Sunday, January 23, 2011

Makkal Sakthi sokong Normala

LABIS: Presiden Makkal Sakthi, Kannan Ramasamy menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Tenang.
“Kita sokong Pakatan Rakyat. Tenang adalah platform untuk kita melakukan perubahan. Sebelum ini, kita ambil sikap berkecuali tetapi memikirkan negara akan menghadapi pilihan raya umum ke-13, kita perlu mengambil pendirian.
“Berdasarkan maklum balas akar umbi parti, kita selesa dan mesra untuk bekerja bersama Pakatan Rakyat,” katanya kepada KeadilanDaily.com selepas program jamuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan masyarakat India Tenang di Pekan Labis.
Kannan turut mengakui Makkal Sakthi menghadapi pergolakan dalaman sebelum ini, apabila bekas Presidennya, R S Thamendran didakwa ‘menjual’ parti itu kepada Barisan Nasional (BN).
Justeru, katanya, jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada tujuh anggota sudah membatal keahlian Thamendran.
Kannan mendakwa BN melalui pengaruh Thamendran hanya berminat untuk mengambil alih kuasa dan kepimpinan tetapi mengabaikan perjuangan parti.
Beliau berkata,  Tenang adalah kerusi DUN yang signifikan memandangkan komposisi masyarakat India berjumlah 12 peratus dan banyak isu masyarakat belum diselesaikan.
“Pada pilihan raya umum ke-12, kira-kira 55 peratus kaum India Tenang menyokong BN kerana ‘tsunami politik’ belum sampai. Tetapi selepas itu, barulah mereka menyedari keperluan untuk berubah,” katanya.
“Bila kita (Makkal Sakthi) kembali ke sini, sambutan orang India cukup memberangsangkan ,” katanya yang memaklumkan, antara isu pokok yang dihadapi kaum India ialah isu pekerjaan.
Mengikut statistik yang diperolehinya, beliau berkata, 20 peratus daripada mereka terpaksa berhijrah termasuk ke Singapura dan Johor Bahru akibat dari kekurangan peluang pekerjaan.
“Mereka tidak lagi bekerja di ladang dan estet kerana ia diusahakan syarikat besar dengan mengambil pekerja India, Bangladesh dan Indonesia. Jadi, generasi kedua tiada peluang pekerjaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment