Saturday, November 29, 2014

Mampukah Umno pertahan kampung warisan?

BANDAR JENGKA: Akhirnya nasib, keluhan dan suara hati penduduk Matau di sini diserahkan melalui memorandum kepada pemimpin Umno pada perhimpunan agung parti itu pada Jumaat lalu melalui Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). (Foto atas oleh Nasir Sudin)
Memorandum berkenaan antara lain meminta pemimpin-pemimpin parti pemerintah turut mempertahankan tanah warisan yang telah diteroka sejak berpuluh-puluh tahun lalu, daripada terlepas kepada kaum kapitalis terutama bukan Melayu.

Memorandum tersebut dirasakan tepat pada masanya di saat terdapat beberapa kerat perwakilan Umno yang begitu lantang mahukan kerajaan dan Umno sendiri mempertahankan tanah milik Melayu daripada terlepas ke tangan bangsa lain.

Seperti perjuangan mempertahankan Kampung Banggol Donas di Terengganu dan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, Matau yang kini dalam proses dimangsakan atas nama pembangunan juga turut menuntut perhatian pemimpin Umno.

Mengikut catatan sejarah, Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja sebuah syarikat pembalakan dari Kanada yang beroperasi di situ. Selain daripada itu ada juga penghijrah-penghijrah berbangsa Melayu dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh Majlis Daerah Maran (MDM) dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL (cukai pendudukan tanah sementara). Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran tol seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga sering kali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

Terdapat hampir 600 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 27 ekar itu.

Akhirnya MDM telah mengeluarkan notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut. Alasannya MDM telah menandatangani satu perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd.

Bagi penduduk, mereka tidak boleh menerima apapun alasan untuk pembangunan berkenaan kerana di pekan Sungai Jerik, iaitu juga dalam daerah Maran, diizinkan pula peneroka awal bukan Melayu meneruskan perniagaan mereka. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya.

Perkembangan terkini menyaksikan sudah banyak premis dirobohkan dan tanah diratakan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan tersebut.

Difahamkan pemaju akan membina lot kedai bangunan tiga tingkat dengan harga menjangkau setengah juta ringgit setiap unit.

Penduduk telahpun membawa kes berkenaan di mahkamah namun rayuan mereka untuk terus kekal menetap di situ telah ditolak.

“Kita mungkin tidak dapat lagi untuk mengembalikan tanah Matau kepada penduduknya, akan tetapi kita mahukan keadilan kepada mangsa-mangsa terutamanya peniaga,” kata salah seorang pejuang tanah Matau Mohd Syafie Mohd Isa.

“Apa yang dapat kita perjuangkan sekarang ialah menuntut kerajaan negeri memberikan pampasan setimpal yang sesuai dengan mereka.

“Umpamanya mereka perlu diberi tapak gantian yang sesuai sesuai kepada pengusaha-pengusaha kilang keropok, kilang sos, bengkel motosikal, tapak pasar mini, kedai runcit, kedai tayar, hardware dan lain-lain agar mereka dapat meneruskan perniagaan mereka seperti sedia kala.

“Mereka tidak minta jutaan ringgit sebagai tekanan atau pampasan tetapi yang mereka minta ialah tempat berteduh dan premis atau tapak yang sesuai untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Syafie, pada masa ini perniagaan penduduk Matau terpaksa ditutup sedangkan mereka dapat menyaksikan tanah milik mereka sedang diagihkan kepada bangsa lain di atas nama pembangunan.

“Dengan itu kita minta siapa saja terutama wakil rakyat agar berbuat sesuatu demi sedikit keadilan untuk penduduk yang teraniaya ini,” keluhnya.

Tambahnya, sudah tiga generasi penduduk bermukim di situ dan setiap kali menjelang kali pilihan raya mereka dijanjikan dengan penyelesaian yang menang-menang. Namun pada hakikatnya, janji tidak pernah ditepati. - HARAKAHDAILY 30/11/2014

No comments:

Post a Comment