Sunday, November 16, 2014

Siasatan pampasan k’tangan Khalid diserah kepada MBI

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan audit pampasan membabitkan kakitangan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diserahkan kepada Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk tindakan lanjut.

Selangor Kini melaporkan, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, pihak audit terlebih dahulu membentangkan laporan audit berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan di luar bidang kuasa MMKN dan akan diserahkan kembali kepada pihak MBI.

Menurutnya, MMKN sudah dimaklumkan berkenaan hasil siasatan pihak audit dan akan dibentangkan dalam minggu ini untuk melihat langkah yang perlu diambil jika ada sebarang keputusan melanggar peraturan.

Beliau menambah, sama ada ganjaran atau pampasan itu akan ditarik juga akan dibincangkan.

“Hasil siasatan memang ada perkara tidak dipatuhi dalam pemberian itu dengan jumlah begitu besar dan luar biasa yang perlu disemak semula,” katanya selepas majlis perasmian program Gerak Gempur Aedes dengan tema ‘MB Terjah, Kampungku Meriah’ di Kampung Tengah, Gombak, hari ini.

Semalam, Khalid menjelaskan beliau mengikut prosedur sedia ada dalam pemberian pampasan kepada tujuh pembantunya ketika dalam pentadbiran termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Akhbar, Arfa’eza Abdul Aziz.

Katanya, keputusan itu dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MBI yang kemudiannya dimaklumkan kepada semua Exco Kerajaan Negeri sebelum ini dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment