Friday, October 22, 2010

Menara Warisan Merdeka 100 tingkat di Kampung Baru?

Bahang bantahan terhadap pembinaan Menara Warisan Merdeka 100 tingkat semakin terasa, apabila hampir 100,000 orang menyertai kumpulan dalam laman sosial facebook untuk menyatakan pendirian mereka.  Malah, Angkatan Muda Keadilan,  bersama sayap pemuda dalam Pakatan Rakyat telah mengumumkan bahawa mereka akan berkempen untuk mengumpul tandatangan sebagai protes terhadap projek mega yang membazir ini, semalam.
Perwakilan UMNO bagaimanapun mempertahankan keputusan tersebut, ketika usul ekonomi dicadang dan disokong dalam Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.
Razali Ibrahim: "Dia jual dulu..."
"Ada pemuda di kalangan kita nak buat demonstrasi menentang.  Mereka ni tahu tentang saja.  Dulu kita bina Putrajaya, dia (pembangkang) kata apa?  Dia nak jual Putrajaya kalau dia jadi kerajaan.  Hari ni dah lupa.  Nak berlumba-lumba ke Putrajaya.  Yang bina Putrajaya tu kita.  Yang dia nak jual dulu, tapi hari ini dia pulak kata nak pergi Putrajaya," kata Razali Ibrahim, yang mewakili Pergerakan Pemuda.
Naib Ketua Pemuda UMNO (gambar kiri) meneruskan, "Dulu kita bina Jambatan Pulau Pinang, 'Oh! Bangkrap negara.' Hari ini dia minta Jambatan kedua.  Dulu kita bina SIC (Litar Sepang Antarabangsa).  Hari ini yang kata SIC ni bagus, tu, yang dituankan, Singapura mengatakan bahawa Singapura sepatutnya dah ada track litar dari dulu lagi sepatutnya.  Jadi ini pengiktirafan.  Tapi masa nak cadang tu memanglah susah, tapi janganlah bakar benda yang kami cadang.  Dah-lah dia tak buat.  Dia nak hapuskan.  (Apabila) dah berjaya, dia kata dia pula nak."
Razali Ibrahin yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menambah, "Yang ini kita kena pastikan bahawa Menara ini ada banyak maknanya.  Yang buat ni PNB, bukan duit kerajaan.  Dia bentangkan ketika itu lebih kurang 200 berapa bilion tu, tak sebut pun perbelanjaan itu.  Yang nak maksud ini, negara maju, banyak aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak swasta.  Bukan kerajaan lagi."
Awang Adek: Cuma Malaysia yang menentang bangunan tinggi
Sebelum ini, Awang Adek Hussin sebagai pencadang usul ekonomi cuba menjustifikasikan pembinaan menara 100 tingkat ini dengan alasan untuk menyediakan infrastruktur agar memenuhi keperluan perkembangan sektor perkhidmatan.
"Perlunya infrastruktur ini akan menjadi lebih terdesak, terutamanya selepas liberalisasi sektor perkhidmatan menjelang 2015.  Sebab itulah kita perlu ada projek MRT, KLIA2, Pusat Kewangan Baru, Pembangunan Sg, Buloh dan Menara Merdeka PNB."
Timbalan Menteri Kewangan (gambar kanan) ini berkata, "Kita jangan tertipu dengan pembangkang kerana mereka memang tidak mahu melihat kadar pertumbuhan ekonomi kita tinggi, supaya mereka boleh menghasut rakyat untuk benci kepada kerajaan.  Perlu diingatkan, di negara-negara maju, tidak ada pun orang yang mempersoalkan projek-projek besar.  Bangunan pencakar langit, bukan satu atau dua, bahkan hampir semuanya adalah bangunan-bangunan tinggi.  Tak ada masalah pun!"
"Cuma di Malaysia saya kita dengar cerita-cerita seperti ini.  Dulu tak setuju dengan Jambatan Pulau Pinang, Bangunan berkembar Petronas dan Putrajaya.  Sekarang bukan saja rakyat perlu kepada jambatan kedua Pulau Pinang, tetapi pembangkang pula tak sabar-sabar nak masuk Putrajaya."
Ahli Majlis Tertinggi yang juga wakil Bahagian Bachok, Kelantan ini berkata, "Inilah hipokritnya sikap pembangkang.  Cakap tak serupa bikin.  Kita tak boleh, mereka tak apa."
Kira-kira 100,000 orang pengguna laman sosial facebook telah menyertai satu kumpulan untuk membantah pembinaan Menara Warisan Merdeka.  Kumpulan ini disertai lebih daripada 80,000 orang dalam masa 144 jam, menuntut agar suara mereka didengar seandainya Perdana Menteri Najib Razak berpegang kepada slogan 1Malaysia-nya, "Rakyat didahulukan".
Menara 100 tingkat di Kampung Baru?
Di samping itu, ketika wakil Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani membahaskan usul ekonomi, beliau mencadangkan agar Menara Warisan Merdeka dibina di Kampung Baru, Kuala Lumpur.  Sebelum mengakhiri ucapannya, perwakilan dari Bahagian Titiwangsa ini meminta agar Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Najib Razak untuk mempertimbangkan cadangan ini, walaupun tidak perlu membuat keputusan pada hari ini.
Beliau melontarkan cadangannya yang disambut dengan tepukan, "Apalah salahnya Menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini, dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kampung Baru?"
"Kerana PNB mempunyai tanah di stadium itu 22 ekar.  Di Kampung Baru, kita mempunyai 230 ekar.  Jadi, 10% daripada tanah itu saya percaya orang-orang Melayu di Kampung Baru ini akan bersetuju sungguh kalau YAB dapat memikirkan membawa Menara Warisan Merdeka 100 tingkat ke Kampung Baru, supaya dia menjadi mercu kejayaan orang Melayu di Tanah Melayu."
Johari Abdul Ghani menyambung, "Seperti mana hari ini kita lihat KLCC menjadi satu kebanggaan.  Seluruh kawasan tanah KLCC menjadi mahal.  Hari ini dengan wujudnya mercu Menara Warisan Merdeka ini saya percaya 220 ekar tanah Kampung Baru ini dalam masa 10, 30, 40 tahun akan datang, menjadi satu harga yang ternilai bagi orang Melayu."

No comments:

Post a Comment