Monday, October 27, 2014

Najib tiada idea tingkat pendapatan negara, patut jadikan Malaysia hub minyak mentah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal berfikiran inovatif bagi meningkatkan pendapatan negara kecuali dengan mengambil jalan mudah mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap rakyat.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila kerajaan dalam Belanjawan 2015 baru-baru ini mengurangkan perbelanjaan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan inovasi dalam pelbagai bidang yang berpotensi menambah pendapatan negara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata inilah menyebabkan beberapa negara seperti Korea Selatan dan Singapura yang pada suatu masa dahulu berada pada garisan sama kini sudah jauh meninggalkan Malaysia.
“Dahulu Korea Selatan menghantar satu pasukan untuk belajar dengan Felda tetapi selepas itu mereka balik dan melakukan inovasi memajukan pertanian mereka dan sekarang jauh meninggalkan kita.
“Begitu juga dengan sukan seperti bola sepak dulu kita bersaing dengan Korea Selatan juga sekarang kita ketinggalan,” kata Salahuddin.
Kata Salahuddin, Najib juga sepatutnya mengkaji untuk menjadikan Malaysia sebagai hub simpanan minyak mentah dunia.

Salahuddin menganggap langkah ini sangat praktikal dan boleh direalisasikan memandangkan Malaysia mempunyai persisir pantai panjang di Sarawak yang boleh dimanfaatkan dan situasi negara pengeluar minyak di Asia Barat sentiasa bergelora serta diancam peperangan.
Tambah Salahuddin, dengan menawarkan kepada Iran, Syria dan lain-lain negara pengeluar minyak Asia Barat menyimpan minyak mentah mereka di pesisir pantai Malaysia mampu mencetuskan ledakan positif ekonomi negara khasnya bagi penduduk di Sarawak.
“Sekurang-kurangnya saya pasti GST boleh ditangguhkan perlaksanaannya kerana kita mempunyai pendapatan tinggi dari sumber ini,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment