Tuesday, November 23, 2010

Ekonomi Suram Beri Kesan Kepada Defisit Negara Dan ETP

Pertumbuhan ekonomi yang merudum pada suku ketiga tahun ini kepada 5.3 peratus dikhuatiri akan memburukan defisit negara dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri melaksanakan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) RM30 bilion.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkly Ahmad berkata ETP hanya boleh berjaya jika ada penyertaan besar-besaran sektor swasta, namun hakikat ialah rancangan itu akan banyak bergantung kepada duit rakyat.
"Beliau (Najib) menyebut sembilan projek besar di bawah ETP yang berjumlah RM30 bilion akan terus dilaksanakan. Saya terus-terang katakan RM30 bilion itu tidak ada...saya hitung-hitung, tolak projek 1MDB dan projek KLFID yang tinggal cuma RM2.36 bilion sahaja.
"Pertumbuhan akan dapat dipacu kalau ada pelaburan besar sama ada daripada pihak swasta atau kerajaan.
"Tetapi apa yang berlaku (sebenarnya) ia merupakan satu ekonomi yang dijana oleh perbelanjaan kerajaan," ujar beliau.
Dr Dzulkifly meramalkan suasana ekonomi negara akan menjadi lebih parah pada tahun hadapan dengan keadaan ekonomi pertengahan dan penghujung tahun depan dalam keadaan tidak menentu.
Beliau berkata penurunan pertumbuhan eksport negara dan permintaan global daripada Eropah dan Amerika Syarikat yang terus jatuh sejak empat bulan lalu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang suram.
Faktor lain ialah kenaikkan nilai matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) sehingga menyebabkan harga barang menjadi mahal dari sudut eksport sehingga menjejaskan sektor tersebut.
Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak berada di dalam keadaan tertekan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan laporan tersebut.
"Dalam tempoh empat bulan yang lalu, bermula sejak bulan Ogos sampai November, kita mendapati pertumbuhan eksport terus menurun.
""Ini bermakna bahawa permintaan global sudah mula mencengkam kerana sebagai negara perdagangan, kita mengharapkan permintaan daripada Eropah yang kini berdepan dengan 'zero zone' dan Amerika Syarikat yang sedang menghadapi kemelesetan.
"Sementara negara China pula tidak mahu berbelanja berbesar kerana ketidaktentuan yang berlaku di Eropah dan juga AS.
"Kesemua negara-negara maju ini cermat dan berhati-hati dalam perbelanjaan, lalu kesemua faktor ini menyebabkan permintaan global jatuh.
"Sebagai negara berdagang, kita bergantung kepada eksport. Sedikit waktu lagi, apa yang kita takuti import kita menjadi lebih besar daripada eksport yang akan mengakibatkan defisit dalam akaun semasa yang menyebabkan keadaan itu lebih parah," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment