Sunday, November 16, 2014

Bertani: 2 hektar untuk belia di Selangor Fruits Valley

KUALA LUMPUR: Program Belia Tani antara usaha kolektif Kerajaan Negeri Selangor menarik anak muda tempatan terbabit secara serius dalam sektor pertanian selain meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan seterusnya memacu pembangunan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, program yang dalam proses perancangan itu dirangka rapi dalam memastikan setiap pesertanya memperoleh pendapatan lumayan, lapor Selangor Kini.

“Sudah tiba masanya, kita ubah persepsi lapuk masyarakat yang berpandangan sektor pertanian ini hanya untuk golongan berusia.

“Belia Tani bukan sahaja mengisi peranan anak muda dalam sektor ini, bahkan kita harapkan menjadi sumber pendapatan yang baik selain bekerja di sektor lain,” katanya kepada Selangor Kini selepas merasmikan Program Jelajah Tani di Dun Tanjung Sepat di Padang Sungai Kelambu, Banting hari ini.

Hadir sama AAdun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohamad Idrus Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa tapak pertanian untuk diusahakan belia dalam program itu.

“Antara tapak yang dikenalpasti setakat ini adalah Selangor Fruits Valley, yang mana di situ masih terdapat tanah untuk diusahakan. Belia yang berminat akan ditawarkan tapak seluas dua hektar untuk diusahakan.

 “Buat masa ini, belia yang berminat boleh merujuk terus ke pejabat saya dengan membawa kertas kerja untuk dipertimbangkan,” katanya yang juga Adun Tamab Templer.

Terdahulu, Zaidy dibawa melawat ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Kelambu bagi melihat projek pertanian nenas, sayuran dan tanaman kontan umbisi.

Beliau turut berkesempatan merasmikan kebun durian belanda yang diusahakan penduduk Kampung Sungai Lang Baru.

Untuk rekod, Jelajah Tani akan diadakan di tujuh Dewan Undangan Negeri (Dun) bermula di Tanjung Sepat dan berakhir di Dun Jeram, pada 14 Disember ini.

Program berteraskan pembangunan sektor pertanian itu bertujuan untuk mempromosikan program Selangor Agrofest 2014 yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Disember ini di Stadium Sungai Besar.

No comments:

Post a Comment