presiden di mana  tujuh jaguh yang sama hebat dan popular dijangka berentap untuk menjadi orang nombor dua kepada Dr Wan Azizah.

Mereka yang layak termasuk Dr Wan Azizah, dua Naib Presiden, Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, Zaid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.
Di samping itu seramai 209 calon akan bertanding merebut 20 kerusi MPP.

Jawatan Ketua AMK menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu penyandang, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Rafizi Ramli dan Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard sementara Jawatan Ketua Wanita akan di menjadi pertarungan antara penyandang, Zuraida Kamaruddin, Ahli
Jawatankuasa Biro Disiplin Pusat Animah Ferrer dan Ketua Wanita Perlis Dr Suraya Sudin.

Sambutan perayaan demokrasi ini bukan sahaja disambut dengan penuh semangat oleh ahli parti tetapi juga tidak kurang hebatnya oleh calon daripada kalangan pimpinan parti.

Bersama-sama dalam semangat setiakawan dan perpaduan mereka dilihat bergaul dengan penuh mesra sambil menyempurkan proses penerimaan calon di kaunter yang disediakan.

Seperti kempen ala pilihan raya umum, setiap calon diberi masa tiga minit untuk mewar-warkan visi mereka dan mengapa mereka harus dipilih untuk jawatan yang dipertandingkan.

"Saya amat terharu dengan langkah innovatif yang dilaksanakan oleh Parti Keadilan Rakyat. Sejak menyaksi dan mengalami sendiri kesusahan era reformasi baru kini saya melihat kejayaan merayakan reformasi dalam semangat sebenar," kata Rohani Bakar, calon bagi kerusi MPP.

Ketua Cabang Teluk Kemang, M Ravi berkata beliau berbangga KEADILAN mengadakan hari penamaan calon ini kerana ia bukti parti ini adalah parti masa depan dalam erti kata sebenarnya.

"KEADILAN sentiasa mencipta sejarah dalam persada politik negara dan apa yang kita buat hari ini akan memberi keyakinan kepada rakyat bagi kita mentadbir Putarajaya pada PRU-13 nanti," kata Ravi.

Hari penamaan calon yang sama juga di adakan di Sabah dan Sarawak bagi calon-calon yang berada di kedua-dua negeri tersebut.

Pemilihan bagi jawatan tinggi parti akan diadakan dari 31 Oktober hingga 21 November ini, manakala kongres kebangsaan parti dari 26 hingga 28 November.

No comments:

Post a Comment