Friday, November 28, 2014

RUM tidak berpuas hati dengan penyelesaian isu piket

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian isu pemecatan 97 anggota kesatuan itu kerana menyertai piket pada 9 Mei lepas.
Presidennya Abdul Razak Md Hassan mendakwa memorandum persetujuan, yang ditandatangani anggota kesatuan itu pada Rabu lepas, adalah berat sebelah dan tidak serupa dengan draf yang disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Memorandum itu berpihak kepada satu pihak dan bukannya yang memanfaatkan kedua-dua pihak seperti yang diminta oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Bagaimanapun, saya sebagai presiden, meminta semua anggota untuk tanda tangan perjanjian itu supaya dipulihkan ke jawatan mereka dengan segera, walapun saya tidak menandatangani perjanjian itu untuk menegakkan keadilan kepada anggota kesatuan," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.
Abdul Razak berkata beliau juga tidak berpuas hati kerana kandungan memorandum itu mendesak beliau memohon maaf kepada Presiden KTMB Datuk Elias Kadir setiap hari berturut-turut selama tiga bulan di laman Facebook dan blog rasmi RUM.
"Saya anggap ia tidak masuk akal," katanya.
Kesemua kakitangan itu dipulihkan ke jawatan masing-masing selepas menandatangani memorandum persetujuan yang diadakan secara tertutup dan disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Sementara itu, Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad ketika dihubungi Bernama, enggan mengulas mengenai kandungan memorandum itu.
Namun, katanya beliau gembira kerana pekerja dapat dipulihkan ke perkhidmatan mereka.
"Keutamaan saya ialah pekerja yang dibuang dapat kembali ke jawatan mereka dengan segera. Sebagai pengerusi saya gembira isu ini diselesaikan atas dasar kemanusiaan," katanya.

No comments:

Post a Comment