Saturday, December 25, 2010

Ketuanan Katak : Ibrahim Ali tidak layak desak Nik Aziz letak jawatan

Dewan Pemuda Pas negeri kesal dengan tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan.
Ketuanya, Abdul Latiff Ab. Rahman berkata, Ibrahim sendiri menghadapi masalah kesihatan dan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan jantung biarpun usianya lebih muda daripada Nik Abdul Aziz.
Malah, beliau turut menyifatkan Ibrahim sengaja mahu mencari publisiti selepas sekian lama terlantar kerana pembedahan tersebut.
"Pada pandangan saya, kenapa dia tidak letak jawatan kerana dia sendiri tidak sihat. Sakit mati bukan kerja manusia, itu kerja Allah. Jadi kalau nak suruh orang letak jawatan sebab kesihatan, itu tidak betul kerana itu kerja Allah.
"Kedua, dari sudut kerja kerajaan, boleh sebut apa yang kerja yang terbantut, semuanya berjalan lancar biarpun Nik Abdul Aziz sakit kerana Exco kita sepakat dari dulu lagi. Jadi tidak ada sebab untuk letak jawatan kerana semua kerja itu berjalan dengan lancar," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan Perkasa yang mahu Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana masalah kesihatan.
Ibrahim juga dilaporkan meminta supaya satu badan khas ditubuhkan untuk menyiasat tahap kesihatan Mursyidul Am Pas itu sama ada beliau masih layak menjalankan tugas atau sebaliknya.
Nik Abdul Aziz sebelum ini dikatakan berjanji meletakkan jawatan sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbuat demikian tetapi tidak mengotakannya dan memberi alasan akan melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya diminta oleh ahli Pas.
Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang berkata, ahli Pas di negeri ini masih memerlukan buah fikiran Nik Abdul Aziz untuk terus mentadbir.
"Dari sudut kepemimpinan parti di negeri ini, kita masih memerlukan beliau untuk terus mentadbir dan kita di peringkat jentera parti juga tidak menghadapi masalah walaupun kadang kala beliau uzur," ujarnya.

No comments:

Post a Comment