Monday, April 1, 2013

Faktor calon beri kelebihan kepada PAS di Larut


Suasana di Larut mungkin tidak jauh beza dari tempat-tempat lain jika dilihat dari sudut persiapan jentera parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tarikhnya masih dalam 'rahsia' Datuk Seri Najib Razak.


Jika melihat kepada gerak kerja jentera, bendera parti yang gah berkibar di sepanjang kiri kanan jalan dan poster-poster program khususnya dari PAS, boleh dikatakan mereka kini hanya menunggu masa Najib membubarkan parlimen.

Larut merupakan salah satu daripada tujuh kerusi Parlimen di Perak yang akan ditandingi PAS pada PRU13  kali ini.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS Dr Mohd Dhari Othman tewas kepada calon BN Hamzah Mohd Zain hanya dengan majoriti 1,911 undi.

Mohd Dhari mendapat 13,967 undi manakala Hamzah sebanyak 15,878 undi.

Mengikut demografi pecahan kaum, majoriti masyarakat di sini adalah Melayu (87.42%), Cina (5.99%), India (6.41%) manakala bakinya 0.17 % adalah lain-lain kaum.

Melihat kepada perkembangan semasa, ramai yang berpendapat peluang PAS untuk memenangi parlimen ini pada PRU13 sangat cerah.

Apatah lagi, PAS menamakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari mewakili parti itu sebagai calon parlimen Larut bagi PRU13 ini.

Pemilihan Fauzi yang merupakan anak jati Larut ini diibaratkan masyarakat di sini sebagai 'sireh pulang ke gagang' untuk menabur bakti di kampung halaman sendiri, setelah lama berkhidmat sebagai pegawai polis di Kuala Lumpur.

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Larut, Haji Zaki Hassan berkata, PAS menerima baik keputusan yang telah dibuat PAS Pusat malah menyifatkan pemilihan Datuk Fauzi sebagai tepat dalam usaha Pakatan Rakyat mahu menwan Putrajaya.

"Dia (Fauzi) bukan sahaja calon untuk Larut, tapi dia juga calon peringkat nasional sebenarnya, sebab semua orang kenal dia.

"Keluarga dia temasuk bapa dia, sangat disegani oleh masyarakat di sini. Dia pernah buka kelas tuisyen pun, ajar anak-anak muda di sini. Itu jasa dia yang orang akan ingat" katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, Fauzi juga terkenal dengan sikap ramahnya dengan masyarakat. Malah sikapnya itu menjadikan beliau seorang yang dihormati dan disegani kawan dan lawan.

Zaki (gambar) yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Larut turut memberitahu, sehingga kini sambutan masyarakat terhadap program khasnya yang dihadiri oleh Fauzi tidak pernah menghampakan.

Lebih membanggakan, bukan sahaja golongan dewasa, malah Fauzi turut dijadikan ikon oleh nak muda di sini.

Sementara itu, terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di bawah parlimen Larut iaitu Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau.

Pada PRU13 ini, PAS kan bertanding di Dun Selama dan Kubu Gajah sementara Batu Kurau akan diwakili PKR.

No comments:

Post a Comment