Wednesday, December 29, 2010

Isu menteri rogol amah Indonesia ‘hangatkan’ ketegangan Piala Suzuki

Ketegangan hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia bukan sekadar berlaku dalam persaingan di padang bola sepak semata-mata, sebaliknya turut berlangsung di luar perebutan Piala Suzuki AFF itu.
Ia berikutan menteri yang didakwa merogol amah warga Indonesia itu terlepas dari tindakan perundangan – situasi tidak menyelebahi Indonesia yang turut ketinggalan agregat 0-3 dalam perebutan piala keagungan bola sepak serantau.
“Kita tidak mahu isu ini akan menjadi satu lagi ‘bom’ yang akan merenggangkan kedua-dua negara.
“Dalam situasi bola sepak pun, hubungan kedua-dua negara sedikit terganggu. Inikan pula kes rogol melibatkan menteri Malaysia,” kata Timbalan Pengerusi Biro Latihan dan Pengantarabangsaan KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Wong.
Kekalahan pasukan bola sepak Indonesia baru-baru ini menimbulkan pergeseran hubungan dua hala berikutan dakwaan penggunaan pancaran laser, menyebabkan penyokong kedua-dua negara bertegang urat dan saling salah-menyalahi.
Pada masa hampir sama, WikiLeaks membuat pendedahan seorang menteri Malaysia merogol seorang amah atau pembantu rumah warga Indonesia tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Sedangkan, beberapa dokumen berkaitan dakwaan kejadian rogol itu termasuk kenyataan media sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia pula tersebar di rangkaian internet.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Dr Tan meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tampil membuat kenyataan kerana ia melibatkan hak wanita dan mendesak polis membuat siasatan terperinci.
“Menteri yang didakwa terlibat itu pula masih berada dalam Kabinet. Ini melibatkan kredibiliti kerajaan dan kepimpinan negara,” katanya yang turut menggesa menteri berkenaan segera membuat penafian berfakta jika dakwaan itu tidak benar.
Beliau juga mengingatkan semua pihak betapa pendedahan WikiLeaks yang diterima pakai kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menyerang keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa mendapat perhatian dunia, sekali gus boleh merosakkan imej negara.
“Menteri itu perlu tampil memberi penjelasan. Jika tidak katakan tidak. Mudah sahaja dan jika ya, kita mendesak beliau segera berundur sebelum imej Malaysia terjejas seterusnya merenggangkan hubungan Malaysia-Indonesia,” katanya.

No comments:

Post a Comment