Wednesday, December 1, 2010

Gaps serah Agong, Sultan Jumaat memo bantah Selangor seleweng


SHAH ALAM, 1 Dis — Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) akan menyerahkan memorandum bantahan mengenai 30 penyelewengan kerajaan PKR Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusi Gaps Hamizun Khairuddin berkata kira-kira 2,000 orang akan menyertai perarakan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan yang dijadualkan, Jumaat ini.
“Memorandum yang sama juga akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong (gambar) pada Ahad ini selepas siri perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung di ibu negara iaitu di sekitar Masjid Jamek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Gaps merupakan gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Selangor, Perkasa Selangor dan persatuan-persatuan dari kaum Cina dan India di negeri itu yang ditubuhkan sejak dua bulan lepas.
Hamizun berkata memorandum itu menyenaraikan 30 penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Selangor termasuk isu pembaziran wang rakyat membeli hutang syarikat korporat Talam Corporation, merampas tanah hak rakyat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), salah guna wang oleh Yayasan Selangor dan kegagalan menguruskan bekalan air di negeri itu.
Beliau berkata memorandum berkenaan juga akan disertakan dengan dokumen dan bukti bertujuan mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor supaya nasib rakyat di negeri ini tidak terus ditindas dan dirampas oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Berkenaan isu Ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hamizun berkata kenyataan itu disifatkan sebagai kenyataan yang tidak dikehendaki oleh pemimpin politik.
“Kenyataan itu tidak perlu dikeluarkan memandangkan rakyat di negara ini telah hidup aman dan makmur sejak dahulu lagi jadi kita tidak perlu sesiapa untuk mengganggu keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, Belia 4B Selangor mengadakan demonstrasi memprotes kenyataan Presiden PKR Datuk Seri wan Azizah PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana mempertikai konsep ketuanan Melayu dalam ucapannya di Kongres Tahunan Ketujuh parti itu di Petaling Jaya Sabtu lepas.
Naib Pengerusinya Norazlisham Mohd Ramli berkata isu berkenaan tidak perlu dibangkitkan kerana ia sensitif dan menghina agama dan bangsa.
Lebih 30 orang menyertai demonstrasi selama 10 minit di depan Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seskyen 7 di sini dengan beberapa sepanduk tertulis “Anwar Balik Kampung Buat Kerja Sendiri” dan “Parti Anak Beranak: Wan Azizah Jangan Main Api”.

No comments:

Post a Comment