Thursday, August 11, 2011

Laporan Polis Kali Ke-3, Untuk Bela Kematian 3 Das Tembakkan!!


Kes Polis Tembak Tiga Remaja, Keluarga Buat Laporan Kali Ketiga

PETALING JAYA, 11 OGOS: Tiga keluarga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam pada November tahun lalu, membuat satu lagi laporan polis hari ini bagi menyatakan bahawa kesemua anak mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan itu.

Malah, ketiga-tiga keluarga mangsa menegaskan bahawa pendirian itu dibuat berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima baru-baru ini.

Sejak kejadian itu berlaku pada November lalu keluarga mangsa telah membuat dua laporan polis dan laporan hari ini merupakan yang ketiga.

Terkini laporan bedah siasat yang melibatkan Muhamad Hanafi Omar menunjukkan remaja berusia 22 tahun itu ditembak tiga kali iaitu di pipi, di bawah cuping teling dan dada.

Berdasarkan laporan bedah siasat dua lagi remaja, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah sebelum ini juga menunjukkan mereka menerima tembakan di kepala dan dada.

Dalam kejadian pada 13 November lalu, kesemua mereka mati di tempat kejadian, namun polis menegaskan ketiga-tiga remaja itu ditembak kerana cuba menyerang dengan parang.

Ketiga-tiga keluarga itu membuat laporan polis hari ini kerana mahu polis membuka semula kertas siasatan dan mendakwa kesemua pegawai yang terlibat dalam kes tersebut.

“Laporan-laporan bedah siasat ini menunjukkan bahawa peluru telah memasuki badan mangsa pada sudut 45 darjah ke belakang, kami percaya ini adalah kerana mereka ditembak oleh penembak yang berada di kedudukan atas mereka iaitu mereka mungkin dipaksa melutut sebelum ditembak mati.

“Soalnya juga kenapa perlu dua das tembakan ke kepala dan dada jika tujuannya kononnya hanya untuk menghalang mereka daripada menyerang polis, kesemua mereka menerima dua tembakan kecuali Hanafi (tiga tembakan),” kata ketiga-tiga keluarga mangsa.

Sehubungan itu, keluarga mangsa mendakwa polis cuba menutup penyalahgunaan kuasa oleh pegawai mereka dengan mengatakan kesemua remaja itu cuba menyerang dengan parang dan terpaksa dihalang dengan tembakan.

“Kami menuntut supaya satu penyiasatan dimulakan segera ke atas anggota-anggota polis yang terlibat atas kesalahan membunuh.

“Kami juga mahu pegawai atasan yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini disiasat kerana memberikan maklumat palsu, kami menuntut keadilan atas kematian anak-anak kami,” katanya.

Ketika membuat laporan hari ini ketiga-tiga keluarga remaja itu diwakili oleh Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam, Norhafizah Mad Razali, 37, yang merupakan ibu Mohd Shamil dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Sementara itu Peguam hak asasi N. Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty menegaskan, laporan bedah siasat terbaru yang diterima beberapa hari lalu menunjukkan ia bercanggah dengan maklumat polis.

“Kami telah menerima laporan bedah siasat Muhamad Hanafi dan ia jelas menunjukkan kesemua mereka telah ditembak dalam jarak dekat.

“Mohd Shamil ditembak di tengah-tengah dahi dan dada, (Mohd) Hairul Nizam di tepi kepala dan dada, dan Mohamad Hanafi menerima dua tembakan di kepala iaitu di sisi pipi dan di bawah cuping telinga selain turut ditembak di dada,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Tegasnya lagi, laporan bedah siasat secara jelas membuktikan kesemua remaja itu ditembak dengan tujuan “membunuh.”

“Jika polis nak hentikan (serangan) mengapa tidak tembak di tangan atau kaki? Mengapa mesti di kepala dan dada?

“Tembakan ini bukan bertujuan untuk menghentikan (serangan) tapi bertujuan untuk membunuh,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut bersama keluarga mangsa membuat laporan polis berkata, beliau mahu Putrajaya memberikan penjelasan berhubung kes tembakan tiga remaja itu .
Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan penjelasan berhubung peningkatan kes tembakan mati yang melibatkan polis.

“Sudah tentu kita akan bawa perkara ini Parlimen tapi terlebih dahulu kita mahu penjelasan perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua polis negara dalam isu ini,” kata Nurul Izzah. -tvsnews-


EDYES Wrote:

Bayangkan jika anak kita, adik-beradik kita, atau saudara-mara kita, mengambil tempat anak muda yang kepala dan badannya ditembusi tiga das tembakkan dari polis. Cerita di sebalik cerita, siapa yang boleh merungkainya kerana ketiga-tiga remaja terbabit telah dipastikan mati apabila ditembak berkali-kali dan dikatakan ditembak di paras dekat ?

Jika dalam kes arwah Amirul Rashid, parang cuba diseludup masuk ke dalam bonet dengan cubaan menuduh anak muda kaki masjid ini sebagai penjenayah. Siapa yang boleh terima kelaku macam nie? Mungkin orang awam masih boleh terima andainya kejadian itu benar berlaku kesilapan yang tidak disengajakan oleh pihak polis, tetapi seperti yang kita sedia maklum pihak berkuasa itu sentiasa betul.

Lebih malang, sudahlah ibu bapa Amirul kehilangan anak yang disayangi, dituduh pula sebagai penjenayah. Ini sebenarnya fenamena yang sememangnya menimbulkan kemarahan rakyat.

Dalam kejadian 3 remaja mati ditembak polis di Glenmerie November lalu, apakah yang sebenarnya berlaku apabila ketiga-tiga remaja itu ditembak bukan untuk menghentikan serangan tetapi bagaikan untuk dibunuh. Dua daripada tiga remaja itu ditembak sebanyak 2 das setiap seorang manakala seorang lagi ditembusi 3 das tembakkan termasuk di kepala.

Siri tembakkan semuanya mengenai kepala, pipi dan juga dada. Apa yang menjadi persoalan, tidakkah pihak polis mempunyai kemahiran untuk menumbangkan penjenayah (sekiranya 3 remaja ini penjenayah) dengan menembak ke arah kaki ataupun tangan?

Seorang remaja yang umurnya hanya menjangkau 22 tahun dan dua lagi remaja berumur sekitar 16 tahun. Bukankah beberapa das tembakkan amaran ke langit akan membuatkan mereka semua meletakkan parang yang mereka miliki di tangan (jika benarpun parang itu adalah milik mereka) ?

Kesangsian seperti ini mewajarkan tindakkan ibu-bapa mangsa membuat laporan polis kali ketiga, hari ini.

No comments:

Post a Comment