Friday, November 25, 2011

RUU Perhimpunan Aman Tambah Kuasa Polis


KUALA LUMPUR, 25 Nov: Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentang kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam didakwa bukan memberi kebebasan berhimpun untuk rakyat tetapi menambah kuasa polis.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional AMK di Johor, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata undang-undang baru itu hanya bersifat kosmetik dan bakal membolehkan pihak polis lebih berkuasa untuk bertindak.

"Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 satu lagi taransformasi bersifat kosmetik yang kononnya menjanjikan hak rakyat untuk berhimpun tetapi sebenarnya hanya menambah kuasa pihak polis," katanya.

Beliau dipercayai mengulas kandungan rang undang-undang itu yang antara lain menyebut bahawa penganjur pehimpunan perlu memberi notis awal kepada pihak polis 30 hari sebelum himpunan diadakan.

Jika gagal, menurut Seksyen 9(5), polis dibenarkan mendenda penganjur sehingga RM10,000.

Selain itu, Seksyen 21(3) juga membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000 jika menyertai himpunan tanpa kebenaran pihak polis itu.

Dalam pada itu Shamsul turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat yang menyertai himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julali lalu.

Katanya, dengan himpunan itu para pemimpin BN menjadi gelisah sehingga perdana menteri terpaksa menjanjikan pelbagai perubahan termasuk proses pilihan raya dan pemansuhan undang-undang drakonian.

Bagaimanapun katanya, janji itu hanya bersifat kosmetik sebagai meredakan kemarahan rakyat yang bangkit menyatakan bantahan.

"Perdana menteri bukan sahaja memberi janji kosong, malah berbohong, undang-undang zalim ISA masih digunakan meskipun telah dijanji akan dimansuhkan," jelasnya merujuk kepada 13 orang yang terbaru ditahan di bawah ISA di Sabah baru-baru ini.

 Sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment