Tuesday, October 19, 2010

Kegagalan membentangkan Belanjawan Alternatif mencetekkan "Political Discource"

Konsensus Bebas mengambil maklum ucapan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim semasa perbahasan Belanjawan 2011 di Parlimen pada 18 Oktober 2010.  Kritikan beliau mengenai projek-projek mega sedikit sebanyak konsisten dengan Pendirian Bersama Konsensus Bebas yang telah disiarkan pada 16 Oktober 2010.
Walau bagaimanapun, Konsensus Bebas berasa kesal Ketua Pembangkang tidak membuat penilaian menyeluruh bagi Belanjawan 2011, tetapi hanya sekadar mengupas beberapa perkara tertentu untuk menaikkan profil politiknya yang semakin tenggelam.
Konsensus Bebas menyarankan kepada semua pihak samada pemerintah, Bebas dan pembangkang hendaklah bersifat konstruktif dalam mendebatkan Belanjawan 2011 untuk memakmurkan rakyat dan memajukan negara dan bukan hanya sekadar kritikan kosong tanpa mengajukan cadangan yang lebih baik.
Konsensus Bebas juga kecewa Pakatan Rakyat tidak membentangkan Belanjawan Alternatif seperti yang lazimnya dibuat pada tahun-tahun lepas.  Kegagalan Pakatan Rakyat berbuat demikian menafikan peluang untuk rakyat membuat perbandingan dan penilaian, sekaligus mencetekkan "political discourse" Belanjawan 2011 dan merencatkan kemajuan sistem demokrasi di negara ini.
Justeru, kegagalan untuk membentangkan Belanjawan Alternatif mencerminkan kehilangan komitmen Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan, apatah lagi senarai kabinet bayangan juga gagal dibentangkan.  Oleh yang demikian, keupayaan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara boleh dipersoalkan oleh rakyat.  Pakatan Rakyat hanya dilihat selesa untuk terus berperanan sebagai barisan pembangkang.
*Kenyataan media oleh Konsensus Bebas, yang terdiri daripada Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru), Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai).

No comments:

Post a Comment