Friday, December 10, 2010

Kg Baru: Parlimen bahas akta baru Mac depan, bacaan kali pertama 14 Dis


Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru akan dibahaskan Parlimen Mac depan dengan bacaan kali pertama pada 14 Disember ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
“Kita sudah ada rang undang-undang, jadi kita akan bentangkan di Parlimen buat kali pertama sebelum ia dibahaskan pada Mac tahun depan.
“Ia masih belum jadi undang-undang, jadi bagi saya, respons daripada penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah amat penting bagi menjayakannya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Raja Nong Chik (gambar), satu pertemuan juga akan diadakan dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru 14 Disember ini untuk membentangkan dengan terperinci kandungan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru.
“Siang kita bentangkan (bacaan kali pertama) di Parlimen, malam pula kita akan bentangkan kepada penduduk Kampung Baru. Saya sendiri akan hadir dan bentangkannya.
“Mengenai draf rang undang-undang ini, wakil setiap kampung sudah tahu cuma kita akan bentangkan kepada penduduk supaya mereka faham hala tujunya.
“Saya juga harap penduduk akan menerima cadangan pembangunan melalui draf rang undang-undang ini, saya tahu mungkin ada yang tidak setuju tapi saya harap majoriti akan menyokongnya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan akta itu digubal berdasarkan cadangan-cadangan yang dikemukakan penduduk.
“Saya yakin rang undang-undang ini akan diterima kerana ia adalah hasil idea yang diberikan penduduk Kampung Baru.
“Mereka sendiri yang berikan idea bukan kita suka-suka nak buat, sebab itu saya yakin rang undang-undang ini akan dapat sokongan majoriti.
“Ini adalah suara penduduk yang mahukan pembangunan untuk Kampung Baru, kerajaan cuma membantu dan kita tiada motif apa-apa dalam perkara ini,” katanya.
Raja Nong Chik turut memberi jaminan bahawa draf rang undang-undang itu tidak akan menjejaskan ekonomi penduduk di Kampung Baru.
“Tidak akan jejaskan pembangunan ekonomi di Kampung Baru, malah ia akan jadi lebih baik,” katanya.
Ketika ditanya mengenai struktur pembangunan yang akan dibangunkan di Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata ia masih lagi di peringkat perbincangan tetapi ia semua akan dibuat berdasarkan cadangan penduduk.
“Soal pelan dan struktur pembangunan ia masih lagi di peringkat perbincangan tetapi apa yang boleh saya katakan ia semua adalah idea daripada penduduk.
“Ada juga cadangan yang dikemukakan supaya ia berdasarkan daripada model-model bangunan di Timur Tengah, kita masih lagi berbincang,” katanya.
Pertemuan yang akan diadakan bersama penduduk Kampung Baru pada 14 Disember ini akan melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk.
Kelmarin, Setiausaha Agung Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru Shamsuri Suradi berkata, pertemuan itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman dan dianggarkan 300 penduduk akan hadir mendengar taklimat mengenai rang undang-undang itu.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

No comments:

Post a Comment