Tuesday, November 23, 2010

Mungkin lebih seorang tembak Aminulrasyid, kata saksi

Pegawai Penyiasat Inspektor Mazli Yusof tidak menolak kemungkinan penembak sebenar remaja Aminulrasyid mungkin lebih seorang sekiranya proses siasatan forensik dilakukan pada hari kejadian iaitu 26 April lalu.
Pasukan forensik Mazli memulakan siasatan dua hari lewat iaitu pada 28 April, yang memungkinkan pasukannya tidak dapat mengenal pasti senario sebenar proses tembakan polis ke arah kereta yang dipandu Aminulrasyid dan saksi utama Azimuddin Omar.
“Kemungkinan daripada penemuan yang lain (kelongsong) yang dijumpai, kemungkinan dilepaskan (das tembakan) dalam sejajaran yang berbeza oleh individu berbeza.
“Disebabkan kelewatan mengutip barang kes mungkin tidak berada pada kedudukan asal... tak boleh mewajahkan kedudukan yang sebenar,” ujar Mazli.
Bagaimanapun, Mazli mempertahankan tindakan pasukannya atas alasan tidak mendapat arahan pegawai penyiasat ASP Abdul Halim.
Ujar Mazli lagi, pasukannya bukanlah ditugaskan untuk mengenal pasti penembak sebenar, tetapi hanya untuk membantu pegawai penyiasat mendapatkan gambaran signifikan berhubung insiden tersebut.
Selain Mazli, penjaga stor senjata balai polis Seksyen 6, Lans Koperal Madi Samsuddin turut memberi keterangan di kandang saksi berhubung pembekalan senjata kepada beberapa pegawai terbabit pada 25 April lalu.
Koperal Azhar dibekalkan senjata semi auto jenis Walter P99 beserta 30 butir peluru 9mm dan dua kelopak seperti yang direkod dalam buku daftar keluar masuk senjata.
Konstabel Idzham dibekalkan senjata SMGHKMP5 jenis A2 beserta 100 butir peluru 9mm, empat kelopak dan “pouch” kelopak.
Perbicaraan yang bermula sekitar 9.10 pagi tadi ditangguhkan pada sekitar 11.15 pagi kerana mahkamah bersetuju untuk membuat tinjauan di sepanjang lokasi insiden kematian Aminulrasyid sehingga 1.30 tengah hari tadi.
Hakim Latifah Mohd Tahar menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dusuki Mokhtar atas alasan untuk melengkapkan proses  soal jawab berkisar laporan forensik yang disediakan oleh pasukan Mazli.
Mazli dan Azamuddin memberikan penjelasan kepada Hakim Latifah Mohd Tahar serta pasukan peguam berwajib mengenai proses polis mengejar kereta Proton Iswara Eroback yang dipandu oleh Aminulrasyid sehingga terbabas di selekoh Jalan Mak Yong 11/2G, Syeksyen 11.

No comments:

Post a Comment