Sunday, October 17, 2010

Jangan pertikai isu sah Sultan Kelantan

Setelah sekian lama berdiam diri, Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya bersuara juga tentang persoalan pemasyhuran Sultan Muhammad Ke-V sebagai Sultan Kelantan yang baru.

Malangnya, kenyataan beliau di dalam akhbar Utusan Malaysia pada 15 Oktober 2010 bertajuk “minta istana, kerajaan negeri beri penjelasan elak kekeliruan” itu bernada agak sumbang.
Apa yang disebut oleh beliau di dalam akhbar itu juga tidak mencerminkan taraf yang sepatutnya dipunyai oleh beliau selaku seorang kerabat kanan dan selaku seorang statesman tersohor.
Di dalam kenyataannya itu, beliau menyatakan bahawa:
1. Beliau secara peribadi tidak mempunyai halangan ke atas pemasyhuran itu sekiranya ia dibuat dengan betul atau, lebih tepat lagi, “kalau ia (dibuat) ikut perlembagaan negeri”.
2. Beliau meminta Istana Kelantan memberi penjelasan kepada rakyat untuk memulihkan kekeliruan yang timbul dan untuk memperbaiki imej institusi Istana Kelantan.
Selaku seorang kerabat kanan dan selaku seorang statesman tersohor, beliau sepatutnya mampu untuk membuat dan mengemukakan satu pendirian yang tegas ke atas perkara ini.
Berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang telah dibekalkan kepada semua pihak, beliau sepatutnya mampu untuk memutuskan sama ada pemasyhuran itu sah atau tidak.
Beliau tidak sepatutnya membiarkan diri beliau seolah-olah berada di awang-awangan, ke sana pun tidak dan ke sini pun tidak, dengan berselindung di sebalik ungkapan “kalau”.
Selaku Ahli Majlis Perajaan Negeri, beliau juga sepatutnya bersikap lebih gentleman dengan menyuarakan pandangan beliau ke atas perkara ini di dalam mesyuarat majlis itu.
Seandainya beliau hadir di dalam mesyuarat Majlis Perajaan Negeri pada 13 September 2010 tentulah beliau akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai perkara ini.
Malangnya, beliau memilih untuk tidak hadir tanpa memberikan sebarang sebab yang munasabah di dalam mesyuarat Majlis Perajaan Negeri pada 13 September 2010 itu.
Untuk makluman beliau, penjelasan secukupnya telah diberikan kepada rakyat mengenai pemasyhuran ini dan, alhamdulillah, penerimaan mereka ke atasnya adalah amat baik.
Oleh itu, tidaklah berbangkit lagi soal wujudnya kekeliruan mengenai perkara ini walaupun masih ada segelintir pihak yang cuba menimbulkan kekeliruan untuk maksud tertentu.
Pejabat Sultan Kelantan telah menganjurkan beberapa siri majlis penerangan mengenai perkara ini kepada para pemimpin dan pegawai kerajaan, penggawa, penghulu dan imam.
Majlis-majlis penerangan yang dibuat di Istana Balai Besar ini di antara lainnya telah dilangsungkan pada 12 Januari 2010 serta pada 8 dan 26 September 2010.
Di dalam majlis-majlis itu, penjelasan panjang lebar mengenai perkara ini, khususnya yang melibatkan perlembagaan negeri, telah dibuat oleh Dato’ Sukri Haji Mohamed.
Dato’ Sukri Haji Mohamed, selain seorang pakar perundangan, adalah juga Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan merangkap penasihat kepada Istana Kelantan sejak sekian lama.
Penjelasan juga turut dibuat melalui sidang-sidang media sama ada oleh Dato’ Sukri Haji Mohamed sendiri, oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Aiseri Mohamad, atau oleh Pengelola Istana Diraja, Dato’ Abdul Halim Haji Hamad.
Sidang-sidang media yang dibuat di Istana Balai Besar, Istana Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini di antara lainnya telah dilangsungkan pada 13, 14, 15 dan 22 September 2010.
Untuk mendapat jangkauan yang lebih luas dan di dalam kadar yang lebih cepat, penjelasan secara separa rasmi juga turut dibuat dari semasa ke semasa di dalam blog ini.
Apa pun, pihak kami merasa amat terharu di atas sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan ke atas pemasyhuran ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada para pemimpin dari parti-parti politik, khususnya PAS dan UMNO, malah yang tidak berparti pun, yang telah bersatu hati menerimanya.
Begitu juga dengan pakar-pakar perundangan dari dunia akademik seperti Profesor Dr Abdul Aziz Bari atau dunia guaman seperti Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.
Terutama sekali adalah kepada Majlis Raja-Raja Melayu yang, melalui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah memperakui keabsahan Sultan Muhammad Ke-V.
Adalah diharapkan bahawa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, itu menamatkan segala kekeliruan yang masih ada pada mana-mana pihak mengenai perkara ini.
Jika ini belum mencukupi maka Pejabat Sultan Kelantan, di atas permintaan, sedia mengadakan majlis penjelasan khas kepada mana-mana pihak yang masih di dalam kekeliruan.
Akhirnya, walaupun perkara ini telah dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah itu juga tentulah akan mengasaskan segala keputusannya kepada Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan perkara ini, sukalah kami mengemukakan di sini Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan (Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri) yang berbunyi:
(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.
Versi bahasa Inggerisnya:
71. Federal guarantee of State Constitutions
(1) The Federation shall guarantee the right of a Ruler of a State to succeed and to hold, enjoy and exercise the constitutional rights and privileges of Ruler of that State in accordance with the Constitution of that State; but any dispute as to the title to the succession as Ruler of any State shall be determined solely by such authorities and in such manner as may be provided by the Constitution of that State.

No comments:

Post a Comment