Sunday, December 19, 2010

PR Janji Pertahan Subsidi Rakyat, Hapuskan Tol, Rasuah dan Kronisme


Tender terbuka untuk projek awam, pertahan subsidi rakyat, hapuskan pemberian kontrak kepada kroni, tidak ada lagi tol lebuhraya, sediakan rumah selesa yang rakyat mampu beli – itu intipati pelan tindakan ekonomi Pakatan Rakyat jika berjaya menawan Putrajaya.

Pelan itu menjurus kepada membanteras pembaziran dan keborosan, khususnya  memansuhkan amalan memberi keistimewaan kepada kroni kerajaan, kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, mengenai rancangan ekonomi yang dipersetujui bersama oleh Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP.

Ketika membentangkannya pada Konvensyen PR, beliau berkata  pelan tindakan itu berpaksi kepada melindungi kepentingan rakyat melalui pengagihan kekayaan yang adil, serta meningkatkan daya ekonomi mereka.

Beliau berkata kronisma yang mewarnai pentadbiran Umno-BN telah menghakis daya saing ekonomi negara,

Justeru Pakatan Rakyat mahu merombak sistem subsidi negara, dengan mensasarkan golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan dan bukan syarikat-syarikat yang disuapkan dengan kontrak-kontrak mewah. 

"Kita bercadang untuk mengkaji semula subsidi gas yang diberikan kepada penjana tenaga bebas, yang menguntungkan syarikat-syarikat terpilih dan membebankan Petronas," kata Anthony.

"Pakatan Rakyat akan mempertahankan hak rakyat yang lebih berhak untuk mendapat bantuan kerajaan seperti subsidi minyak dan subsidi barangan keperluan asas," tambah beliau.

Beliau menegaskan iltizam gagasan pembangkang itu melancarkan perang besar-besaran terhadap rasuah dan pembaziran di setiap lapisan kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diletakkan dibawah Parlimen, manakala sistem tender terbuka akan menjadi amalan standard di setiap susun-lapis kerajaan.

"Pakatan Rakyat akan bertindak keatas kes-kes membabitkan kepentingan rakyat seperti penyelewengan saham bumiputera bernilai RM52 juta ringgit," kata Anthony.

Saham berkenaan diperuntukan kepada bumiputera sejak tahun 70an tetapi dibolot oleh segelintir kroni Umno-BN dan menghakis pegangan ekuti bumiputera dalam ekonomi Negara.

Pakatan juga bertekad meningkatkan pendapatan rakyat melalui penstrukturan semula empat bidang prasarana iaitu air, elektrik, lebuhraya dan jaringan internet jalurlebar.

"Antara yang dicadangkan adalah menghapuskan tol lebuhraya, memperkenalkan wi-fi percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar di seluruh negara, dan menjamin tidak akan ada penswastaan sektor kesihatan," kata Anthony.

Gagasan itu juga bercadang mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara untuk menyelaras dan mengurus-tadir skim perumahan nasional yang membolehkan rakyat Malaysia menduduki rumah selesa dengan mudah.

"Selain itu, Pakatan Rakyat bercadang meningkatkan lagi skim mikrokredit untuk golongan termiskin, bagi melonjakkan kedudukan ekonomi mereka," kata Anthony.

"Program ini telah dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Bayangkan sekiranya kita mentadbir Putrajaya, lebih banyak wang ringgit dapat digunakan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia," tambahnya

No comments:

Post a Comment