Thursday, December 2, 2010

Lagi kumpulan pelajar mahu sertai demonstrasi air 5 Dis

Persatuan Mahasiswa Selangor (Permasis) hari ini menyifatkan tindakan Syabas yang mahu menaikkan kadar air di negeri itu turut memberikan impak besar kepada pelajar yang menuntut di pusat pengajian tinggi di negeri itu.
Menurut Presiden Permasis Izzuddin Helmi, pihaknya membantah sekeras-kerasnya tindakan Syabas yang dilaporkan mahu menaikkan kadar air di negeri itu sebanyak 37 peratus.
“Permasis membantah sekeras-kerasnya tindakan Syabas yang dilaporkan mahu menaikkan kadar air di negeri ini sebanyak 37 peratus.
“Kami percaya, tindakan ini bukan sahaja memberi impak kepada rakyat negeri Selangor, tetapi turut melibatkan mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata dasar penswastaan air yang diperkenalkan di Selangor pada 1997 jelas membebankan rakyat di negeri itu.
“Hampir saban tahun, rakyat Selangor terpaksa menanggung derita kesan dari kenaikkan kadar air yang hanya menguntungkan sesetengah pihak yang berkepentingan.
“Namun begitu, peralihan kerajaan negeri yang berlaku pada Mac 2008 memberikan sedikit harapan untuk rakyat di negeri ini bernafas kembali.
“Tindakan kerajaan negeri yang baru dipilih memberikan air percuma bagi penggunaan 20 meter pertama amat menyenangkan khususnya masyarakat di kawasan luar bandar yang tidak berkemampuan,” katanya.
Kerajaan Selangor kini dipimpin Pakatan Rakyat melalui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Kami juga bersedia untuk turun bersama-sama dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta rakyat di negeri ini bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ahad ini.
“Kami turut menyeru kepada seluruh mahasiswa, khususnya anak-anak Selangor serta mahasiswa yang menuntut di negeri ini untuk sama-sama menyertai perarakan bagi menuntut perhatian dari pihak Istana,” kata Izzuddin lagi.
Selain Permasis, bebarapa persatuan mahasiswa termasuk Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) turut membantah cadangan Syabas sambil menyifatkan ia akan menyebabkan rakyat di Selangor akan terus terbeban.
Sehubungan itu, gabungan tiga persatuan mahasiswa atau boleh dikenali sebagai Mahasiswa ini mahu ahli politik di negara ini mendengar luahan dan pendapat yang dikemukan rakyat.
Selain itu, Mahasiswa mahu tiada sebarang campur tangan daripada kerajaan pusat terhadap isu tersebut.
“Kami menyeru seluruh mahasiswa khususnya yang tinggal di Lembah Klang untuk bersatu dan bersama menyokong usaha ini serta turun bersama-sama rakyat dalam demonstrasi aman yang akan dianjurkan pada Ahad ini.
“Kami turut menggesa kesemua pimpinan kampus, organisasi serta fruksi mahasiswa dan masyarakat untuk respons terhadap isu-isu seperti ini yang melibatkan hak rakyat kerana kita tidak mahu sumber-sumber negeri ini didominasi oleh individu-individu tertentu yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan.
“Kita tidak mahu sebarang campur tangan kerajaan pusat terhadap isu, hal dan permasalahan perkara-perkara dalam senarai negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan pusat harus hormat kepada undang-undang dan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Mahasiswa turut berkata tindakan Syabas mahu menaikkan tarif air di Selangor turut akan membebankan golongan mahasiswa.
“Selangor merupakan negeri yang memuatkan institusi-institusi pengajian tinggi yang menjadi rumah kedua kepada sebilangan besar mahasiswa dari seluruh pelosok negara dan sebahagian besar tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan sebilangan besar darinya tinggal menyewa di kawasan perumahan berhampiran universiti atau kolej masing-masing.
“Sejak 2008, mahasiswa tidak perlu runsing dengan beban membayar bil perkhidmatan air. Sebilangan besar dari mereka boleh menjelaskan bayaran tertunggak menjelang hujung semester tanpa sebarang bebanan. Boleh dikatakan sejak 2008, rakyat Selangor tidak pernah dibebankan bil utiliti air.
“Malah sejak sejak 2008, rakyat Selangor telah dikembalikan haknya dan mahasiswa menyokong penuh polisi merakyatkan ekonomi yang tidak membeban dan menyusahkan rakyat,” katanya.
“Perang” antara kerajaan negeri Selangor dan Syabas mula memuncak dengan agensi itu diberi notis 14 hari supaya menghentikan program Tabung Budi atas alasan ia melanggar syarat perjanjian konsesi air.
Notis bertarikh 23 November dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997.
Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.
Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

No comments:

Post a Comment