Thursday, June 23, 2011

Adakah Hishammuddin akan tangkap Dato’ Onn Jaafar yang menganjurkan rapat umum dalam tahun 1946 sehingga melahirkan UMNO, jika arwah datuknya itu masih hidup hari ini?

KUALA LUMPUR,  – Adakah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menangkap Dato’ Onn Jaafar yang menganjurkan rapat umum dalam tahun 1946 sehingga melahirkan UMNO, jika arwah datuknya itu masih hidup hari ini?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang terhadap kenyataan Hishammuddin yang mahu menangkap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Kit Siang berkata, Onn, datuk kepada Hishammuddin, bukan sahaja pengasas UMNO, malah beliau adalah antara pengasas awal demonstrasi secara aman di negara ini apabila mengadakan rapat-rapat umum menentang gagasan Malayan Union yang dianjurkan oleh penjajah British.

“Mengadakan perhimpunan aman adalah tunjang kepada hak asasi manusia, yang diperakui sekalian masyarakat dalam negara yang bertamadun,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan, pengendali dan penyokong Bersih 2.0 telah pun menyatakan komitmen mereka secara jelas bahawa perhimpunan tersebut dijamin dilaksanakan secara aman.

“Saya mahu bertanya Hisammuddin sama ada beliau sedang merancang dengan pegawai atasan polis untuk melakukan Operasi Lalang II yang melaksanakan penangkapan beramai-ramai di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ?” katanya.

Tambahnya, soalan itu wajar ditanya kerana kebelakangan ini banyak amaran yang tidak perlu dibuat telah dikeluarkan oleh Hishammudin dan pihak polis yang seakan-akan mahu menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0.

Semalam, Hishammuddin dalam satu sidang akhbar, menyatakan bahawa beliau akan memanggil setiap wakil penganjur perhimpunan 9 Julai depan, iaitu Bersih 2.0, Pemuda UMNO dan Perkasa.

Menurut Kit Siang, kenyataan Hishammuddin adalah tidak wajar dan menghina kerana meletakkan Bersih setaraf dengan kumpulan ultra Melayu Perkasa; niat utama Bersih ialah pilihan raya yang adil, bersih dan demokratik manakala Perkasa menentang niat murni Bersih dan hanya mahu menimbulkan kekacauan.

Katanya apa yang harus dilakukan polis dan Kementerian Dalam Negeri ialah menangkap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang telah mengeluarkan kenyataan yang sangat kasar, menghina kaum dan tidak bertamadun, yang bertujuan menimbulkan huru-hara bagi menggagalkan aspirasi rakyat yang mahu pemulihan demokrasi negara.

Beliau juga mahu Hishammudin membantu menjayakan perhimpunan aman Bersih itu daripada menggunakan jentera kerajaan untuk mencengkam kebebasan berdemokrasi di Malaysia.

No comments:

Post a Comment