Monday, November 19, 2012

Kementerian malu letak polisi Islam untuk belia?

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menggesa kerajaan agar memperkuatkan pembangunan insan kepada golongan belia bagi mengelakkan gejala sosial daripada terus meningkat.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan petang ini.

Menurutnya lagi, pembangunan insan adalah satu perkara yang penting kerana jika ia diterapkan dalam diri belia segala gejala sosial yang berlaku pasti dapat dikurangkan.

"Kita melihat kementerian seolah-olah malu untuk meletakkan polisi keislaman dalam dasar terutamanya melibatkan generasi belia.

"Apa yang pasti kerajaan perlu menjadikan agenda pembangunan insan itu sebagai satu perkara utama dan ini bagi memastikan gejala sosial dapat dikurangkan," katanya.

Jelasnya lagi, selain pembangunan insan kerajaan juga perlu turut mengembalikan golongan belia ini, terutama anak muda kepada konsep ketakwaan.

"Dasar pembangunan belia negara sebelum ini kita melihat beberapa strategi telah dirancangkan.

"Namum kita sendiri tidak pasti adakah ia dilaksanakan atau tidak tetapi yang kita tahu hanya budaya hiburan lebih diberi fokus oleh kerajaan kepada golongan belia," ucap beliau.

Beliau yang juga turut meminta kerajaan mengurangkan sogokan hiburan kepada golongan belia dan menjadikan majlis ilmu suatu keutamaan setiap kali tibanya Hari Belia Kebangsaan.

Tambahnya lagi, gejala sosial yang berlaku di negara ini adalah satu perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

Malah menurutnya, kerajaan perlu mempunyai satu rangka yang khusus dalam mengatasi gejala tersebut terutamanya kes melahirkan anak luar nikah dan pembuangan bayi.

No comments:

Post a Comment