Thursday, December 30, 2010

Hormati Hak Perwakilan MTUC- Abdullah Sani

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, menerima dengan terbuka keputusan pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam.
Beliau berkata, kekalahan ini bukan bermaksud terhentinya segala perjuangan malah, prinsip memartabatkan hak pekerja masih utuh.
Laporan akhbar arus perdana hari ini melabel pemilihan kali ini telah berjaya menyingkirkan pengaruh Parti Keadilan Rakyat(PKR) apabila penyandang jawatan presiden Syed Shahir Syed Mahamod tewas kepada Khalid Atan.
"Bagi saya ini peralihan perubahan dikehendaki perwakilan dan mereka berhak menentukan dan tak boleh dipertikaikan. Bagi saya hak itu tidak boleh dipertikaikan, tetapi saya lihat ini bukan perubahan. Jadi terpulanglah.
"Kita tidak akan berkompromi jika kerajaan cuba menarik hak mereka dan cuba mendiskriminasikan pekerja dan membuat bantahan secara berterusan. Itu prinsip kita," jelasnya.
Beliau menolak dakwaan yang menyatakan beliau tidak diterima di dalam kesatuan pekerja. 
Ini kerana tegas beliau, perwakilan merupakan dari kelompok yang diwakili kesatuan mereka sendiri dan dari 100 peratus pekerja dalam negara ini hanya diwakili 8 peratus.
"Tidak benar jika ia menyatakan bahawa ia mewakili suara keseluruhan pekerja. Tidak, saya tidak nampak ini menjadi masalah untuk memartabatkan pekerja. Tidak betul kalau katakan saya atau Syed Shahir tewas, masih ada banyak ahli parti dalam jawatankuasa," jelasnya.
Pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC yang berlangsung semalam menyaksikan kemenangan Khalid Atan sebagai Presiden dengan undi 255 undi mengalahkan Syed Shahir Syed Mohamod yang hanya meraih 213 undi.
Bagi jawatan timbalan presiden Mohd Jaafar Majid menang 170 undi kalahkan dua calon, P Maniam 157 dan Abd Razak Mohd Hassan 140 undi.
Manakala jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Abd Halim Mansor dengan undi 188 undi mengalahkan J Solomon 117 undi dan Abdullah Sani Abdul Hamid 165 undi.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau singkatannya MTUC merupakan satu kongres persatuan-persatuan perniagaan di Malaysia. 
Kongres ini asalnya ditubuhkan pada 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan, 1955. Ia merupakan pusat kesatuan kebangsaan yang tertua mewakili pekerja-pekerja Malaysia.
Kesatuan yang bergabung dengan MTUC berasal dari semua industri dan sektor utama dengan anggaran 500,000 ahli.

No comments:

Post a Comment