Monday, April 4, 2011

Poco-poco: Mufti Perak tidak ganjak, Majlis Fatwa bincang 20 April

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Jawatankuasa Fatwa negeri itu berpendirian tegas akan kekal dengan keputusan mengharamkan tarian poco-poco yang dicapai Januari lalu.
Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat 20 April ini akan memutuskan pendiriannya.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, satu mesyuarat telah diaturkan lebih awal sebelum isu berkaitan fatwa Perak timbul.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, oleh kerana isu tarian poco-poco bukan perkara mustahak maka tiada hasrat untuk mempercepatkan pertemuan yang dijadualkan 20 April ini.
“Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tan Sri Prof Emiritus Dr Shukur Husin, sebelum timbul isu poco-poco telah pun minta Jakim aturkan muzakarah pada 20 April ini.

“Kami akan adakan (muzakarah) seperti yang telah dijadualkan, insya-Allah, dan tidak berhasrat hendak awalkan. Ini bukan isu segera sangat,” kata beliau sambil menambah, “hanya akan dibincangkan dalam agenda hal-hal lain kerana isu besar lain perlu diutamakan.”
Sementara ketika dihubungi The Malaysian Insider, Harussani (gambar) menegaskan pihaknya tidak akan menarik balik pengharaman itu walaupun mendapat tentangan dari banyak pihak.
“Tidak akan tarik balik... benda dah haram, benda dah sesat buat apa mesti nak tarik balik? Haram tetap haram dan orang yang mengamalkannya boleh bawa kepada syirik.
“Saya kata haram sebab itu berasal dari cara ibadat bukan Islam, walau apa jua tujuan yang kita buat termasuk senaman ia tetap haram,” katanya.
Jelas beliau, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan pengharaman tarian poco-poco selepas membuat kajian dan pemerhatian dalam perkara itu.
“Saya kata haram dan atas dasar apa mereka kata tidak haram? Poco-poco ini ditarikan di gereja, kalau kita mahu buat kenapa tidak sahaja buat tarian zapin atau berkawad sahaja macam tentera? Tiga puluh minit sahaja mesti dah berpeluh, buat macam kita sekolah dulu.
“Yang haram tetap haram, pasal apa saya nak tarik balik walaupun satu Malaysia tolak saya tetap kata haram,” katanya.
Tambah Harussani, banyak lagi tarian yang boleh digunakan untuk menjadi senaman.
“Kalau nak juga buat kenapa tidak gunakan cara kita tapi jangan campur lelaki dan perempuan tapi apa-apa yang berasal dari agama lain tetap tidak boleh.
“Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan kata tarian poco-poco bukan haram, saya tetap tidak akan tarik balik,” katanya.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.
Ekoran pengharaman itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco.
Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau mahu semua pihak tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu.
Bagaimanapun bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.
Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa.

No comments:

Post a Comment