Friday, December 25, 2009

[N37 Batu Maung] Guan Eng:Najib perlu tunai janji

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan janjinya memastikan 30 projek Persekutuan yang dijangka lewat di negeri ini, dapat disiapkan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya berharap agar semua projek itu disiapkan dalam baki tempoh 12 bulan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) ini selain memastikan projek berkenaan memenuhi kriteria profesional demi kepentingan orang ramai.

“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa terdapat 18 projek yang ‘jatuh sakit’ mengikut RMK-9 di Kementerian Kesihatan, tetapi projek Persekutuan yang ‘jatuh sakit’ di Pulau Pinang adalah lebih memeranjatkan dengan 30 projek bawah RMK-9 dijangka lewat.

“Kerajaan menjangkakan sebanyak 30 projek dijangka tidak dapat disiapkan mengikut jadual disebabkan kenaikan harga bahan binaan, masalah pengalihan utiliti, pengalihan setinggan terlibat, masalah reka bentuk dan masalah kontraktor yang tidak berwibawa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dalam jawapan bertulis oleh Perdana Menteri itu pada sidang Dewan Rakyat Disember lalu, sebanyak 1,069 projek RMK-9 Persekutuan telah dan sedang dilaksanakan di Pulau Pinang dengan siling peruntukan sebanyak RM7.536 bilion.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 527 projek atau 49.30 peratus berjaya disiapkan dan selebihnya berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan jadi saya berharap beliau menunaikan janjinya,” katanya


--
Posted By zul mamak png to N37 Batu Maung at 12/26/2009 01:16:00 AM

No comments:

Post a Comment