Saturday, January 8, 2011

‘Bersihkan nama anak saya’

Nor Hafizah Mad Razali, ibu kepada remaja 15 tahun yang ditembak mati mahu membersihkan nama anaknya yang dilabel polis sebagai penjenayah.
Beliau berkata, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei  bukan seorang penjenayah tetapi anak yang baik dan mahu menuntut keadilan terhadap anak sulungnya itu.
“Saya mahu nama anak saya dibersihkan. Beri keadilan kepada Syamil” katanya yang mengadakan sidang media di pintu Bukit Aman pada 9 Januari lalu.
Sebaik menyebut nama Syamil, sidang media itu terpaksa dihentikan kerana beliau tidak dapat menahan sebak.
Suaminya, Shapiei Zainal Abidin dan peguam Lawyer for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri, terpaksa mententeramkannya.
Pada sidang media sama, Fadiah berkata, LFL dan keluarga mangsa kesal kerana polis gagal memaklumkan status kes yang hampir dua bulan berlaku.
“Kami kesal dengan sikap sambil lewa polis yang tidak tahu status siasatan hingga kita terpaksa datang ke Bukit Aman untuk penjelasan tapi gagal,” katanya.
Terdahulu, peguam LFL yang juga Naib Presiden KEADILAN, N Surendran bertelagah dengan anggota polis berikutan mereka dihalang memasuki Bukit Aman untuk menyerahkan memorandum berkaitan kes itu.
Turut serta ialah dua Ahli Parlimen KEADILAN, Sivarasa Rasiah dan Nurul Izzah Anwar serta kira-kira 20 ahli keluarga tiga mangsa yang ditembak mati itu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, usul berkaitan Syamil yang dibawanya ke Parlimen sebelum akan diteruskan Nurul Izzah Anwar walaupun ditolak beliau digantung dewan.
Berikut ialah enam tuntutan LFL kepada polis.
1. Segera menyiasat kes tembak mati melibatkan Muhammad Syamil Hafiz Shafie, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20 dan Mohd Hanafi Omar yang ditembak mati oleh polis di Glenmarie, Shah Alam pada 13 November lalu.
2. Mendakwa dan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai polis yang terlibat menembak mati ketiga-tiga remaja tersebut serta jenayah lain yang dilakukan pihak kuasa itu.
3. Menghentikan tindakan polis yang melepaskan tembakan sesuka hati.
4. Mendedahkan kepada umum berhubung IGSO atau arahan tetap kepada pegawai polis berkaitan prosedur melepaskan tembakan.
5. Menyokong dan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Menyiasat Salah Laku Polis (IPCMC)
6. Menyokong dan mengadakan program latihan berhubung Hak Asasi Manusia kepada polis

No comments:

Post a Comment