Saturday, January 22, 2011

Wanita Pakatan perkasa rakyat di Tenang

LABIS, 22 Jan - "Perhimpunan hari ini bertujuan untuk menghimpunkan seluruh petugas ketiga-tiga parti dalam usaha menyatukan petugas dan pimpinan Pakatan Rakyat dalam menentang calon BN pada pilihanraya Dun Tenang kali ini."
Dr Mariah Mahmud, Pengarah Jentera Wanita Pakatan Rakyat berucap demikian sempena Himpunan dan Pelancaran Jentera Wanita Pakatan Rakyat Tenang petang semalam.
Beliau menyifatkan Dun Tenang sebagai titik mula penglibatan wanita Pakatan Rakyat secara serius dalam pilihanraya dan seterusnya memenangi kerusi DUN mewakili wanita pertama di Johor.
"Walaupun Pilihanraya Kecil Dun Tenang ini merupakan pilihanraya kecil kali ke-14 selepas PRU 2008, pilihanraya kali ini benar-benar membawa wanita Pakatan Rakyat ke lapangan politik sebenar.
Katanya, peluang yang diberi itu dilihat lebih mengeratkan hubungan pimpinan dan petugas. Malah ianya salah satu cara memperkasa Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU akan datang.
"Kemenangan yang kita sasarkan tidak semestinya merupakan kemenangan mutlak buat calon PR iaitu Cikgu Mala,
"Lihat himpunan ini sebagai jalan rintis yang diharapkan dapat menembusi benteng tebal antara kita dengan pengundi," tambahnya.
Kajian yang dijalankan mendapati sebanyak 70 peratus daripada pengundi di kawasan ini masih belum mengundi calon Pakatan Rakyat dalam piliharaya umum yang lalu. Ini berpunca dari dipengaruhi sumber maklumat arus perdana yang kebanyakannya diracuni oleh BN.
Justeru itu katanya, petugas perlu berani dan bersikap kreatif semasa berhadapan dengan pengundi bagi meyakinkan mereka memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat, Normala Sudirman.

No comments:

Post a Comment