Monday, February 28, 2011

Prk Kerdau : Calon PAS Kerdau muda, wibawa dan berintegriti


KERDAU: Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengisytiharkan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau.

Ia diumumkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz di hadapan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat di Markas Induk PAS Kerdau, dekat sini pada 24 Februari lalu.

Turut hadir dalam perisytiharan itu, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Ke-ADILan, Fuziah Salleh; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu; Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Phang Chow serta Pengerusi KeADILan Pahang, Dato Fauzi Rahman.

Pencalonan Hasanuddin yang juga bekas calon PAS di Dun tersebut pada PRU 2008 tepat dengan kehendak massa, kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana calon PAS itu seorang calon muda yang sangat wibawa.

Beliau memiliki Diploma Ukur dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dan dilahirkan dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang dalam Daerah Temerloh, serta mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.
Berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas. Hasanuddin juga mempunyai pengalaman luas dalam industri dan ukur selama 15 tahun serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Mengulas pemilihan Hasanuddin, Pengarah Jentera Pilihan Raya Dun Kerdau, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, calon PAS itu mempunyai hubungan rapat dengan penduduk di Kerdau.

“Beliau sangat dikenali di Dun Kerdau. Saya yakin pengundi akan memberi kepercayaan memilihnya sebagai wakil rakyat,” katanya semasa mengadakan sidang media sejurus selepas perisytiharan calon dibuat.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata, PAS sentiasa menampilkan calon yang berwibawa dan bersih, namun parti itu tetap waspada dengan fitnah terhadap calon yang bakal dimainkan Umno-BN.

Beliau berharap proses pilihan raya akan berjalan dengan baik tanpa sebarang unsur provokasi daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, bercakap mewakili KeADILan, Azmin Ali menyifatkan calon PAS memiliki integriti dan kewibawaan yang mampu menterjemahkan hasrat penduduk Kerdau khasnya dan Pahang amnya.

KeADILan menyokong penuh pencalonan Hasanuddin, dan berjanji akan membantu menjayakan kempen bagi memenangkan calon PAS itu, katanya.

Dr Tan Seng Giaw ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada Hasanuddin yang dipilih PAS dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk mewakili gabungan pembangkang di sini. Apa yang pasti katanya, pencalonan Hasanuddin bertepatan dengan hasrat seluruh pengundi Kerdau yang mahukan calon seorang yang muda, berwibawa dan mampu mengutarakan suara pengundi Kerdau.

“DAP akan menurunkan seluruh jentera untuk bantu calon PAS di sini. Kita akan tumpukan kepada pengundi bukan Islam di sini yang peratusannya tidaklah besar, tetapi mampu menyumbang kepada kemenangan,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dato’ Zaharudin Abu Kassim.

Proses penamaan calon PRK Kerdau akan diadakan pada 26 Februari, sementara pembuangan undi pada 6 Mac.

Dalam PRU 2008, Hasanuddin mewakili PAS di sini, tetapi tewas kepada calon BN dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi. Walaupun tewas, Hasanuddin berjaya merapatkan jurang majoriti yang sebelum ini.

No comments:

Post a Comment