Friday, September 27, 2013

Mukhriz Terpaksa Berdepan Lawan Bapanya, Kritikan Tun M Dianggap Keterlaluan

Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno berhadapan pencabar bapanya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat agak lantang memberi tekanan kepada pemimpin dalam Umno.

Setengah pihak melihat negarawan negara itu berkempen untuk anaknya secara tidak langsung dengan menggesa supaya pemimpin lama Umno memberi laluan kepada muka baru.

Bagaimanapun, kelantangan Dr Mahathir bukan sesuatu yang diterima secara terbuka oleh perwakilan Umno, sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin dalam Umno.

Baru-baru ini, Dr Mahathir secara terbuka mengkritik Umno kerana pemimpin lama yang suka mencantas muka baru yang sedang naik, menyifatkan parti Melayu tersebut menjadi semakin "bodoh".

Mengenai pengaruh Dr Mahathir dalam parti, perdana menteri negara paling lama bekrhidmat itu bukan lagi pencorak suasana politik dalaman parti tersebut.

"Jangan kata ahli Umno adalah bodoh. Ahli Umno bijak dan boleh bekerja," kata Datuk Razali Ibrahim, yang juga Naib Pemuda Umno kepada The Malaysian Insider ketika mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini.

Pengaruh Dr Mahathir tidak lagi sehebat semasa berada dalam jawatannya dahulu kerana ketika itu beliau digeruni lawannya sebagai seorang yang tegas dan tidak teragak-agak menamatkan karier politik seseorang jika tidak berpuas hati.

Mukhriz mungkin tersilap sekiranya mengganggap status sebagai anak "Mahathir" akan membantunya untuk memenangi pemilihan parti kali ini, memandangkan percubaannya untuk menjadi Ketua Pemuda Umno juga gagal walaupun dibantu dengan kempen bapanya secara tidak nampak.

Sebaliknya, penganalisis berpendapat Mukhriz perlu menjadi diri sendiri kerana kematangannya yang semakin terserlah dalam arena politik negara.

"Bagi saya, Mukhriz ini tidak wajar dilihat sebagai kroni kepada Dr Mahathir. Beliau menunjukkan kematangan dan pengalamannya kebelakangan ini," kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Selain penganalisis, lawan Dr Mahathir yang juga pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai pandangan sama yang mengganggap bekas perdana menteri tersebut tidak lagi mempunyai pengaruh.

"Saya tidak lihat bapanya (Dr Mahathir) mempunyai pengaruh lagi, kita boleh lihat semasa cubaannya untuk kembali ke arena politik gagal selepas tewas dalam pemilihan bahagian di Kubang Pasu," kata Tengku Razaleigh semalam.

Namun, pemimpin Umno dilihat dilihat tetap dengan legasi untuk meneruskan kuasa, mempertahankan diri daripada kritikan Dr Mahathir dengan berkata gandingan baru dan lama penting untuk kesinambungan parti.

"Yang paling penting adalah apabila seseorang itu mampu memimpin, mereka perlu diberi peluang.

"Tempoh masa tidak penting, kredibiliti seseorang pemimpin adalah lebih penting," kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno penggal lalu.

Kehadiran Mukhriz dalam gelanggang persaingan tersebut menarik perhatian ramai kerana beliau merupakan calon termuda (49 tahun) dan baharu sahaja mencatat kejayaan cemerlang apabila memastikan Kedah kembali ke dalam genggaman Barisan Nasional (BN).

Mukhriz dalam misi untuk menewaskan salah seorang tiga penyandang Naib Presiden Umno, yang berusia melebihi umur 50 tahun ke atas iatu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (51), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (60) dan Datuk Seri Shafie Apdal (56). - 27 September, 2013.-TMI 

No comments:

Post a Comment