Sunday, January 9, 2011

Perubahan perlu libat semua pihak- Nurul Izzah

Nurul Izzah mempersembahkan lagu dari Radiohead dengan gitarnya yang berjaya dilelong pada harga RM13 ribu

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, rakyat Malaysia tidak boleh semata-mata mengharapkan perubahan di negara ini dilakukan oleh orang lain, tetapi adalah melalui penglibatan langsung setiap individu.
“Kita (Malaysia) miskin banyak perkara, tetapi yang paling dikesalkan ialah, negara ini miskin demokrasi. Politik ini tidak semata-mata kerana Anwar Ibrahim, Hadi Awang atau Lim Kit Siang, tetapi ia adalah berkenaan diri kita sendiri dan apa yang kita tuntut.
“Tentang bagaimana caranya untuk kita mengatasi politik perkauman dan kebencian, kerana ada banyak contoh yang menunjukkan bahawa mereka (Barisan Nasional), langsung tidak memberikan perhatian mengenai masa depan kita dan anak-anak kita,”
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di hadapan kira-kira 700 tetamu, pada majlis jamuan makan malam sempena kutipan derma bagi Parlimen Lembah Pantai di Restoran Bangsar Seafood, malam tadi.
Izzah berkata, banyak perkara yang merunsingkan rakyat marhaen terjadi sejak kebelakangan ini. Antaranya, peningkatan kejadian salahguna kuasa pihak polis dan situasi ekonomi negara yang negatif, mencerminkan kepincangan yang berlaku dalam kepimpinan negara.
“Saya sebagai orang Islam, orang Melayu dan rakyat Malaysia yang meraikan kebebasan, menganjurkan bahawa anak-anak dan sahabat kita perlulah dididik melalui cara yang bukan kekerasan,” jelas Izzah.
Izzah menambah, rakyat perlu mengetahui tentang fungsi, peranan dan kebarangkalian yang terjadi dalam kancah politik.
Tetapi apa yang diperjuangkan dalam kerangka Keadilan berbeza dengan politik retorik puluhan tahun Barisan Nasional yang berterusan menjalankan dasar pecah dan perintah.
“Justeru, kita tidak boleh menganggap bahawa undi kita tidak penting. Kerana hanya ada satu sahaja jalan untuk mengubah Malaysia, iaitu kita mesti berdiri dan turut serta di dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Naib Presiden N Surendran, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Pada acara yang sama, ahli Parlimen Lembah itu turut menunjukkan kemahirannya bermain gitar bagi mengumpul dana, sebelum melelong gitar akustik pemberian bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nilai RM 13, 000.

No comments:

Post a Comment