Monday, February 28, 2011

Prk Merlimau : Ali Rustam Tiru Gaya Najib Di Sibu


Kerajaan Barisan Nasional di Melaka dianggap sebagai hipokrit apabila meletakkan syarat kepada rakyat supaya mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya kecil Merlimau, jika mahu bantuan disalurkan kepada mereka.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada penyokong BN dalam memberikan apa jua bentuk bantuan.
"Melihatkan bahawa beliau (Ali Rustam) tidak memahami makna kerajaan dan dalam masa yang sama ini kenyataan yang bersifat hipokrit atau hipokrasi kerana di dalam masa yang sama masih lagi menggunakan slogan rakyat didahulukan tetapi meletakkan pula syarat dalam PRK Merlimau ini, sekiranya BN menang barulah mereka akan membantu rakyat,"katanya.

Menurut beliau, strategi yang digunapakai oleh Ali itu pernah dipraktikkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu meraih undi pada pilihanraya kecil Sibu tahun lalu.

Namun ujarnya, kenyataan itu akan digunakan sebagai pendekatan kepada PAS untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Merlimau. 

"Kenyataan yang penuh kebebalan ini menunjukkan bahawa mereka sudah terdesak dan menggunakan pendekatan seperti di Sibu di mana Perdana Menteri telah menyatakan "I'm help you, you help me" dan Ali Rustam pula menggunakan pendekatan seperti itu, saya kira akan memberi kelebihan kepada Parti PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Merlimau," tambah beliau.

Katanya lagi, diskriminasi yang ditunjukkan kerajaan Umno-BN ini jelas menujukkan slogan yang dibawa tidak selari dengan apa yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat, di mana kebajikan rakyat hanya diberi perhatian menjelang pilihanraya atau pun apabila BN menang di kawasan terbabit. 

"Kalau dahulu mereka popularkan slogan Rakyat Didahulukan tetapi dengan kenyataan Ali Rustam ini menunjukkan bahawa sebenarnya slogan itu hanyalah retorik politik yang bertujuan untuk memancing undi tapi tidak diamalkan malah dinyatakan dengan jelas secara terperinci bahawa rakyat hanya akan didahulukan sekiranya BN memenangi pilihanraya,"ujar beliau.

Malam semalam, Ali dalam ceramahnya berkata, beliau tidak mungkin dapat bekerja keras jika penduduk mengundi calon PAS, Yuhaizad Abdullah pada pilihan raya kecil Merlimau, 6 Mac ini.

Tambah Ali lagi, kerajaan negeri pimpinannya akan terus memberi keutamaan bantuan jika rakyat terus memberi sokongan kepada BN.
                         
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 orang di Kampung Lipat Kajang, Merlimau.

No comments:

Post a Comment