Tuesday, December 28, 2010

Pemimpin dan ahli MTUC digesa bersatu

syedshahrir Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud menggesa pemimpin dan ahli bersatu dalam satu gerakan yang besar dan kukuh dalam menghadapi isu besar membabitkan pekerja.
Berucap dalam mesyuarat perwakilan MTUC hari ini, beliau juga menegaskan gabungan pekerja terbesar itu tidak memerlukan pujian dari mana-mana pihak.

“Tidak penting supaya kita dipuji oleh orang lain, baik oleh majikan, parti politik atau sesiapa sahaja.
“(Tetapi) yang penting kita mendapat pujian dari pekerja sendiri yang bertungkus lumus mendapatkan gaji dan saraan yang adil dan saksama dalam memastikan kebahagiaan keluarga masing-masing,” katanya.
Lebih 500 perwakilan menghadiri mesyuarat perwakilan selama dua hari mulai hari ini.
Syed Shahir yang menjadi presiden MTUC sejak pemilihan 2004 dicabar oleh Mohd Khalid Atan. Keputusan semua jawatan akan diumumkan pada petang esok.
Menurutnya, perjuangan MTUC membela pekerja tidak pernah terhenti walaupun beberapa kejayaan telah diperolehi.
Pintu rundingan
Beliau juga menegaskan pintu rundingan antara majikan dan kerajaan dengan MTUC sentiasa terbuka.
“Tetapi rundingan hendaklah dibuat secara adil tanpa mengenepikan hak dan tuntutan pekerja. Kami sedia berunding dengan majikan dan kerajaan asalkan kesatuan sekerja diiktiraf hak dan dihormati selayaknya,” katanya,
Syed Shahir menambah, kini bukan masa untuk mana-mana pemimpin MTUC mencari keselesaan.
Sebaliknya, mereka perlu bersedia berjuang bersama-sama kesatuan dan pekerja. Dalam masa yang sama katanya, pemimpin MTUC perlu memberi perhatian serius dalam usaha menjadikan gabungan pekerja itu terus relevan.
MTUC adalah kubu yang sentiasa bersama mempertahan dan membela hak, kedudukan dan kepentingan pekerja tanpa mengira risiko.

No comments:

Post a Comment