Wednesday, December 29, 2010

Ronnie: Logo '1Malaysia' Kekal Haram di Selangor


Kerajaan Pakatan Selangor tidak membekukan arahan agar logo '1Malaysia' dipaparkan di papan iklan dan arahan tersebut masih berkuatkuasa, ujar Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

Katanya, beliau hanya mengarahkan agar tidak menurunkan papan iklan tersebut sehingga mesyuarat Exco seterusnya, bukan seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini bahawa arahan tersebut telah dibekukan.

Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri hanya membenarkan papan iklan politik sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menggangapnya sebagai propoganda politik.

"Mereka masih tidak boleh meletakkan papan iklan tanpa permit," kata beliau, seperti dilaporkan dalam The Malaysian Insider hari ini.

Katanya lagi, sekiranya PBT merasakan sesuatu papan iklan itu berunsurkan politik maka PBT tersebut boleh menolak pemberian permit.

Sebelum ini, bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Ronnie sebagai 'tidak berpendidikan' dan menyatakan undang-undang negeri Selangor membenarkan premis perniagaan untuk menayangkan logo berunsurkan politik.

Khir Toyo juga menekankan bahawa halangan menaikkan papan iklan berunsurkan politik hanya tertakluk kepada kawasan dibawah bidang kuasa PBT seperti lampu jalan dan jalanraya.

Ronie bagaimanapun menyatakan undang-undang kerajaan negeri membenarkan parti politik menaikkan kain rentang dan papan iklan semasa mengadakan majlis keramaian berunsurkan politik.

"Kita membenarkan parti politik mengadakan ceramah dan menaikkan kain rentang. Apa yang kita cuba sampaikan ialah papan iklan dan papan tanda tidak boleh digunakan untuk propoganda politik," tegas beliau.

Ronnie menyifatkan logo 1Malaysia sebagai mesej politik Barisan Nasional (BN) kerana logo tersebut selalu digunapakai bersama simbol BN dan mendakwa Khir Toyo tidak faham undang-undang kerajaan negeri.

"Khir Toyo tidak tahu maka lebih baik sekiranya beliau mendiamkan diri," kata beliau.

Beliau juga menyangkal dakwaan Khir Toyo bahawa arahan menghalang logo '1Malaysia' dipamerkan adalah satu langkah bersifat politik oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

"Ini bukanlah kerana PR mahu mencari kesalahan pada BN. Halangan ini termaktub dalam kesemua 154 PBT di negara ini, bukan sahaja di Selangor," jelas Ronnie lagi.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada menyatakan '1Malaysia' adalah satu 'alat' untuk menggalakkan perpaduan antara kaum tetapi Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri jelas menghalang apa-apa bentuk iklan yang berunsurkan politik.

"Di bawah Klausa 17, ada senarai bentuk pengiklanan yang tidak dibenarkan dan salah satunya adalah pengiklanan berunsurkan politik," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment