Saturday, January 15, 2011

Azan : Pelaburan KWSP Diluar Negara Undang Risiko Kepada Penyimpan

KEMAMAN 16 JAN : Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mendedahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggunakan dana simpanan sebanyak RM 75 Bilion bagi pelaburan luar negara hasil perancangan Kerajaan UMNO-BN bakal mengundang risiko besar kepada penyimpan KWSP.
Azan membayangkan tindakan kerajaan membenarkan lebih banyak penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk dilaburkan di luar negara akan mendedahkan tabung simpanan hari tua golongan pekerja di negara ini kepada risiko kerugian yang tidak dapatkan dibayangkan.
"EPF telah dibenarkan menggunakan dana simpanannya yang merupakan duit kita semua sebanyak RM 75 Bilion untuk dilaburkan keluar negara," kata beliau kepada lebih 20 ribu hadirin di Program Ceramah Khas Hari Kebangkitan Rakyat di Geliga di sini semalam.
Azan turut mendedahkan beliau mendapat berita minggu ini bahawa pentadbiran KWSP yang sebelum mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak 7 peratus akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah yang diuruskan berjumlah RM 75 Bilion.
Sebelum ini, pelaburan agensi Kerajaan seperti FELDA telahpun gagal lantaran tiada pengurusan baik di luar negara dan memberi kesan kepada rakyat sendiri.
Malah beliau menjangka Kerajaan UMNO BN akan memberi alasan klasik sekiranya ia gagal dalam masa akan datang.

"Seperti biasa, tradisinya, kalau duit ini dilaburkan keluar negara, selepas setahun kita akan dengar alasan kalau rugi diakibatkan sebab kadar tukaran asing yang tidak dapat dikawal. Bukan sebab salah pengurusan, tetapi disebabkan kadar tukaran matawang asing," tegas beliau.
Justeru, Azan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Terengganu menyeru rakyat negeri ini bagi membantah hal ini yang membabitkan masa depan mereka.
"Saya minta dan rayu kepada kawan-kawan semua, minta tahun ini adalah tahun terakhir BN nak beri alasan ini kepada kita. Kita nak beritahu, kalau tak reti uruskan harta dan wang rakyat, beri kuasa kepada Pakatan rakyat, kita akan buat jauh lebih baik lagi," kata beliau.

No comments:

Post a Comment