Friday, December 25, 2009

Lepas ni apa pulak la nak lesap.......

SHAH ALAM – DAP tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi aset dan maklumat rasmi milik kerajaan hilang dan diseludup keluar disebabkan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak telus.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, ketirisan, penyelewengan dan pecah amanah ini berlaku bukan sahaja membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi pihak yang sebati dengan gejala negatif itu.

“Insiden kehilangan enjin pesawat TUDM ini hanyalah salah satu daripada banyak perkara yang tidak diketahui rakyat.

“Jika enjin pesawat tempur yang bersaiz besar untuk kegunaan pertahanan negara boleh hilang, bagaimana dengan kelengkapan senjata bersaiz kecil dan juga maklumat keselamatan negara?,” katanya

Menurutnya, jika sistem kerajaan ditadbir baik, perkara tidak betul seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 tidak akan berlaku.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penyiasatan berhubung kehilangan enjin pesawat tempur itu memakan masa dan hanya dihebahkan setelah dua tahun kehilangannya disebabkan terdapat usaha untuk menutup kes itu daripada disiasat.

“Kita yakin, jika kes berprofil tinggi ini disiasat dengan telus dan teliti, kemungkinan banyak lagi kes berkaitan akan timbul, yang akhirnya membuka pekung pentadbiran kerajaan.

“Rakyat seharusnya membuka mata dan menilai pemimpin yang dipilih untuk melindungi rakyat," katanya.

Beliau mempertikaikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menyifatkan kes kehilangan enjin pesawat tempur sebagai tugas penyiasatan yang rumit dan banyak tekanan, sedangkan penyiasatan masih belum berjalan.

Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan sebuah enjin pemintas F-5E TUDM bernilai hampir RM50 juta daripada Gudang Material Udara (Matra1), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih.

No comments:

Post a Comment