Sunday, November 3, 2013

APS: Penganggur berdaftar masih gagal dapat kerja

Malaysia menghadapi masalah pengangguran yang serius tetapi kerajaan bersikap seolah-olah mencapai guna tenaga penuh.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, penganggur yang mencari kerja akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memperolehi perkerjaan mengikut cita rasa dan kelayakan yang dimiliki.

Katanya, salah satu kaedah yang popular di negara kita ialah mencari pekerjaan melalui agensi pekerjaan.

“Agensi pekerjaan swasta sering menjadi pilihan kepada penganggur walaupun terdapat bayaran tertentu dan beberapa syarat yang perlu dipenuhi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mengikut statistik Jabatan Tenaga Kerja (JKT) sehingga 30 September 2013 terdapat 2502 buah agensi telah berdaftar sebagai Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah peruntukan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 1,178 APS yang bergiat aktif pada masa ini.

Walaubagaimanapun, ujarnya pihak kerajaan telah menerima 81 permohonan baru dan 663 pembaharuan lesen APS dari bulan Januari hingga September 2013.

“Adakah APS yang sedia wujud memainkan peranan atau tanggungjawab dengan berkesan?” tanya beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Katanya, statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia tidak memberi satu gambaran yang baik berhubung dengan APS ini.

Beliau menambah, didapati 279,348 pendaftaran pekerjaan dibuat di keseluruhan APS negara kita dari bulan Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah besar itu, kata beliau hanya 14,802 orang yang berjaya ditempatkan oleh APS.

Ini, ujarnya hanyalah 4.97% daripada jumlah yang didaftarkan oleh APS, sementara lebih 95% yang didaftarkan tidak dapat ditempatkan lagi.

“Kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah APS negara kita tidak cekap?

“Ataupun ada alasan-alasan lain berhubung dengan perkara ini?” ujarnya

Justeru, katanya lagi kerajaan harus mengkaji semula peranan APS dan mencari jalan untuk mempertingkatkan kemampuan APS supaya dapat menempatkan orang-orang yang berdaftar di bawahnya secara efektif.

Jika tidak, kata beliau APS tidak akan diberi kepercayaan  oleh orang yang berdaftar mahupun pihak majikan.

“Kerajaan harus mengkaji semula undang-undang yang sedia ada untuk mempergiatkan lagi industri ini.

“Kewibawaan APS ini adalah penting untuk menyelesaikan masalah pengangguran di negara kita,” ujarnya lagi.

Katanya, kategori kerja yang paling banyak ditempatkan oleh APS ialah profesional iaitu 3,189 daripada 56,997 yang didaftarkan, manakala yang kedua perkeranian iaitu 3,156 daripada 42,085 yang didaftarkan untuk tempoh Januari hingga September 2013.

“Statistik-statistik yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia adalah amat menakjubkan kerana terdapat ramai dari kalangan rakyat negara kita mencari pekerjaan tetapi pada masa yang sama warga asing pula telah melanda di bumi ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment